Pages

Tuesday, 8 May 2012

Sengaja muntahkan makanan













MAHU KURUS... penghidap bulimia bimbang mereka dilihat obes atau berat badan berlebihan.



MEMILIKI bentuk badan cantik dan langsing seperti Victoria Beckham, Jennifer Aniston, Kate Moss dan Paris Hilton sering menjadi idaman wanita di seluruh dunia. Tidak hairan kaum Hawa sanggup melakukan apa saja bagi memastikan impian mereka tercapai.


Ada yang sanggup membelanjakan banyak wang semata-mata mahu mendapat bentuk badan idaman, tidak kurang juga ada yang tidak kesah diri mereka ‘sakit’ asal cita-cita tercapai.


Tabiat pemakanan tidak sihat seperti makan terlalu banyak pada satu-satu waktu dan diikuti dengan usaha membuangkan apa dimakan, sama ada memuntahkan semula atau menggunakan ubat bagi membuang makanan dengan kadar cepat, sering dilakukan pesakit yang terlalu obses terhadap bentuk badan atau bulimia.


Bulimia adalah gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan yang baru dimakan. Ia berasal daripada perkataan Latin (Bous Limos Nervosa) iaitu lapar dan juga gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan.


JOLOK ANAK TEKAK... untuk segera memuntahkan makanan yang baru dimakan.

Perunding Psikologi Pusat Perubatan Hospital Pantai, Dr Khairi Rahman, berkata pesakit bulimia masih boleh diselamatkan berbanding pesakit aneroxia yang sememangnya membawa maut.


“Pesakit bulimia tidak mengehadkan jumlah makanan diambil, bahkan mereka makan tanpa berhenti tetapi memuntahkan semula selepas beberapa ketika, berbeza dengan aneroxia yang langsung tidak makan dan memudaratkan diri hingga membawa maut.



“Mereka juga sering menganggap diri gemuk dan mempunyai bentuk badan kurang menarik. Penghidap bulimia turut menghadapi masalah psikologi kerana fikiran mereka hanya tertumpu kepada persoalan mengenai penampilan kurus, berat badan dan makanan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.



Menurutnya, penghidap bulimia biasanya makan dengan banyak tetapi akan cepat pula ‘memuntahkan’ kembali apa yang mereka makan dengan kaedah menjolok anak tekak.



Namun, ada juga yang sanggup menggunakan ubat laksatif atau diuretik supaya cepat membuang air besar, berpuasa panjang untuk mengurangkan berat badan dan senaman keterlaluan.



“Golongan ini juga sering dikaitkan dengan suka berbelanja (boros) dan paling mengejutkan, turut memiliki masalah seksual selain disebabkan faktor keturunan,” katanya.



Tambahnya, simptom yang biasa dilihat pada penghidap bulimia ialah kegagalan mengawal nafsu pemakanan, malah makan dalam kuantiti banyak sebelum berhenti apabila perut terasa tidak selesa.



Selain itu, pesakit bulimia kerap dilihat melakukan senaman dengan kadar berlebihan dalam tempoh singkat yang mampu menyebabkan degupan jantung tidak terkawal, malah ia juga dikesan penyebab penyakit gastrik refluks paling kronik.



“Ramai tidak tahu, bulimia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi dan penyakit lain. Pesakit turut berisiko mendapat trauma mulut (oral trauma).



“Ia berlaku apabila pesakit menjolok makanan menggunakan jari berkuku panjang dan menyebabkan kecederaan dalam tekak,” katanya.




Gejala penyakit bulimia pula meliputi:


  •   Makan terlampau mengikut nafsu dan tidak henti-henti.
  •   Tabiat makan yang tidak dapat dikawal.
  •   Usaha dilakukan bagi mengurangkan berat badan, sama ada secara memuntahkan apa yang dimakan, menggunakan ubat julap, berlapar, berpuasa atau bersenam secara keterlaluan selepas makan secara melampau.
  •   Memberi tumpuan tidak sihat kepada isu berkaitan bentuk dan berat badan.
  •   Kekeringan badan atau dehidrasi.
  •   Letih, lesu dan tidak bermaya.
  •   Sembelit.
  •   Gigi dan gusi rosak disebabkan kesan asid perut yang keluar bersama bahan muntah.
  •   Pipi bengkak akibat sering muntah.


Bulimia
Mengakibatkan kerosakan gigi dan gusi akibat kesan asid perut dalam bahan yang dimuntahkan. Dehidrasi badan dan penurunan paras kalium akibat kerap muntah boleh menyebabkan gangguan degupan jantung, selain badan menjadi tidak bermaya.

Pembuangan bahan daripada usus secara kerap menyebabkan keradangan pada dinding saluran pemakanan dan sembelit.


Pencegahan

Memaparkan bentuk dan susuk badan wanita secara realistik pada media massa sangat penting kerana ia mempunyai pengaruh kuat terhadap remaja dan dewasa muda. Memiliki susuk badan terlalu kurus tidak harus digalakkan untuk paparan di media. Keyakinan dan harga diri yang baik serta hubungan kekeluargaan yang positif dapat membendung masalah kecelaruan gaya pemakanan tidak sihat.


Ciri-ciri penghidap bulimia

  •   Bermula dengan berdiet dan bersenam secara berlebihan.
  •   Makan banyak tetapi memuntahkan semula semua makanan.
  •   Mudah rasa bersalah selepas makan.
  •   Mengambil ubat laksatif atau diuretic serta pil lain.
  •   Pipi kembung akibat pembesaran kelenjar liur kerana selalu muntah dan  kerosakan enamel gigi sebelah dalam.


Kesan buruk bulimia

  •   Berat badan sentiasa turun naik atau lebih sedikit daripada berat normal.
  •   Boleh menyebabkan kematian akibat penghasilan asid gastrik berlebihan.
  •   Muntah berulang kali.
  •   Ketidakseimbangan elektrolit dalam badan.
  •   Kerosakan lapisan perut.
  •   Degupan jantung tidak seragam.
  •   Kerosakan buah pinggang.
  •   Enamel gigi rosak kerana selalu muntah.
  •   Kerongkong berdarah.
  •   Kerap terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol.
  •   Gangguan fikiran, resah dan murung.


Rawatan bulimia

  •   Menentukan jenis makanan yang ditakuti pesakit.
  •   Pendedahan dan maklumat tabiat pemakanan dan makanan yang betul.
  •   Pengambilan makanan 1,500 kalori sehari.
  •   Pengambilan makanan berlemak dapat melambatkan penghasilan asid gastrik dan menimbulkan rasa lebih kenyang.

2 comments:

  1. Kadang2 tu tak redha jugak badan gemuk ni, tapi takde pulak iha buat sampai mcm ni sekali.. syukur jela lemak yg dah sedia ada ni, hehe..
    p/s: lawa gambar awek kat atas tu :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. gemuk sikit takpe..asal sihat..klu kurus tp tak sihat nak buat apa kan..tp kena seimbang la..biar BMI kita ideal..awek tu memang cantik..:-)

      Delete