Pages

Sunday, 24 June 2012

Jerman bukan tandingan Greece















PEMAIN-PEMAIN Jerman meraikan kejayaan mara ke separuh akhir selepas menewaskan Greece 4-2 di Stadium Donbass Arena awal pagi semalam. 


GDANSK, Poland - Percaturan jurulatih Jerman, Joachim Löw untuk merombak jentera serangan pasukan itu pada aksi suku akhir menentang Greece awal pagi semalam, membuahkan hasil.


Pada aksi di stadium Donbass Arena itu, anak-anak buah Löw tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 4-2.


Penyerang veteran, Miroslav Klose, 34, membuktikan bahawa dia masih lagi dianggap sebagai pencabar utama kepada Mario Gomez untuk mengemudi jentera serangan pasukan itu.


Pemain sayap, Marco Reus dan André Schürrle turut beraksi cemerlang untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Greece menerusi kelincahan mereka.


Dalam masa yang sama, Reus turut meletakkan namanya sebagai penjaring apabila meledakkan gol keempat Jerman.


"Hari ini (semalam) adalah hari perubahan. Saya telah memikirkan mengenai perkara ini sejak beberapa hari lepas," kata Löw.


"Saya bukan tidak gembira dengan barisan pemain sebelum ini tetapi saya mahu melakukan perubahan.


"Saya mahu menjadikan pasukan ini sebagai sebuah pasukan yang sukar untuk diramal."


Bagaimanapun, Löw tidak berpuas hati selepas strategi untuk melakukan rombakan itu diketahui oleh media Jerman sebelum perlawanan bermula. 


Beliau berkata, ada kemungkinan 'rahsia' itu telah dibocorkan oleh ejen-ejen pemain, namun Jerman bernasib baik apabila berita tersebut tidak sampai kepada Greece.


Löw menggunakan khidmat Gomez dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan dan penyerang Bayern Munich itu berjaya menyumbang tiga gol ketika menewaskan Portugal dan Belanda.


Begitupun, Gomez kurang berkesan pada aksi terakhir menentang Denmark, sekali gus memberi laluan kepada Klose untuk diturunkan pada pertemuan menentang Greece. - Agensi


No comments:

Post a Comment