Pages

Tuesday, 29 May 2012

Lemur manjadi Madagascar


















AKSI lemur putih ini sungguh mempesonakan apabila ia berada dalam kelompok spesiesnya.


HAIWAN yang paling menarik saya pernah temui, cuba menggoda isteri saya. Sukar untuk menjelaskannya, namun saya sendiri terkejut apabila isteri membenarkan haiwan primat itu menari-nari di atas bahunya sambil menggendong anak perempuan kami yang berusia enam bulan.


Berbulu, jinak, mata terbonjol dan penuh misteri, lemur Madagascar menarik perhatian ramai orang kerana teletahnya yang mencuit hati. Dengan mata berkilau dan bertangan lembut, tingkah lakunya umpama seekor kucing domestik yang jinak.


Bahasa mudahnya, lemur merupakan haiwan yang menyeronokkan!


Disebabkan itu, tidak hairanlah isteri saya, Katie, membenarkan seekor lemur bermain di atas tangan dan kepalanya ketika menggendong anak sulung kami, Herper. Ia mungkin satu tindakan yang di luar jangkaan, namun haiwan itu memang benar-benar selamat.


Pengalaman tersebut menceriakan keseluruhan pengembaraan kami. Sudah lama kami membayangkan untuk mendekati lemur di kepulauan Afrika. 


Memburu keinginan itu, maka saya, Katie dan bayi kami, Harper, menjelajah ke Madagascar bersama pasangan Aaron dan Kaarli yang baru tiga bulan mendapat cahaya mata mereka, Kaled.


Godaan di Madagascar sangat jelas. Kepulauan di Afrika Timur itu di kelilingi bukit-bukit dan sawah padi. Sejak zaman penjajah Perancis, ia masih mengekalkan keaslian tradisi kulinarinya sehingga kini.
















UMPAMA seekor kucing domestik, lemur ini sangat jinak hingga menjadikan bahu Katie sebagai tempat 'bersantai'.


Malah, negara itu juga bertuah kerana dikurniakan pantai yang indah dengan hamparan pasir yang halus dan memutih.


Mundur dan berbahaya


Bagaimanapun, Madagascar agak terpinggir daripada arus pemodenan. Sebahagian besar kenderaan yang digunakan di sini dihasilkan pada sekitar tahun 70-an. Ketika kami mahu menikmati hidangan makan malam di Peugeot yang pernah diperintah oleh Napolean satu ketika dahulu, Katie duduk di ‘kerusi’ hadapan.


Sebenarnya, ia bukan kerusi. Sebaliknya ia hanyalah bahagian rangka hadapan kenderaan yang langsung tidak dilapisi kusyen apatah lagi fabrik.


Jika perkhidmatan teksinya sedemikian rupa, bagaimanakah pula dengan perkhidmatan di hospital?


Apa agaknya yang akan terjadi sekiranya anak-anak kami tiba-tiba memerlukan rawatan kecemasan?


Satu fakta yang saya ingin kongsi dengan pembaca, portal pelancongan mengenai Madagascar yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika menyatakan negara itu terkenal dengan serangan malaria, wabak endemik, rompakan bersenjata, kes-kes curi kenderaan dan keadaan jalan raya yang sempit serta berliku-liku.


Sejak tahun 2009 sehingga kini, Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Madagascar selepas berlaku kejadian rampasan kuasa yang menyaksikan seorang bekas penyampai radio menjadi presiden. 


“Kamu semua sudah gila agaknya. Siapa yang mahu membawa bayi berusia empat bulan ke negara yang terkenal dengan kejadian rampasan kuasa?” kata seorang rakan yang menetap bersama penulis di Kenya.
















MATA yang terbonjol dan penuh misteri ini menyebabkan lemur menjadi tarikan utama pengunjungke kepulauan ini.


Rupa-rupanya, tidak ramai dalam kalangan warga AS yang berkunjung ke negara itu. Seorang pelancong dari Belgium menyangka kami berasal dari Afrika Selatan.


Kata lelaki itu, dia tidak pernah melihat warga AS menyusukan anak mereka di tempat awam seperti yang dilakukan oleh Katie dan Kaarli.


Seorang wanita dari Florida yang menetap di resort tepi tasik yang kami lawati berkata: “Saya puji kamu semua. Saya tidak pernah lihat mana-mana pelancong kecuali dari Jerman yang membawa bayi seperti ini.”


Haiwan unik


Biarpun dibayangi amaran dan kebimbangan, kami tidak berhadapan dengan sebarang masalah. Malah, kami melalui satu percutian yang sangat menarik.


Salah satu tarikan utama, pastinya lemur. Ia hanya boleh ditemui di Madagascar. Perkataan lemur bermaksud hantu dalam mitos Rom disebabkan matanya yang terbonjol selain lolongannya yang menakutkan.


Kami terserempak dengan haiwan itu buat pertama kali ketika menginap di sebuah hotel, Vakona Forest Lodge, berhampiran sebuah pulau kecil di Andasibe. 


Lemur dibiarkan bebas, namun ia tidak boleh ke mana-mana kecuali di pulau itu kerana ia tidak boleh berenang. Di situlah beberapa ekor lemur berwarna perang cuba memanjat badan Katie dan Kaarli.


Seekor lemur duduk di atas kepala saya sambil mendukung anaknya sebaik sahaja saya memberinya hirisan pisang. Lazimnya saya tidak meminati haiwan, tetapi pengalaman bermesra dengan lemur nyata menarik dan berbeza.


Selain di lokasi itu, anda boleh melihat lemur liar tatkala berkunjung ke Taman Negara Andasibe-Mantadia. Sambil ditemani pemandu pelancong, anda boleh berjalan atau berlari mengikut laluan treking. Pada masa yang sama, kelibat haiwan itu yang bergayut di dahan pokok mudah dilihat.














 

SEBAHAGIAN besar penduduk di kepulauan ini masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dalam kehidupan mereka.


Disebabkan kami memilih untuk bermalam selama dua hari di Andasibe, kami tidak bercadang membawa anak-anak bersama ke dalam hutan. Ini berikutan kami perlu melalui laluan berbukit dan terpaksa berlari-lari anak untuk mengejar populasi lemur di situ.


Kaarli dan Katie berpeluang melakukan aktiviti itu pada hari pertama ketika saya dan Aaron menjaga anak-anak kami. Peluang kami muncul pada hari kedua.


Spesies terancam


Pemandu pelancong kami, Zaka sememangnya seorang pakar alam semula jadi. Ketika berjalan merentasi hutan, dia akan berhenti, mendongak kepala ke sisi, menyelinap di celah-celah batang kayu, sebelum menemui sekumpulan lemur tidak berapa lama kemudian. 


Dalam tempoh dua hingga tiga jam itu, Zaka membawa kami melihat empat kumpulan lemur daripada spesies Indri. Kami bernasib baik katanya, lebih-lebih lagi ia merupakan spesies terancam.


Indri merupakan kumpulan terbesar dalam spesies lemur yang dibezakan melalui bunyi yang dihasilkannya. Saya berpendapat, ia kedengaran seperti berdecit-decit. Bagaimanapun, Aaron pula menyatakan bunyinya seperti ikan paus kecil. 


Di Nairobi, tempat saya tinggal dan bekerja, bukan sesuatu yang luar biasa apabila dapat melihat monyet-monyet melompat dan bergayutan di atas pokok berhampiran pekarangan rumah. Lemur bagaimanapun agak berbeza, ia meluncur seolah-olah berenang di atas kanopi hutan.


Sekumpulan lima ekor lemur tampak selesa duduk di atas saya dan Aaron. Ia hanya mengerling seketika sebelum melompat ke arah pokok-pokok, meluncur laju umpama sebuah roket.


Kesukaran untuk mengambil gambar menyebabkan saya lebih selesa melihatnya. Zaka berkata, adakalanya dia membawa sehingga 20 orang pelancong ke situ. Pada hari itu, cuma saya dan Aaron sahaja.


Zaka ialah seorang pemandu pelancong yang hebat, tetapi ia tidak sama seperti seorang lagi pemandu pelancong yang kami temui dua hari kemudian ketika mencari lemur di resort tepi tasik berhampiran pantai. Lelaki itu pandai meniru bunyi lemur. 


“Aroo-wah, aroo-wah. Whap, a-whap, whap-whap-whap-whap,” laungnya di dalam hutan, sebelum menambah beberapa perkataan Inggeris: “Let's go, let's-go, let's-go, let's-go.” – AFP

No comments:

Post a Comment