expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 17 September 2012

Teh hijau bantu cegah barah kulit



















Ekstrak teh hijau dikatakan boleh mengubati penyakit barah kulit. - Foto Agensi


Kajian dapati pati minuman mampu hapus ketumbuhan 


Edinburgh: Kalangan saintis berharap sejenis ubat berasaskan teh hijau yang berkesan untuk mencegah barah kulit akan dapat dihasilkan selepas kajian mendapati pekatan minuman itu boleh menghapuskan hampir separuh daripada ketumbuhan penyakit berkenaan. 


Pensyarah kanan Institut Farmasi dan Sains Bioperubatan Strathclyde, Dr Christine Dufes berkata satu kajian makmal yang dijalankan sepasukan penyelidik di Universiti of Strathclyde, mendapati 40 peratus tumor barah kulit dapat dihapuskan menggunakan bahan dalam teh hijau dikenali epigallocatechin gallate. 


Beliau berkata, sejak sekian lama, teh hijau dipercayai mempunyai bahan mencegah barah dan kajian ke atas pekatannya pernah dibuat sebelum ini. Bagaimanapun ini kali pertama penyelidik berjaya menggunakannya untuk mengecutkan tumor barah kulit. 


Sebelum ini gagal 
 

Beberapa percubaan sebelum ini menemui kegagalan kerana saintis menggunakan kaedah titisan dapat tidak memperoleh cukup pekatan untuk menghapuskan tumor terbabit. 


“Berikutan itu pasukan penyelidik mewujudkan kaedah menyasarkan protin tubuh yang membawa molekul zat besi ke bahagian kulit yang dijangkiti barah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan jurnal Nanomedicine. 


Beliau berkata ujian makmal yang dijalankan ke atas sejenis barah kulit manusia menunjukkan 40 peratus ketumbuhan hilang selepas rawatan selama sebulan, manakala 30 peratus lagi mengecut. 


Kurangkan saiz tumor 
 

Dr Dufes berkata kaedah yang digunakan menunjukkan ekstrak teh hijau mengurangkan saiz kebanyakan tumor setiap hari dan dalam beberapa kes berjaya menghapuskannya. 


“Keputusan yang diperoleh amat memberangsangkan dan kami berharap ia akan membuka jalan kepada kaedah rawatan baru barah yang lebih berkesan,” katanya. 


Beliau berkata apabila kaedah titisan digunakan ekstrak teh hijau mengalir ke seluruh tubuh dan apabila sampai kepada tumor ia sudah bercampur dengan bahan kimia lain dan menjadi terlalu cair. 


“Dengan menyasarkan sistem penghantaran dalam tubuh, ekstrak itu mengalir terus kepada tumor tanpa menjejjaskan tisu normal yang lain,” katanya. - Agensi

Spesies burung hantu baharu ditemui



















GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan dua ekor spesies baharu burung hantu di Pulau Camiguin, Filipina.


MANILA - Sekumpulan saintis dan pemerhati burung menemui 10 spesies baharu burung hantu di Filipina dengan menggunakan peralatan canggih, kata beberapa pegawai pemuliharaan kelmarin.


Menurut Pengarah Lapangan Program Pemuliharaan Kepelbagaianbio Filipina, Lisa Paguntalan, kebanyakan spesies baharu itu kemungkinan terancam kerana ia hanya ditemui di Kepulauan Cebu dan Pulau Camiguin serta di kawasan hutan yang kecil.


"Bunyi burung itu yang berbeza menyebabkan ia berlainan dengan spesies lain," katanya. 


Penyelidikan itu mengambil masa selama 10 tahun tetapi keputusan penemuan itu hanya diumumkan kelmarin.


Kajian tersebut melibatkan sekumpulan pemerhati burung dari Universiti Negeri Michigan, Amerika Syarikat dan pakar-pakar burung.


Dua spesies baharu itu ialah burung hantu Cebu dan burung hantu Camiguin.


Kedua-dua haiwan itu berukuran kira-kira 20 hingga 30.5 sentimeter. - AFP

Labah-labah hinap lima hari dalam telinga




















Menakutkan, labah-labah berkenaan dapat dilihat menerusi rakaman endoskopi yang dimasukkan ke dalam telinga mangsa.


BEIJING - Labah-labah dijadikan sebagai makanan sampingan segelintir masyarakat dunia adalah perkara biasa yang sering dilihat, tetapi pernahkah anda mendengar labah-labah berada di dalam telinga manusia selama lima hari?


Di sebuah perkampungan jauh dari bandar Beijing, China, seorang wanita tidak menyangka telinganya telah dihuni oleh seekor labah-labah kecil sejak lima hari lalu.


Menurut doktor, kes berkenaan bermula apabila wanita malang itu mendapatkan rawatan kegatalan telinga di Hospital Besar Changsha kemudian mereka menemukan haiwan invertebrata pemangsa itu di dalam saluran telinganya.


"Dia amat bernasib baik kerana serangga itu tidak mencakar dinding saluran telinga serta bertelur di dalamnya," kata Dr Liu Sheng yang berjaya mengeluarkan labah-labah itu bersama kumpulan perubatan lain dengan menggunakan larutan salina ke dalam telinga mangsa.


Jelas Liu, mereka tidak dapat menarik keluar serangga itu kerana bimbang ia akan menggigit telinga mangsa.


Kepingan keju berusia 40 tahun dijual di Milwaukee


















KEJU yang berusia 40 tahun.


MILWAUKEE, Amerika Syarikat - Seketul keju cheddar yang berusia 40 tahun dijual sebanyak AS$10 (RM31.13) untuk setiap 28.34 gram (g), lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.


Keju itu ditemui seorang peniaga keju di sini, Edward Zahn yang berusia 73 tahun.


Dia menemui keju tersebut di dalam sebuah kotak kayu di dalam kedainya.


Zahn kemudian menjual keju tersebut kepada seorang lagi peniaga keju, Ken McNulty di sini.


Dia enggan mendedahkan harga jualan itu.


Bagaimanapun, McNulty kemudian membuat tawaran kepada orang ramai bahawa dia menjual keju tersebut pada harga AS$10 untuk setiap 28.34g. - Agensi

Set kepala 'godam' otak manusia dicipta



















Set kepala ini dikatakan boleh mendapatkan maklumat rahsia menerusi interaksi dengan komputer.


LONDON - Ia mungkin kelihatan seperti ciptaan yang sering digunakan di dalam filem sains fiksyen.


Bagaimanapun, kumpulan saintis dari Universiti California, Oxford dan Geneva berjaya merealisasikannya ke dalam dunia realiti.


Menurut mereka, alat menyerupai set kepala itu mampu untuk 'menggodam' otak manusia untuk mendapatkan maklumat rahsia termasuk nombor pin mereka menerusi interaksi dengan komputer.


Ia akan menghantar isyarat khusus dikenali sebagai P300 yang berfungsi untuk mengesan maklumat di dalam otak.


Ivan Martinovic di Jabatan Sains Komputer Oxford menyatakan ciptaan tersebut juga boleh mengakses maklumat seperti diperoleh menerusi alat elektroensefalografi (EEG) yang berfungsi untuk mengukur gelombang otak.


Melalui P300, saintis dapat mengesan pelbagai maklumat termasuk aktiviti separa sedar yang tersimpan di dalam memori pengguna.


Walaupun ia mungkin akan disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab, ciptaan ini juga dikatakan amat sesuai digunakan dalam protokol soal siasat bagi mengesan butiran perbuatan jenayah yang dilakukan oleh suspek.
Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com