Pages

Saturday, 26 May 2012

KPBSK buat laporan polis



Mohd Izani (dua, kanan) bersama Setiausahanya, Mohd Rozamri Ali (kiri) menunjukkan salinan laporan polis dan contoh lakaran kain rentang yang dibuang oleh anggota keselamatan FA


KOTA BHARU – Meski pun sudah seminggu Kelantan menjulang kejuaraan Piala FA, namun kemarahan penyokong The Red Warriors terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) rupa-rupanya masih belum berakhir.


Segalanya berpunca apabila isu kain rentang yang dipasang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan akhir Piala FA minggu lalu, yang dibuang oleh anggota keselamatan FAM masih belum terjawab sehingga mendorong Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan (KPBSK) tampil membuat laporan polis tiga hari lalu.


Timbalan Pengerusinya, Kapten (B) Mohd Izani Che Hassan, berkata, laporan polis tersebut terpaksa dibuat setelah badan induk bola sepak kebangsaan itu dilihat tidak mahu bertanggungjawab dan gagal memberi penjelasan mengenai tindakan mereka.


“Kita menuntut penjelasan daripada mereka, apa punca yang menyebabkan kain rentang yang tidak mengandungi apa-apa perkataan berunsur cacian atau penghinaan kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu dibuang oleh mereka.


“Sebaliknya, tanpa sebarang alasan, kain rentang kami yang hanya mengandungi perkataan dalam bentuk sokongan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dibuang begitu sahaja.


“Akibatnya kami kerugian sebanyak RM5,000 setelah dua daripada lima kain rentang milik kami dibuang begitu sahaja oleh anggota keselamatan FAM. “Kami merasakan tindakan tersebut merupakan satu perkara yang dilakukan di luar normal-normal kemanusiaan,” katanya.


Mengulas mengenai kronologi kejadian tersebut, Mohd Izani menjelaskan, pada awal pihaknya dibenarkan menggantungkan kelima-lima kain rentang tersebut setelah pegawai badan induk bola sepak kebangsaan itu sendiri berpuas hati dengan pemeriksaan yang dilakukan sebelum itu.


“Setelah selesai menggantungkan kain rentang tersebut sekitar jam dua petang, kami beredar daripada stadium. “Namun sebaik sahaja memasuki stadium jam 6.30 petang, kami diberitahu oleh sebilangan penyokong bahawa kain rentang tersebut sudah dibuang oleh pegawai keselamatan stadium.


“Kami tidak nampak kain rentang tersebut yang mengandungi kata-kata sokongan dan imej Annuar (Musa) boleh memberi ancaman kepada FAM.


“Kalau inilah mentaliti pegawai atasan mereka, tidak salah untuk penyokong Kelantan terus menanamkan rasa benci terhadap badan induk bola sepak kebangsaan itu. “Perkara seperti ini (isu kain rentang) pun mereka tidak boleh bertolak ansur,” katanya.

No comments:

Post a Comment