Pages

Saturday, 26 May 2012

Transformasi ekonomi Madinah



Lambang penyatuan dan perpaduan awal masyarakat Islam dilakukan dengan pembinaan masjid sebagai tempat uniti kaum Islam di Madinah


“SESUNGGUHNYA Iman akan kembali berhimpun ke Madinah sebagaimana kembalinya ular ke lubangnya” (riwayat Bukhari 1876).


Kedatangan Islam dan masyarakat Muslim ke Madinah dari Makkah telah memberi satu transformasi ke atas ekonomi Madinah Al-Munawarah. Konsep Islam yang menjadikan setiap pekerjaan dilakukan sebagai ibadah, mengeluarkan zakat, sedekah, jujur dan bersikap sederhana dalam mencari kekayaan serta pengagihan, kesamarataan dan kesaksamaan, kebijaksanaan dalam kewangan, kemanusiaan serta lain-lain ciri telah diinstitusikan secara menyeluruh dan diserapi oleh masyarakat Madinah.


Fenomena transformasi Madinah yang berlaku secara sihat dan serta-merta ini hanyalah sebahagian daripada perubahan yang luas melanda wadi (tanah lapang) Madinah. Antara perkara yang ditekankan oleh Nabi Muhamad saw sejurus tiba di Madinah ialah menyampaikan ajaran kepada Muhajirin dan Ansar tentang setiap perbuatan serta pekerjaan adalah sebahagian daripada ibadah.


Ia membuka jalan mencapai matlamat membawa perubahan kepada perkembangan dan kemakmuran masyarakat Islam Madinah. Masyarakat tidak dibiarkan menjadi liabiliti atau tanggungan komuniti tetapi mereka digesa mencari serta mewujudkan peluang serta gigih bekerja keras dalam pelbagai sektor dan yang berkelayakan dalam sektor berkenaan akan segera dimasukkan dan diserapkan sebagai aset pembangunan komuniti.


Bumi Madinah mengalami transformasi menjadi indah dan aman, produktif, ladang ternakan dan tanaman yang subur serta tersusun. Keutamaan spiritual melebihi kepentingan aspek kebendaan duniawi. Usaha dimaksimumkan bagi menyerap wahyu ALLAH ke dalam penghidupan masyarakat dan penyebarannya kepada semua peringkat masyarakat tanpa mengira di mana berada melalui apa cara dakwah sekali pun.


Hasil daripada langkah ini mendatangkan perolehan manfaat dan menjauhkan keburukan untuk kehidupan masyarakat yang sempurna di dunia dan akhirat.


Ekonomi Madinah yang dinamik
 

Ketika berlaku penghijrahan ke Madinah, segala kepunyaan Muhajirin selain harta kekayaan termasuk tanah, malah pohon kurma terpaksa ditinggalkan. Mereka tidak diberi kesempatan membawa segala kepunyaan sewaktu berhijrah sementara pihak Makkah meluputkan semuanya dengan menjual kepada orang lain atau memusnahkannya.


Malah nyawa Nabi SAW diancam dan Baginda bersama Abu Bakar r.a melakukan hijrah pada waktu tengah hari. Ada Sahabat seperti Shuhaibra yang tidak terlepas daripada ancaman dan sekatan pihak Quraiys Makkah, namun beliau berjaya juga akhirnya. Bukanlah ujian mudah hijrah ke atas Nabi dan sahabat, namun natijahnya ialah Madinah ditransformasikan sehingga melewati keunggulan Makkah ketika itu. Lambang penyatuan dan perpaduan awal masyarakat Islam dilakukan dengan pembinaan masjid sebagai tempat uniti kaum Islam di Madinah.


Konsep perkongsian telah didahului oleh kaum Ansar agar separuh dari kepunyaan mereka diberikan kepada Muhajirin namun Nabi SAW memberi cadangan Muhajirin hanya akan mengambil bahagian yang ditawarkan dengan syarat mereka akan bekerjasama dengan menyumbang tenaga serta keupayaan dalam usaha pembangunan dan hasilnya akan dibahagi dua dengan kaum Ansar. Hasil perkongsian ini lama-kelamaan mendatangkan kemakmuran ekonomi dan menambah-baik pegangan pasaran. Ini berlanjutan sehingga penaklukan Khaibar dan para sahabat dari Muhajirin serta Ansar mulai menjadi pemegang saham dalam ekonomi Madinah.


Kesibukan ekonomi digambarkan oleh Abu Hurairah r.a ketika ditanya kenapa beliau yang banyak meriwayatkan hadith lalu dijawabnya ketika semua sahabat Muhajirin dan Ansar sibuk bekerja beliau memilih menghafal sabda Baginda Nabi.


Pertanian menjadi punca ekonomi yang utama. Muhajirin dan Ansar menjadikan pertanian serta mengusahakan tanah sebagai aktiviti utama sehinggakan mereka digelar Ahl-Zar’, pengusaha pertanian. Punca serta bekalan air diberi perhatian diurus secara sistematik, sistem pengairan dibina, bekalan dan penggunaan air kepada orang ramai dijadikan asas utama kehidupan dan ini telah memainkan peranan penting dalam usaha Nabi merealisasikan Madinah sebagai pusat ekonomi.


Antara faktor kejayaan transformasi Madinah adalah keseimbangan dan keharmonian yang dicapai antara Muhajirin serta Ansar. Kaum Ansar yang terkenal dengan kebolehan dalam mengusahakan tanah manakala Muhajirin pula membawa bersama kepakaran berdagang. Namun hasil perkongsian mereka telah memadamkan garis pemisah itu, bahkan ada daripada kaum Ansar yang akhirnya mencari kekayaan melalui aktiviti perdagangan dan ada kalangan Muhajirin yang menjadi pengusaha tanah yang berjaya.


Gabungan perkongsian kepakaran seperti ini dilihat sebagai tidak praktikal, malah sukar untuk menjadi pemangkin ekonomi, namun ia telah berjaya menjadikan Madinah sebagai pusat kegiatan ekonomi.


Nabi SAW yang berpandangan jauh dan punya visi membangun Madinah, dengan bijak mengguna kelebihan lokasi Madinah. Selain dari memaksimumkan keupayaan Madinah yakni tanah wadi (lembah) yang subur dengan kecenderungan kepada hasil usaha tanah, kedudukan Madinah dijadikan sebagai kekuatan dalam menjayakan transformasi. Kejayaan puak Yahudi menguasai ekonomi Yathrib adalah bukti kepada kelebihan kedudukan geografi yang strategik.


Mereka telah pun mengambil kesempatan ini jauh lebih awal daripada penduduk tempatan dan menguasai ekonomi di sana. Kedudukan nadi di tengah-tengah kesibukan jalan dagang antara Yaman dan Syria adalah faktor penarik. Tambahan pula pedagang dari arah Makkah dan Taif juga menjadikan jalan ini sebagai laluan utama.


Inilah antara sebab tercetusnya Perang Badar di tahun ke-2 hijrah apabila masyarakat Islam mula menguasai jalan ini langsung menahan serta merampas hasil dagangan dari Makkah.


Sahabat Nabi, Abdul Rahman bin Auf r.a adalah perangsang kepada kemajuan ekonomi Madinah. Beliau menjadi penggerak utama ekonomi masyarakat baru Islam pada awal hijrah. Riwayat terkenal tentang beliau dan Sa’ad bin Al-Rabi’ r.a, Tunjukkan aku di mana pasar menjadi inspirasi masyarakat Madinah dan beliau memperoleh hasil kekayaan yang besar jumlahnya menjadi antara terkaya ketika itu sehingga mendapat gelaran Khuzzan yakni pemegang kekayaan ALLAH. Malah menurut catatan sepeninggalan beliau, setiap daripada isteri-isterinya ditinggalkan kekayaan termasuk dinar, hartanah dan emas tiap seorang hampir RM40 juta. (dinilai sekarang)


Kejayaan dan kebijaksanaan beliau sepatutnya dijadikan model rujukan oleh masyarakat Islam hari ini. Beliau melihat ekonomi secara literal dan mengaplikasikan petunjuk daripada ALLAH dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Islam hanya akan menjadi jalan penyelesaian jika perintah dan larangan diamalkan.


Hijrah Nabi SAW dan sahabat telah membawa perubahan besar kepada Yathrib yang kemudiannya ditukar nama Madinah Al- Munawarah. Perubahan besar ini bukan sahaja di sana tetapi kepada seluruh dunia sehingga ke hari ini. Perubahan yang berlaku dalam segala sektor menjadikan Madinah ikon bandar raya dwi-fungsi yakni ibadah dan ekonomi komuniti Islam. Aktiviti dagangan di Madinah masih mempunyai keupayaan daya penarik hasil keluaran dunia.


Keberhasilan Nabi SAW dalam memisahkan peranan institusi masjid dan pasar menjadikan masyarakat Islam begitu fokus dalam ibadah dan aktiviti ekonomi harian. Usaha serta wahyu ALLAH dijadikan panduan gerak kerja dan adalah dangkal bagi yang memikirkan bahawa istilah strategi adalah asing bagi Nabi SAW serta para sahabat Mereka begitu perinci dan bervisi jauh dalam setiap perancangan dan perlaksanaan, baik untuk agama mahu pun kehidupan.

No comments:

Post a Comment