Pages

Monday, 28 May 2012

Kombinasi moden, tradisi



SELAIN pemilihan warna dan potongan, elemen perincian manik memainkan peranan penting dalam rekaan pakaian pengantin. Walaupun tema moden kontemporari kini mengambil alih dan menjadi pilihan mempelai, rekaan tradisi dengan potongan kebaya serta penggunaan perhiasan mewah masih menjadi pilihan.


Gabungan pada fabrik sifon dan renda terang pasti memberikan kesempurnaan pada pengantin yang ingin bergaya pada hari bahagia.



















CERIA...kebanyakan pengantin takut mengenakan rona kuning tetapi gabungan merah jambu dan kuning menampilkan kesan berbeza kepada si pemakai.


























ANGGUN...rona pastel menjadi pilihan mereka yang ingin tampil berbeza. 


Pemilik butik Shawn Sinar Sutera, Abu Hassan Mohd Nordin, memilih untuk menampilkan gabungan moden dan tradisi kerana ingin mengekalkan rekaan Melayu lama serta memenuhi impian pelanggan yang inginkan tema sedemikian.


Tambahnya, butik andaman yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan menjadi persaingan dalam menampilkan rekaan berkualiti dan diterima ramai. Kesukaran pada peringkat awal adalah untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan kerana Abu Hassan bermula hanya dengan membuat hantaran perkahwinan.


“Saya membuka butik dengan hanya bermodalkan RM500. Menyedari tidak mempunyai sebarang kelulusan dan pengalaman dalam bidang perniagaan, saya bertekad membuka pusat sehenti perkahwinan yang menyediakan kepelbagaian perkhidmatan bermula daripada hantaran, pakaian akad nikah, bersanding, pelamin, fotografi, percetakan dan perunding perkahwinan,” katanya yang pernah membuka kedai perniagaan aksesori dan pakaian wanita ketika berkhidmat di sebuah pasar raya besar tempatan.


Kini butik terbabit mempunyai lebih daripada 35 pasang busana perkahwinan daripada pelbagai tema. Dia gemar memilih rona terang sebagai memenuhi cita rasa pelanggan, antaranya ungu, kuning, biru, merah dan biru.


“Walaupun ada yang berkata warna sebegini kurang menyerlah, ia masih
mendapat perhatian ramai. 


Ini kerana sifat warna itu sendiri yang nampak anggun terutama untuk pasangan raja sehari. Lagipun warna terang lebih nampak klasik dan sesuai menggambarkan keindahan pasangan apabila bersanding di atas pelamin,” katanya.


Menjadikan Bernard Chandran sebagai idola, bagi Abu Hassan, rekaan yang versatil selain memaparkan ciri Malaysia menjadikan setiap rekaan berada dalam kelas tersendiri.


“Selain itu, saya menggemari potongan serta hiasan manik yang bukan saja menampilkan gaya elegan malah eksklusif sesuai untuk wanita bercita rasa tinggi,” katanya yang pernah menaja pakaian dan kostum beberapa selebriti terkenal seperti Elly Suriaty, Noraniza Idris, Azza Elite, Salima AF dan Farhan AF. 


Butik ini juga mendapat kepercayaan kerabat diraja Pahang dan anak perdana menteri pertama iaitu Datin Paduka Tunku Khadijah Tunku Abdul Rahman.


Pada masa depan, Abu Hassan merancang menambah koleksi pakaian perkahwinan mengikut kehendak pelanggan sebagai memenuhi cita rasa mereka. 


Butik yang terletak di Puchong Perdana, Puchong, Selangor ini mengalu-alukan kedatangan pelanggan yang ingin mendapatkan rundingan perkahwinan seterusnya membuat tempahan.

No comments:

Post a Comment