Al-Maraghi
berkata: Kami tidak meminta dan mengharapkan balasan dan yang lain-lain
daripadamu yang akan mengurangkan pahala.
Mujahid dan
Said Ibnu Jubair berkata: Demi Allah! Mereka tidak mengatakan yang demikian itu
dengan lisan akan tetapi Allah SWT mengetahui daripada hati mereka, lalu Allah
SWT memuji mereka dengan yang demikian ia menjadi pendorong kepada orang yang
ingin bersedekah.
Ibnu Kathir
berkata: Iaitu, Kami tidak menuntut kamu semua memberi balasan yang setimpal
atasnya dan tidak juga meminta kamu berterima kasih di hadapan orang-orang
kamu.
Sayid Qutub
berkata: Itulah rasa belas kasihan yang lahir daripada hati mereka yang
lemah-lembut dan yang sentiasa mencari keredaan Allah SWT.
Mereka tidak
mengharapkan balasan dan terima kasih daripada makhluk. Mereka tidak bertujuan
memperlihatkan kelebihan dan kemegahan mereka kepada orang-orang yang susah.
Firman Allah
SWT: Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di
hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan (yang datang) daripada
Tuhan kami. (al-Insaan: 10)
Al-Maraghi
berkata: Sesungguhnya kami melakukan yang demikian ini supaya Tuhan mengasihi
dan menerima kami dengan kelembutan-Nya pada hari yang muram dan amat kelam
itu.
Ibnu Kathir
berkata: Maksudnya, kami lakukan perkara tersebut dengan harapan Allah akan
memberi rahmat kepada kami dan menerima kami dengan penuh kelembutan pada hari
di mana orang-orang tengah bermuka masam dan penuh kesulitan.
Sayid Qutub
berkata: Dengan pemberian makanan kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan
maka mereka berharap dapat melindungkan mereka daripada malapetaka kiamat yang
sangat ditakuti itu.
Firman Allah
SWT: Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan
kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. (al-Insaan: 11)
Al-Maraghi
berkata: Allah SWT melindungi mereka daripada perkara yang ditakuti semasa di
dunia iaitu kejahatan hari yang muram itu (dengan apa yang mereka lakukan)
untuk mendapat keredaan Tuhan mereka. Allah SWT memberikan tanda cahaya pada
wajah mereka dan kegembiraan di hati mereka.
Ibnu Kathir
berkata: Iaitu Allah SWT memberi rasa aman kepada mereka daripada apa yang
mereka takutkan, memberikan kejernihan di wajah mereka dan kegembiraan di hati
mereka.
Kebiasaannya
apabila hati berasa gembira, wajahnya pula kelihatan ceria.
Kaab bin
Malik berkata: "Apabila Rasulullah SAW berasa gembira, wajah baginda
berseri-seri laksana cahaya bulan."
Sayid Qutub
berkata: Ayat yang menyebut tentang mereka akan dikurniakan Allah SWT wajah
yang berseri-seri dan hati yang gembira. Dan hari itu bukannya hari yang
membuat muka mereka kelihatan masam kusam dan suram muram. Itulah balasan yang
setimpal terhadap ketakutan mereka kepada Allah dan terhadap kelembutan hati dan
perasaan mereka (kepada orang-orang yang susah).
Firman Allah
SWT: Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan)
syurga dan (pakaian) sutera. (al-Insaan: 12)
Ibnu Kathir
berkata: Yakni kerana kesabaran mereka, Allah SWT memberi dan menyerahkan
syurga dan sutera serta menempatkan mereka di syurga iaitu tempat tinggal yang
lapang, kehidupan yang sejahtera dan pakaian yang baik.
Sayid Qutub
berkata: Mereka akan mendiami syurga dan memakai pakaian-pakaian sutera yang
indah.
No comments:
Post a Comment