Pages

Wednesday, 30 May 2012

Nelayan naikkan ikan mirip naga










Othman bersama empat anaknya menunjukkan ikan aneh menyerupai seekor naga ditangkap nelayan pesisir pantai, pagi semalam.


Kemaman – Nelayan dan pembeli di jeti Kuala Kerteh di sini gempar apabila seorang nelayan membawa pulang seekor ikan aneh menyerupai naga, pagi semalam.


Ikan ganjil itu mempunyai sesungut panjang berwarna merah di kepala dan bawah mulut serta berduri di bahagian bawah badan, dengan ukuran empat meter panjang dengan berat mencecah sembilan kilogram.























PELIK...Othman memegang ikan ganjil yang ditangkap nelayan pesisir pantai di Kuala Kerteh.


"Saya terkejut melihat ikan itu, kepalanya mirip naga, badan berwarna putih dengan kulitnya keras tetapi tidak bersisik, ikan ini juga memiliki sirip berwarna merah," kata pembuat minyak urut, Othman Abu Bakar, 63.


Othman yang berasal dari Kampung Telaga Papan, dekat sini, berkata, dia yang berada di jeti sewaktu nelayan pulang menangkap ikan kira-kira jam 11 pagi terus menyuarakan hasrat untuk membeli ikan itu kerana melihat keunikannya apatah lagi sepanjang hidupnya dia tidak pernah melihat spesies ikan sedemikian.


Othman kemudiannya menyuarakan hasrat membeli ikan aneh itu daripada pemiliknya yang merupakan pemuda dari Kampung Rasau.


"Saya beli kerana ingin tunjukkan kepada penduduk kampung. Sebaik saya membawa pulang ikan ini, ramai jiran tetangga berkunjung ke rumah melihatkan ikan pelik itu.



 
"Mereka tidak pernah melihat ikan seperti itu walaupun sudah lama tinggal di Kampung Telaga Papan yang terkenal dengan kawasan penangkapan dan pendaratan ikan," katanya.


Ditanya mengenai harga ikan tersebut, Othman enggan memberitahu walaupun dipujuk beberapa kali.


Katanya, walaupun ketika dinaikkan ke darat kepala ikan itu sudah hancur tetapi ciri-ciri pada badannya jelas kelihatan seperti seekor naga.


“Kepala ikan hancur mungkin kerana tersangkut pada pukat digunakan nelayan," katanya.


Othman bagaimanapun tidak berhasrat untuk memakan ikan itu, tetapi akan mengeringkannya untuk dijadikan ramuan bagi menghasilkan minyak urut.

No comments:

Post a Comment