expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday, 1 July 2012

Isteri Mursi enggan dipanggil wanita pertama


















Isteri Presiden Mesir, Naglaa Ali Mahmoud


KAHERAH - Isteri Presiden Mesir, Naglaa Ali Mahmoud enggan digelar 'wanita pertama Mesir' sebaliknya lebih selesa dipanggil Ummu Ahmed bermaksud ibu kepada Ahmed iaitu anak lelaki sulung pasangan itu.


Wujud perbezaan di antara Naglaa dan isteri bekas presiden terdahulu, Suzanne Mubarak yang disifatkan sebagai elegan, berpendidikan tinggi dan dari keluarga Britain tetapi dikritik kerana memiliki sifat pentingkan diri, melampau dan suka menguasai  orang lain.


Sebaliknya, Naglaa adalah wanita Islam konservatif yang memakai hijab dan tidak pernah menjejakkan kaki ke universiti ataupun kolej. Pengkritik menyifatkan gayanya sebagai lambang kepada kestabilan pimpinan Islam konservatif di  Mesir.


Manakala penyokong suaminya berkata, tingkah laku sederhana dan latar belakang wanita itu membangkitkan semangat revolusi dalam demokrasi dan disenangi rakyat.


"Saya hanya mahu dipanggil isteri presiden. Siapa kata isteri presiden adalah 'wanita pertama?'," katanya.

Presiden baharu Mesir ikrar sokong Palestin
















MOHAMMED MORSI mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir di Mahkamah Agung Perlembagaan di Kaherah semalam.


KAHERAH - Presiden Mesir, Mohamed Morsi mengumumkan sokongannya kepada Palestin sehingga penduduk wilayah berkenaan "mendapat semula, semua hak mereka".


Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Mesir di Universiti Kaherah di sini semalam, beliau turut meminta supaya pertumpahan darah di Syria ditamatkan.


"Saya mengumumkan dari sini bahawa Mesir, rakyatnya dan institusi Presiden berdiri teguh bersama bangsa Palestin sehingga mereka mendapat semula semua hak mereka," kata Morsi.


"Kami juga menyokong rakyat Syria. Kami mahu pertumpahan darah di negara berkenaan dihentikan," tambahnya.


Beliau mengulangi bahawa Mesir akan menghormati semua perjanjian antarabangsa yang pernah ditandatanganinya.


Negara Arab berkenaan memeterai satu perjanjian damai dengan Israel pada 1979.


"Kami membawa mesej keamanan kepada dunia, diiringi oleh perutusan mengenai hak dan keadilan," ujarnya." 


Morsi, 60, yang meletak jawatan daripada pegerakan Islam, Ikhwanul Muslimin selepas memenangi pilihan raya Presiden bulan ini, berucap dengan nada tegas berhubung sokongannya kepada Palestin semasa berkempen.


Ikhwanul Muslimin turut menentang Bashar Al-Assad dan menyokong kebangkitan rakyat menentang Presiden Syria berkenaan.


Namun, sebagai Presiden, Morsi dijangka tidak melakukan perubahan besar ke atas dasar luar Mesir terutamanya berhubung Israel.


Terdahulu, beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir dalam satu upacara ringkas di Mahkamah Agung Perlembagaan di sini.


"Saya bersumpah dengan nama Tuhan yang Maha Besar akan mengekalkan pemerintahan republikan dan menjunjung perlembagaan dan undang-undang negara serta menjaga kepentingan rakyat," katanya dalam upacara di mahkamah berkenaan.


Morsi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya sejak Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat awal tahun lalu. - Agensi

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com