Pages

Tuesday, 8 May 2012

Kesan buruk fitnah kepada ummah




ISTIMEWA untuk pembaca , nukilan ini ditulis dalam pesawat ke Jeddah ketika perjalanan mengerjakan umrah.


Sebelum meninggalkan tanah air, ada sesuatu yang meninggalkan kesan di lubuk sanubari, iaitu pelbagai fitnah yang terpampang di media dan dada akhbar menjadikan perkara itu seolah-olah tidak menjadi kesalahan, sedangkan kesannya sangat berat untuk mereka yang menabur fitnah dan yang difitnah. 


Dalam sirah nabi SAW, Ummul Mukminin Aisyah ra pernah difitnah begitu besar iaitu mempunyai skandal besar dengan Safwan bin Mu’attal. 


Ketua munafiq, Abdullah bin Ubai bin Salul menjadi sumber berita fitnah itu. Ia tersebar sehingga memberi kesan kepada masyarakat Islam terbaik ketika itu. 
 

Firman Allah ini adalah asbab penurunan ke atas kisah fitnah yang berlaku kepada Saidatina Aisyah ra. “Sesungguhnya orang membawa berita dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu; jangan kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan dilakukannya, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa besar (di dunia dan akhirat).” (surah an-Nur: 11) 


Antara hadis menceritakan dengan lengkap kisah ini ialah yang diriwayatkan Imam Muslim Rahimahullah dalam kitabnya, Sahih Muslim bahawa Saidatina Aisyah ra isteri nabi SAW katanya: 


Apabila Rasulullah SAW ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isterinya. Sesiapa yang bernasib baik, dialah yang akan keluar bersama baginda. Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah SAW membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapa yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga, undi aku yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah SAW. 


“Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Aku ditempatkan di bilik ini selama berada di sana. 


“Selepas Rasulullah SAW selesai berperang, kami pulang dan berhenti rehat seketika di satu tempat berhampiran Madinah. Sebaik tiba malam, kami diminta meneruskan perjalanan. Pada waktu sama, aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. 


“Apabila selesai membuang air besar, aku kembali ke tempat perjalanan. Ketika aku menyentuh dada mencari kalung, ternyata kalung diperbuat daripada manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. 


“Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari sehingga ditinggalkan. Sementara beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawa aku mengangkat haudaj ke atas unta yang aku tunggangi, kemudian terus pulang. 


“Mereka sangka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan, menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. 


“Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik bertolak, aku bertemu kalung yang hilang dan pergi ke tempat perhentian mereka ketika berperang, namun tidak seorang pun ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentian dengan harapan mereka sedar kehilangan aku dan kembali mencari. Ketika di tempat itu, aku terasa mengantuk dan terus tertidur. 


“Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani ditinggalkan pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam hinggalah dia sampai ke tempat aku pada pagi itu. 


“Dalam kesamaran, dia terlihat seorang manusia tidur lalu menghampiri dan didapati aku tidur di situ. Dia mengenali aku kerana pernah melihat sebelum hijab diwajibkan kepadaku. 


“Aku tersedar ucapannya ketika dia mengetahui aku tidur di situ dan segera menutup wajah dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah, selain satu ucapannya hinggalah dia meminta aku menunggang untanya. 


“Tanpa membuang masa, aku terima pelawaannya dan terus naik berpijak di tangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta hingga kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang berhenti rehat kerana panas terik. 


“Celakalah siapa yang menuduh aku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Sesampai di Madinah, aku jatuh sakit sebulan. Sementara itu, orang ramai menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong, tetapi aku tidak mengetahuinya.” 


“Aku mula resah selepas Rasulullah SAW kelihatan berubah, malah aku tidak lagi merasakan kelembutan baginda yang biasanya aku rasakan ketika sakit. Rasulullah SAW cuma masuk mengucapkan salam, kemudian bertanya: Bagaimana keadaan kamu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan. 


“Selepas penyakit beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ia tempat yang biasa kami kunjungi dan hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan hinggalah kami membina tandas berhampiran rumah. Kamilah orang Arab pertama membina tandas untuk bersuci, namun akhirnya merasa terganggu dengan tandas itu yang dibina berhampiran rumah. 


“Satu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir, ibu saudara Abu Bakar As-Siddiq ra, anaknya Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. 


“Selepas selesai buang air besar, aku berjumpa anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumah. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah! Aku berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar? 


“Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah, tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan? Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong. 


“Mendengar cerita itu, sakit aku bertambah kuat hingga Rasulullah SAW masuk menjenguk. Baginda mengucapkan salam, kemudian bertanya: Bagaimana keadaan kamu? Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? Selepas mendapat keizinan Rasulullah SAW, aku segera pulang ke rumah orang tuaku. 


“Sebaik tiba di sana, aku bertanya ibu: Mak, apakah cerita yang disebarkan orang ramai mengenai diriku? Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkan hatimu! Demi Allah, berapa orang saja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnah, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya. 


“Aku berkata: Maha suci Allah SWT! Apakah sampai begitu sekali orang ramai menabur fitnah? 


“Aku terus menangis malam itu dan tidak mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur hingga keesokan paginya. Selepas beberapa ketika, Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. 


Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah SAW mengenai penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluarga kamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu, malah wanita selain daripadanya masih ramai. 


Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan betul. Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah SAW memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan dengan Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutus kamu membawa kebenaran. 


Jika aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih daripada seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya hinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya. 


Hingga bertemu di minggu depan, doakan perjalanan ini diberkati dan saya mendoakan semua pembaca sentiasa dalam rahmat-Nya. Moga amalan kita diterima di sisi Allah.

No comments:

Post a Comment