RAMAI yang
menyalahkan nasi kerana beranggapan sumber karbohidrat itulah punca masalah
kegemukan. Justeru, mereka elak makan nasi semasa ingin kuruskan badan, tetapi
adakah kita boleh makan nasi untuk kekalkan atau kurangkan berat badan?
Banyak salah
faham mengenai nasi. Hakikatnya, nasi menyumbang kepada jumlah kalori yang sama
seperti jika anda mengambil gandum. Apa yang penting adalah jumlah nasi yang
dimakan.
Nasi adalah
sumber karbohidrat kompleks yang baik dan bertindak sebagai sumber protein yang
baik bagi menggantikan daging untuk mereka yang mengamalkan diet sayur-sayuran.
Selain itu, ramai juga yang bertanya kepada saya kalau hendak makan nasi, berapa kuantiti yang sepatutnya diambil? Jawapannya, pasti saja boleh untuk anda mengambil nasi dan nasihat saya, ia perlu diambil sebanyak segenggam sebelah tangan anda saja.
Ia sudah memadai dan mengenyangkan ditambah dengan sumber protein lain seperti ikan atau ayam dan sayur-sayuran. Ingat, nasi dalam kuantiti segenggam itu adalah jumlah sumber karbohidrat untuk sekali makan saja.
Anda mungkin
makan nasi sekali, dua, tiga atau lima kali sehari, tetapi ia harus dalam
kuantiti segenggam itu. Jika anda menukar nasi dengan mengambil roti, pasta
atau mihun, cuba bayangkan kuantitinya sebanyak segenggam tangan saja.
Sebenarnya, memang lebih elok anda makan nasi lima kali sehari supaya kadar metabolisme badan tinggi. Namun ia bergantung juga kepada kemampuan diri seseorang.
Lain orang lain keadaan dirinya dan anda mesti memahami diri sendiri sebelum melakukan sesuatu yang drastik dalam usaha mengekalkan atau menurunkan berat badan.
Saya tidak nafikan tanpa nasi, ia boleh membuatkan berat badan seseorang turun, tetapi ia perlu diimbangi dengan bentuk makanan termasuk sarapan yang mengandungi kalori sewajarnya.
Mengenai amalan tidak makan nasi semata-mata untuk menurunkan berat badan, saya juga akui ramai yang melakukan hal sedemikian.
Namun, banyak aspek yang perlu diambil kira sama ada daripada segi ketinggian, berat badan dan umur seseorang kerana diet yang betul akan memberikan impak yang lebih baik untuk kesihatan diri.
Seseorang
yang ingin berdiet boleh makan nasi, tetapi hendaklah mengurangkan kuantitinya
seperti separuh daripada segenggam tangan itu. Ia diimbangi pula dengan
pengambilan sayur atau lauk.
Selain itu, tenaga yang keluar dan masuk harus diseimbangkan mengikut cara yang betul. Semakin berusia seseorang itu, metabolisme semakin berkurangan. Oleh itu, perlu dicari formula untuk menyeimbangkannya.
Contohnya, anda lepak di kedai mamak dan makan segenggam nasi, lauk ayam, sedikit sayur dan minum segelas air kosong. Hidangan ini elok bagi mereka yang mahu mengekalkan ataupun cuba untuk menurunkan berat badan. Ini disebabkan ia seimbang kerana hanya ada satu bentuk karbohidrat saja iaitu melalui nasi.
Namun berbeza sekiranya anda mengambil segenggam nasi, lauk ayam, sayur dan minum air manis seperti teh tarik atau jus oren. Ini kerana di dalam menu ini terdapat dua sumber karbohidrat iaitu nasi dan minuman manis tadi. Sebab itu saya katakan, anda mesti tahu dan pandai mengimbangi jumlah pengambilan makanan seharian.
Saya tidak galakkan anda meninggalkan nasi malah berasa ia sesuatu yang praktikal lebih-lebih lagi ia makanan ruji kita sebagai masyarakat Asia. Tetapi semua itu terpulang kepada anda sendiri.
Sekali lagi saya tegaskan, jangan salahkan nasi dan amalkan diet praktikal setiap masa. Kemudian, pastikan kuantiti pengambilan protein cukup. Sebagai panduan, pastikan anda mengambil dua hingga 2.5 gram untuk setiap kilogram berat badan anda. Harus diingat, protein lebih mengenyangkan berbanding karbohidrat.
No comments:
Post a Comment