Pages

Wednesday, 9 May 2012

Pemerkasaan hati remaja




DALAM menghadapi kerenah hidup dan cabaran semasa, para remaja sering berdepan dengan cabaran emosi dan nafsu-nafsi. Kadang-kadang remaja tidak memiliki kekuatan untuk bertahan daripada godaan itu. 


Ia akibat daripada lemahnya hati dan jiwa menghadapi cabaran yang menggugat kekuatan dalaman. 


Rasulullah SAW menghubungkan pada diri manusia ada seketul daging. Jika baik daging itu ditarbiah, maka baiklah sahsiah yang ada pada diri seseorang. Ini dihubungkan sebagai pemerkasaan hati.


Hati atau dalam rujukan biasa sebagai jantung tidak sahaja sifatnya fizikal tetapi pada hati itu terdapat sumber tenaga yang memberi kekuatan kepada kestabilan emosi dan jiwa. 


Apabila pemerkasaan akal fikir berlaku, maka akal fikir mampu menghasilkan maklumat yang benar dan bermanfaat . Ia menyerap ke dalam hati yang fitrahnya mempunyai upaya menyaring untuk menyeimbangkan ilmu maklumat dan kebenaran.


Apabila penyerapan itu terjadi, ia dimanifestasikan dalam bentuk amal dan menyebabkan manifestasi amal terpedoman dan terbimbing.


Memperkasa kekuatan hati terhubung dengan nilai dan etika. Amanah, adil, jujur, tulus dan telus umpamanya berkait rapat dengan Allah. 


Apabila para remaja menghubungkan sifat-sifat murni manusia dengan kekuatan ihsan kepada Allah, ia menjadi punca memahami maksud nilai-nilai yang fitrah itu dan menyebabkan sesuatu itu terjadi kerana-Nya. 


Apabila pedoman Ilahi dijadikan sandaran dalam melakukan apa sahaja, maka konsep hablumminallah terjadi dan maksud hablumminnas berlaku.


Amalan-amalan yang bersifat ruhiyah menghubungkan faktor Ilahi dan faktor manusiawi. 


Apabila ini terjadi, berlakulah talian ihsan dan insan dan jika diamalkan dalam kehidupan tidak sahaja talian Allah itu menjadi pedoman terbaik, tetapi juga hikmah kebaikan akan pulang kepada manusia. 


Remaja dalam proses tazkiyah annafs atau pembersihan hati dan jiwa, dengan membangunkan jiwa rukuk dan sujud (solat) dan ruhus solat membangun jiwa tunduk, taat patuh dan akur. 


Sifat-sifat kehambaan ini adalah penting untuk remaja memahami maksud keteraturan dan adab supaya disiplin akal hati dan amal berlaku dalam titik keseimbangan yang membentuk watak dan gelagat.


Memperkasa hati dan jiwa menerusi tarbiyah ruhiyah amat penting bagi remaja. Tanpanya, para remaja akan terdedah dengan nafsu amarah bisu atau sifat-sifat mazmumah yang boleh menyebabkan rasa keegoan diri terserlah. 


Gelagat nafsu-nafsi menjadi serakah dan akhirnya menjebak diri remaja kepada kerosakan dan kemusnahan.


Amat penting para remaja memiliki kekuatan hati dan jiwa yang terhubung dengan faktor Pencipta supaya sumber petunjuk daripada Allah iaitu al-Quran sentiasa dijadikan pedoman dan sumber amal daripada Rasulullah dijadikan qudwah dan sumber ikutan. 


Hal ini amat penting dimiliki oleh para remaja sejak awal umur lagi supaya wujud pembiasaan, pemahaman dan juga amalan yang sentiasa mengambil pertimbangan syarak sebagai sandaran. 


Pada hari ini kedapatan simpang siur aliran pemikiran dan juga kefahaman yang tidak berkembang dalam acuan yang fitrah. 


Sebaliknya fahaman neo-liberalisme yang menuntut kebebasan mutlak dan melakukan sesuatu di luar fitrah insan menyebabkan kecenderungan anarki (disorderly) berlaku.


Bina hati yang fitrah


Isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melampaui faktor fitrah dan syarak. Kisah kaum Nabi Lut as adalah bukti nyata yang dikisahkan dalam al-Quran untuk dijadikan pedoman manusia apabila aksi melampau yang tidak fitrah sifatnya menyebabkan musibah Allah terjadi. 


Kisah lalu itu harus dijadikan ibrah atau sumber teladan kepada remaja tentang betapa pentingnya pemerkasaan fikir dan hati ini menjadi landasan yang fitrah dalam amalan dan perbuatan. 


Jika tidak, faktor nafsu-nafsi dan kecenderungan anarki bakal mengambil tempat. Ia bakal merosakkan hubungan remaja dengan pencipta dan menyebabkan aliran pemikiran yang bersifat anarki berkembang.


Sebab itu Islam menekankan kepentingan binaan akhlak sebagai sesuatu yang paling utama. Akhlak Islami merujuk kepada keupayaan mendisiplinkan fikir dan mendisiplinkan hati supaya faktor fikir dan zikir bertaut dalam satu titik yang lebih harmoni bagi mencetuskan hikmah yang terbaik kepada manusia.

No comments:

Post a Comment