Pages

Monday, 28 May 2012

Ekzema


Kulit mengelupas, hati ‘panas’


































MENGGARU..akan menyebabkan ia merebak ke kawasan lain.


SIAPA yang tidak rasa tersisih apabila dipandang jijik gara-gara melihat kulit kemerah-merahan dan mengering kerana menghidap penyakit ekzema. 


Biarpun saya kuatkan hati untuk berhadapan dengan orang lain tanpa memikirkan pandangan mereka, memang tidak berjaya kerana rasa malu dan rendah diri tetap menguasai diri apabila berada di tempat awam. 


Keinginan untuk membeli pakaian yang sesuai juga begitu sukar. Apa tidaknya, ada jurujual yang memandang sinis dek melihat kesan seperti menghidap kudis atau lebih teruk lagi ada yang menganggap ia jangkitan kulat atau kurap. 


Apabila ditanya pakaian yang sesuai untuk saya yang memiliki iritasi kulit, mereka terus melihat tangan saya yang sedang memegang sehelai pakaian jenama terkenal itu. 























KRONIK..keadaan ekzema atopi yang teruk.


Lantas jurujual terbabit meminta diri untuk bertanya kepada rakan lain jika ada pakaian yang sesuai untuk pesakit seperti saya. Selepas lama menunggu, saya hampa apabila melihat jurujual tadi tidak mengendahkan pertanyaan sebaliknya terus melayani pelanggan lain yang memasuki butik berjenama itu.


Tidak mahu berputus asa, saya cuba bertanya soalan sama kepada jurujual lain di tempat sama bagi mengenal pasti pakaian sesuai dengan keadaan penyakit saya.


Keadaan serupa, dia meminta izin untuk bertanya kepada rakan lain dan saya masih menunggu dengan sabar. Keadaan kali ini agak berbeza, apabila saya memandang cermin di hadapan, dapat dilihat mereka sebenarnya sibuk bercerita mengenai diri saya dengan pandangan menjengkelkan. 


Namun, mereka berpura-pura pula menyembunyikan reaksi apabila menyedari diperhati melalui cermin. Jurujual berkenaan kemudian menerangkan kepada saya dia tidak mahu menanggung risiko sekiranya ada kesan pada pakaian yang dicuba. Apatah lagi sebelum ini, tiada pelanggan yang bertanyakan mengenainya.


Saya hanya mampu menghulurkan ucapan terima kasih dan meneruskan perjalanan ke tempat lain. Terlihat kedai yang menjual keperluan penjagaan diri dan wajah lantas saya memasuki kedai terbabit dan bertanya mengenai jenis produk untuk wajah atau losen sesuai untuk pesakit seperti saya. 


Mereka segera menunjukkan produk yang sesuai digunakan namun pada masa sama, tidak mahu menanggung risiko dengan barangan ditunjukkan lantas memberi penerangan agar mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dulu. 


Benar apa yang dikatakan jurujual terbabit. Sekurang-kurangnya saya gembira kerana masih ada insan yang sudi mengambil sedikit masa melayani pesakit seperti saya biarpun sekadar bertanya. 


Kemudian, aktiviti santai diteruskan di pusat beli-belah terkemuka di ibu kota dengan memasuki pameran berkaitan barangan teknologi bagi melihat reaksi pengunjung.


Apabila soalan diajukan mengenai harga barangan yang digemari dengan jari menunjuk ke arah produk terbabit, reaksi jurujual itu sedikit terperanjat apabila terpandang kulit yang mengelupas dan kemerah-merahan.


Apabila pertanyaan diajukan sekali lagi, dia seolah-olah tidak selesa dengan kehadiran saya dan sekali lagi, saya dirundung sedih. Akhirnya, saya melangkah keluar saja dari pusat beli-belah terkemuka itu sambil membawa seribu pertanyaan mengenai kesedaran masyarakat terhadap pesakit ekzema. Nyata sekali, tahap kesedaran yang sangat kurang itu memberi kesan yang besar kepada penghidap penyakit berkenaan.


Kisah di atas adalah pengalaman diri sendiri apabila diberi kesempatan untuk menempuh pengalaman sebagai pesakit ekzema ketika berada di khalayak ramai.


Kesan kulit mengelupas kemerah-merahan kelihatan jelas setelah mendapat sentuhan daripada pakar jurusolek, menambahkan lagi keyakinan orang ramai yang melihat iritasi kulit yang cuba ditunjukkan. 


Program pendidikan secara kreatif diberi nama Mirror, Mirror on the Wall yang dianjurkan oleh Leo Pharma itu adalah bagi memberi peluang kepada media untuk melihat sendiri tahap kesedaran orang ramai terhadap ekzema. 


Ini kerana sokongan dan kesedaran mengenai penyakit ekzema dapat meningkatkan keyakinan dan semangat pesakit ekzema untuk berhadapan dengan masyarakat. 


Turut hadir pada program itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), Dr Mohd Noh Idris dan Pengurus Leo Pharma, Tan Keng Aun. 


Perunding Dermatologi, Bahagian Dermatologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Suganthi Thevarajah berkata, kesan emosi kepada pesakit dewasa menunjukkan lebih satu pertiga daripada pesakit berasa malu dan mengalami kesukaran dalam mengawal ekzema. 


Berdasarkan kajian dilakukan kepada pesakit di Malaysia, ia menunjukkan 37 peratus daripadanya berasa malu dengan keadaan kulit mereka manakala 35 peratus pula mengatakan letih berurusan dengan ekzema dan tugas sukar untuk mengawalnya. 


Selain itu, kesan emosi juga dihadapi penjaga pesakit ekzema yang menunjukkan lebih satu pertiga berasa anak yang menghidap ekzema atopi memerlukan perhatian lebih kerana mereka berasa berbeza daripada kanak-kanak lain. 


“Tidak hanya memberi kesan kepada emosi, malah pesakit yang mengalami ekzema turut merasai impak ke atas tahap produktiviti harian dalam hidup mereka. 


“Bagi pesakit dewasa, 38 peratus menyatakan mereka perlu sentiasa berwaspada untuk mengelakkan diri daripada menjadi pencetus kepada ekzema yang dihidapi. 


“Pesakit ekzema dewasa juga menghadapi kesan kurang penghargaan diri yang menunjukkan sebanyak 32 peratus mengalami masalah terbabit.


“Ramai orang tidak tahu apa itu ekzema atau bagaimana rupa sebenarnya. Tanpa pengetahuan dan kesedaran, terdapat kecenderungan untuk tidak mahu mengambil tahu mengenainya dan lewat berjumpa doktor sehingga menyebabkan kesakitan serta ketidakselesaan terpaksa ditanggung,” jelasnya mengenai impak dihadapi pesakit apabila tidak sedar mengenainya. 


Ini kerana lebih separuh daripada pesakit dan penjaga yakin bahawa peningkatan kesedaran awam dan pemahaman mereka terhadap ekzema dapat membantu mereka menghadapinya. 


Di Malaysia, ekzema tersebar luas di kalangan penduduk. Kajian terhadap jumlah bilangan pesakit menunjukkan ia semakin meningkat terutama di kalangan kanak-kanak dan laporan mencatatkan sebanyak 12.6 peratus penghidap berumur tujuh tahun. 


Tahun lalu, Leo Pharma menjalankan kajian di kalangan pesakit ekzema dan penjaga di Malaysia yang menunjukkan 75 peratus daripada mereka pernah mendengar mengenainya, tetapi tidak mengetahui lebih lanjut manakala 15 peratus mengatakan mereka tidak pernah tahu sebelum berjumpa pakar. 


Di samping itu, lebih separuh daripada pesakit dan penjaga berasa perlu ada lebih banyak aktiviti atau kempen untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai mengenai ekzema.


Sementara itu, menurut Dr Suganthi, pesakit ekzema dihidapi dua dalam setiap 10 orang di Malaysia manakala 10 hingga 20 peratus daripada pesakit kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus bagi dewasa di seluruh dunia.


“Ekzema adalah sejenis penyakit kulit yang menyebabkan radang, gatal, kering, mengelupas, kemerahan dan bersisik. Bagi mengelakkan ia menjadi teruk, pastikan kawasan kulit kering sentiasa dalam keadaan lembap dengan sapuan losen atau krim khas agar tidak mengalami kegatalan mahupun mengelupas yang berpanjangan.


“Ia salah satu penyakit kulit yang biasa dikaitkan dengan alahan dan disebabkan oleh faktor dalaman contohnya mewarisi genetik serta alam sekitar. Ia tidak berjangkit melalui sentuhan. 


“Ekzema adalah masalah utama yang biasa dihadapi negara maju dan membangun. Terdapat beberapa jenis ekzema yang dihidapi seperti ekzema atopi, dermatitis sentuh, kulit kepala, tangan atau kaki,” katanya. 


Namun, jenis ekzema yang biasa dihidapi adalah ekzema atopi yang dikaitkan dengan penyakit lain seperti asma dan rinitis alergi iaitu simptom hidung berhingus, bersin teruk yang berulang serta gatal. 


Kesan penyakit ini pada kanak-kanak boleh dilihat pada bahagian lutut, pelipat siku, atas punggung, buku lali, belakang telinga, muka dan kulit kepala manakala pada orang dewasa lebih ketara di belakang lutut serta pelipat siku.


Ia menunjukkan keadaan kulit sangat gatal yang boleh dicirikan sebagai kecacatan dalam fungsi halangan kulit dan sistem imun tidak normal. 


Menggaru akan merosakkan kulit, menyebarkan jangkitan ruam dan bakteria yang akan membuatkan pesakit berasa lebih gatal serta bertambah teruk.



Fakta:

Ekzema boleh dirawat menggunakan beberapa pilihan: 


  • Krim topikal steroid. Ia digunakan bagi membantu mengurangkan radang dan memulihkan kulit. Steroid boleh didapati dalam bentuk ubat sapu dan krim gel yang mempunyai kandungan steroid berbeza sama ada sedikit, sederhana atau kuat. Ia biasa digunakan apabila perlu saja.
  • Krim topikal steroid dan kombinasi antibiotik. Apabila ekzema menjangkiti kawasan lain, doktor mungkin mencadangkan untuk mengambil antibiotik yang digabung bersama steroid jika penggunaannya tidak lagi berkesan. Ia boleh disapu pada kulit mengelupas bagi menentang kemunculan kudis.

4 comments:

  1. Nak mintak izin untuk buat karangan boleh? :)

    Iha pun ada penyakit ekzema jugak tapi doktor cakap ekzema yang dihidapi terlalu ringan. Jadi lepas je jumpa doktor derma, dia bagi ubat krim betamethasone dengan aqueous.

    Lagi satu ubat piriton, masa tu iha pelik jugak sebab kalau tak silap tu pil yang selalu iha makan kalau selsema. Jawapan doktor, tu ubat untuk mengantuk. Setelah 4 tahun kejadian tu berlalu, baru iha tahu ubat tu untuk alergi jugak rupanya.

    Disebabkan kononnya penyakit ekzema iha 'terlalu ringan', doktor kata tak payah buat appoinment, kesian penyakit biasa macam ni nak kena beratur lama kat klinik.

    Tapi sejak dari tu sampai hari ni, ekzema iha selalu muncul tiap2 bulan. Kalau tak timbul air gatal, kulit bersisik ataupun kemerah-merahan kat kedua-dua tapak kaki dan tangan. Disebabkan tak dapat dating dengan doktor, iha tak dapat bekalan ubat-ubatan dah.. huhu..

    Yang pasti, selalu kena sebelum atau selepas period.. :)

    ReplyDelete
  2. ya ke..dapatkan balik tab. piriton tu..tu ubat alergik nak bagi tahan gatal..nanti iha garu lg melarat...

    ReplyDelete
  3. a'ah tgh cuba rajin2kan diri beli piriton.. cuma krim tu je yg susah sikit nak dapatkan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. krim tu klu pergi hospital minta doktor prescribe kan ubat tu..klu nak mudah beli kat pharmacy..tp kena jumpa pharmacist dulu..utk dia rekod..:-)

      Delete