Islam menggalakkan umatnya
menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur. - Gambar hiasan
PEPATAH Melayu pernah berkata, 'orang berbudi kita berbahasa,
orang memberi kita merasa.' Bahasa merupakan suatu elemen penting dalam
kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama
ada secara lisan atau tulisan.
Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan
teratur akan memberi makna yang mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan.
Bahasa yang tinggi dengan nilai dan santun lebih mudah menarik orang memahami
serta menghayati isi kandungannya.
Seringkali apabila dikatakan orang yang tidak menggunakan
bahasa yang baik, ia sering dikatakan tidak beradab atau 'kurang ajar.'
Walaupun pada sesetengah orang bahasa hanyalah medium untuk menyampaikan
pendapat dan perasaan, tetapi bahasa juga merupakan lambang keperibadian dan
olahan didikan yang diterima oleh seseorang.
Kerana itu, keindahan budi pekerti atau akhlak yang mulia seringkali
juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa yang indah dan elok kerana pentingnya
hubungan antara kedua-dua faktor ini dalam aspek kehidupan.
Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang
indah dan baik-baik apabila bertutur. Rasulullah SAW sendiri berdakwah
menggunakan bahasa yang paling baik dan halus, serta tidak pernah menggunakan
bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda walaupun kepada kaum
Quraisy yang menentangnya.
Pentingnya penekanan Allah terhadap penggunaan bahasa yang
baik boleh dilihat dalam banyaknya ayat Allah, selain banyak menggunakan
perumpamaan yang indah dan baik untuk menggambarkan pentingnya bahasa dalam
membentuk mahupun merubah minda dan keperibadian seseorang.
Antaranya, Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa a.s supaya
menggunakan bahasa dan perkataan yang paling lembut dan baik apabila berdakwah
kepada raja Firaun yang zalim (rujuk surah Taaha: 20).
Allah juga memerintahkan supaya menggunakan percakapan yang
paling lembut dengan ibu bapa dan menegah sekalipun berkata 'Ah!' kepada ibu
bapa. Luqman Al-Hakim juga berpesan dengan anaknya, menggunakan istilah 'Wahai
anakku' yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya.
(rujuk surah Luqman: 12-19).
Menarik sekali apabila penulis buku motivasi terkenal, La
Tahzan (Jangan Bersedih), Dr. Aidh Abdullah al-Qarni juga ada berkata dalam
suatu temuramah, "Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan
berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu
agama dan kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain." Ini
menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi
ia harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.
Remaja hari ini sering dikaitkan dengan golongan yang tidak
pandai 'berbudi bahasa' dengan golongan yang lebih tua. Remaja atau golongan
belia juga dijadikan sasaran dalam mengetengahkan isu-isu kerana suara mereka
lebih ramai dan lebih bertenaga.
Cabaran sosial, globalisasi dan taraf hidup yang mencabar
menjadikan remaja terdedah dengan contoh dan teladan yang tidak menepati
kehendak Islam dan budaya Timur.
Kebebasan berekspresi dalam lingkungan yang terlalu bebas
serta tanpa tujuan adalah sesuatu yang harus dibendung supaya luahan minda dan
pendapat dapat dilontarkan dalam suasana yang kondusif, baik dan teratur.
Di tahap remaja, idealisme atau berfikir secara ideal
selalunya menjadi pegangan. Pada tahap remaja, pemikiran yang membentuk remaja
masih lagi belum di tahap matang dan sempurna. Pengalaman hidup masih belum
banyak dan kerenah cabaran realiti masih belum banyak ditempuh.
Oleh itu, idealisme yang dikutip hasil pembacaan dan juga
pengajian sering menjadi landasan persepsi dan perjuangan remaja. Idealisme
kadang-kadang memimpin remaja berfikir secara sempurna mengambil pendekatan
hitam putih dan lebih cenderung mengkritik status quo.
Inilah yang terpancar pada pemikiran sebahagian para remaja
terhadap sesuatu isu yang terserlah dalam blog-blog mereka, rangkaian sosial
mahupun dalam forum-forum Internet. Lalu kadangkala keluarlah pendapat dan
komen-komen yang diungkapkan dalam bahasa yang kurang enak dibaca atau
didengar.
Adab dalam berbudi bahasa menyentuh tentang peri pentingnya
disiplin hati bagi seorang manusia. Ada orang berkata mulut celupar tetapi hati
baik. Jika dihalusi, ia adalah gambaran hati yang bercelaru, walaupun asalnya
mungkin berniat baik. Kadang-kadang ia adalah perlambangan ego yang tinggi
dalam diri.
Apabila merasakan diri lebih baik daripada orang lain, senang
sahaja kata-kata sinis dan pedih keluar dan ini akan menyerlahkan sifat egois
dalam diri. Apabila hati telah terguris, maka mudah berlaku perpecahan, umpat
mengumpat serta keji mengeji.
Maka inilah hikmah Allah menyuruh manusia berkata-kata dengan
baik, kerana fitrahnya manusia memang suka mendengar sesuatu yang baik dan
indah. (rujuk surah Ali Imran: 159).
No comments:
Post a Comment