Pages

Tuesday, 8 May 2012

Kosmetik atau merawat?



Anda perlu melakukan penyelidikan ke atas doktor dan kelengkapan pembedahan plastik hospital yang berkenaan sebelum memilih prosedur ini. 


MERUBAH paras rupa untuk menjadi cantik kini menjadi trend yang semakin popular di Asia terutamanya Korea dan Jepun. 


Percaya atau tidak, golongan ibu bapa remaja Jepun mahupun Korea kini sanggup memperuntukkan sejumlah wang kepada anak-anak mereka untuk melakukan pembedahan plastik sebagai hadiah hari jadi. 


Pembedahan plastik atau nama glamornya pembedahan kosmetik bagaikan sudah menjadi gaya hidup golongan selebriti walaupun menyedari ada risikonya.


Bukan semua pembedahan plastik berjaya 100 peratus seperti yang diimpikan.
Lebih menakutkan, kompilasi yang dihadapi ketika atau selepas pembedahan. Malah, ada yang maut di meja bedah.


Antara kisah tragis kegagalan pembedahan plastik membabitkan Hang Mioku, seorang wanita dari Korea Selatan.


Dia dikatakan obses melakukan pembedahan plastik pada beberapa bahagian wajah sejak pertama kali melakukannya ketika berusia 28 tahun. Pembedahan demi pembedahan dilakukan malangnya bukan menambah cantik pada wajah Mioku sebaliknya membuatkan mukanya semakin membengkak. Doktor bedah tidak lagi mahu melakukan prosedur pembedahan plastik di wajahnya sebaliknya menyarankan Mioku menemui pakar jiwa. 


Perubahan wajah Mioku terlalu ketara hinggakan ibu bapanya sendiri tidak mengenalinya. 


Paling teruk, wanita itu sanggup menyuntik sendiri wajahnya dengan minyak masak apabila kehabisan silikon yang memburukkan lagi keadaan parasnya.


Obses"Jika anda teliti gambar selebriti Korea, mereka sebenarnya mempunyai persamaan dari segi bentuk mata, hidung dan mulut. Ya, mereka comel, cantik dan kacak. Tetapi akibat pembedahan plastik, mereka tiada keaslian diri."


Itu pendapat Pakar Estetik dan Antipenuaan, Dr. Alice Prethima ketika mengulas isu obses rakyat Korea Selatan terhadap pembedahan plastik.


Bagaimanapun, bukan semua pembedahan plas tik itu bertujuan memenuhi naluri untuk kelihatan cantik.


Selain tujuan kosmetik, pembedahan plastik juga berfungsi untuk merawat kesan calar, luka atau parut pada tubuh badan manusia.


"Ramai di luar sana terpaksa menjalani pembedahan plastik untuk menutup kesan parut, luka dan terbakar terutama pada wajah," jelas Dr. Alice.


Walaupun kes pembedahan plastik di Malaysia tidak setinggi di Korea, ia juga semakin meningkat dari setahun ke setahun.


Dr. Alice mengakui Malaysia masih kekurangan pakar dalam pembedahan plastik berbanding dengan negara Asia Timur itu.


"Justeru, anda perlu berhati-hati memilih kaedah pembedahan plastik. Ini kerana terdapat segelintir 'doktor' yang mungkin mahu mengaut keuntungan dengan menawarkan pembedahan plastik di rumah, hotel atau salon," ujarnya.


Justeru Dr. Alice menasihatkan, sebelum seseorang memilih untuk melakukan pembedahan plastik, ketahui tujuan mereka melakukannya terlebih dahulu.


"Kemudian, kunjungi klinik tersebut dan pastikan kelengkapan pembedahan mencukupi.


"Jika tidak, anda mungkin menerima akibat buruk daripada prosedur pembedahan yang dijalani," ujarnya.

No comments:

Post a Comment