KONTINJEN Terengganu diraikan oleh
para penyokong mereka sebaik tiba di Kuala Terengganu semalam.
KONTINJEN
Terengganu terus mengukuhkan reputasi sebagai kuasa sukan pada temasya Sukan
Malaysia (Sukma).
Kejayaan
muncul juara keseluruhan Sukma ke-15 Pahang yang berakhir kelmarin membuktikan
betapa Terengganu teguh berdiri di puncak kemasyhuran.
Dengan
status selaku juara Sukma buat kali keempat berturut-turut, kejayaan penuh
gemilang yang dilakar kontinjen Terengganu itu pasti dicemburui barisan
pencabar mereka.
Apa
tidaknya, kontinjen Terengganu yang sebelum ini dianggap 'kerdil' dalam arena
sukan tanah air tiba-tiba tampil sebagai 'gergasi' yang sukar untuk
ditumbangkan.
Sebagai
rekod, Terengganu muncul juara Sukma buat kali pertama pada edisi 2008 ketika
menjadi tuan rumah temasya tersebut, sekali gus menamatkan dominasi Selangor
yang cukup digeruni suatu ketika dahulu.
Beraksi di
laman sendiri pada 2008, kontinjen Terengganu ternyata mengambil segala
kelebihan yang ada untuk membolot 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.
Momentum itu
diteruskan pada Sukma 2010 di Melaka yang menyaksikan kontinjen Terengganu
sekali lagi ditabalkan selaku juara apabila memungut 47 pingat emas, 30 perak
dan 43 gangsa.
Kontinjen
Terengganu terus berada pada trek kejayaan apabila menjuarai temasya Sukma buat
kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 30 pingat emas, lapan perak
dan 12 gangsa pada edisi 2011 di Kuala Lumpur.
Bagi edisi
Sukma kali ini, Terengganu tampil lebih bergaya apabila membawa pulang 62
pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa, seterusnya meninggalkan Selangor di tempat
kedua dengan catatan 47 emas, 54 perak dan 60 gangsa.
Kejayaan
merangkul 62 emas itu merupakan pencapaian terbaik Terengganu setakat ini
biarpun tuan rumah Sukma ke-15, Pahang tidak mempertandingkan beberapa acara
seperti kenu dan mendayung yang dianggap 'kekuatan' kontinjen Terengganu
Hanelang itu.
Justeru,
ramai pemerhati serta penggiat sukan tanah air tertanya-tanya, apakah rahsia di
sebalik kejayaan kontinjen Terengganu itu sehingga mampu memegang status juara
Sukma empat edisi berturut-turut.
Ketika
diajukan persoalan tersebut, Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail
lebih cenderung untuk menjawab prestasi anak-anak buahnya yang beraksi pada
temasya Sukma kali ini.
"Bagi
tiga edisi Sukma yang lalu (2008, 2010 dan 2011), saya tidak boleh beri komen
kerana ketika itu, bukan saya yang menjadi Ketua Kontinjen Terengganu.
"Bagaimanapun,
bagi Sukma di Pahang, sudah semestinya komitmen jitu daripada semua pihak yang
terlibat menjadi kunci utama kejayaan kontinjen Terengganu muncul juara.
"Pada
masa yang sama, pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti juga
menjadi antara rahsia kejayaan Terengganu muncul juara Sukma kali keempat
berturut-turut," kata Wan Nawawi kepada Kosmo! semalam.
Mengulas
lanjut, Wan Nawawi berkata, komitmen tinggi daripada seluruh ahli kontinjen
melibatkan para atlet, jurulatih serta pegawai pasukan menyumbang kepada
kejayaan Terengganu pada Sukma kali ini.
"Berdasarkan
penilaian saya, setiap atlet termasuk para jurulatih dan pegawai sentiasa
bekerja keras bagi memburu kejayaan buat kontinjen Terengganu.
"Maka
tidak mengejutkan apabila segala penat lelah mereka selama ini akhirnya dibayar
dengan kejayaan. Saya anggap kejayaan ini adalah anugerah Illahi," ujar
beliau.
Menurut Wan
Nawawi, sebagai Ketua Kontinjen, beliau sentiasa bertindak sebagai pengurus
dalam setiap acara sukan yang disertai para atlet Terengganu.
"Sebagai
contoh, apabila saya pergi menyaksikan atlet Terengganu beraksi dalam acara
hoki, saya akan menjadi pengurus skuad hoki Terengganu.
"Jadi,
apabila Ketua Kontinjen rapat dengan atlet, atlet itu sendiri akan lebih
bersemangat untuk beraksi.
"Namun,
saya tahu kedudukan saya, apa yang perlu saya campur tangan, saya akan campur
tangan... saya akan cuba selesaikan apa sahaja masalah yang timbul,"
katanya.
Wan Nawawi
berkata, beliau juga sering mengambil pendekatan 'mengintip' bagi mengelakkan
anak-anak buahnya kehilangan fokus ketika beraksi.
"Contohnya
dalam acara memanah yang memerlukan seseorang atlet itu memberi fokus yang
tinggi.
"Jadi,
kerana tidak mahu memberi tekanan kepada atlet, saya duduk jauh kerana tidak
mahu mengganggu tumpuan mereka," jelasnya.
Seperti
diramal, skuad lumba basikal muncul antara penyumbang terbesar buat kontinjen
Terengganu pada Sukma kali ini apabila membawa pulang 12 pingat emas.
Skuad
olahraga turut menjadi watak penting di sebalik kejayaan Terengganu apabila
membawa pulang lapan pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan dalam
acara tersebut.
Tanpa
diberikan harapan yang tinggi, skuad memanah Terengganu melakar kejutan apabila
muncul juara keseluruhan dalam acara tersebut selepas meraih sembilan pingat
emas.
"Seperti
yang saya katakan sebelum ini, walaupun tidak menyertai acara wusyu, manakala
acara yang dianggap lubuk emas buat kami seperti kenu dan mendayung tidak
dipertandingkan, kontinjen Terengganu masih mampu mencapai kejayaan.
"Kilauan
emas yang tidak disangka-sangka juga hadir dalam beberapa acara seperti
petanque, seterusnya memberi kelebihan kepada kami untuk sekali lagi muncul
juara Sukma," jelas Wan Nawawi.
Ditanya
tentang habuan yang bakal diterima kontinjen Terengganu, Wan Nawawi berkata:
"Perkara itu saya serahkan kepada kerajaan negeri. Tugas saya (selaku Ketua
Kontinjen) berakhir malam ini (semalam).
"Pada
kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga
Terengganu yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.
"Terima
kasih juga diucapkan kepada para penyokong Terengganu yang tidak jemu-jemu
memberikan sokongan di setiap venue.
"Akhir
sekali, terima kasih kepada petugas-petugas media yang memberikan liputan
kepada kontinjen Terengganu sebelum dan semasa temasya Sukma berlangsung,"
tambahnya.
No comments:
Post a Comment