Pages

Wednesday, 27 June 2012

Kaitan rezeki dengan tauhid




SEGALA yang dapat diambil manfaatnya adalah rezeki. Makna itu diambil berdasarkan kata 'rezeki' yang terdapat dalam terjemahan surah al-Baqarah ayat tiga: "… membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki…"


Rezeki merupakan salah satu kata kunci dalam ajaran Islam kerana berkait rapat dengan konsep tauhid. Dalam surah al-Baqarah ayat 22 dan 57, konsep rezeki dikaitkan secara langsung dengan masalah keimanan.




 
Dalam ayat 22, Allah SWT membicarakan tentang hujan yang menyirami pohon-pohon dan menghasilkan buah-buahan: "yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu…"
Dalam ayat 57 pula Allah SWT menyuruh: "Makanlah makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu. Dan tidaklah mereka menganiaya diri sendiri."


Kedua-dua ayat itu menunjukkan bahawa masalah rezeki dapat menjadikan manusia menjadi musyrik dan zalim, apabila mereka yakin bahawa rezeki itu dapat diperoleh daripada sumber lain selain Allah SWT.




 
Halal haram


Kaum Muktazilah berpendapat rezeki hanyalah untuk pemberian yang halal. Sedangkan yang haram tidak boleh disebut sebagai rezeki kerana pemilikannya tidak sah.


Hujah ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang (hendak) bertakwa membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (al-Baqarah: 2-3)


Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa rezeki itu adalah segala sesuatu yang bermanafaat, sama ada yang halal atau yang haram. 


Rezeki ditafsir sebagai 'bahagian'. Oleh itu, bahagian yang diperoleh atau digunakan secara tidak sah merupakan bahagian yang haram.




 
Usaha


Meskipun Allah SWT Maha Pemurah dan rezeki-Nya maha luas, namun manusia tidak akan dapat memperoleh rezeki itu jika tidak berusaha. Usahanya menjadi ukuran banyaknya hasil perolehan. 


Dalam al-Quran ditegaskan: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan ( balasan ) apa yang diusahakannya. (al-Najm: 39)


Rezeki Allah SWT maha luas dan tidak terbatas pada ruang dan waktu .Rezeki-Nya itu bukan sahaja diberikan kepada manusia tetapi juga kepada segala makhluk-Nya. Hal itu dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan tiadalah sesuatu pun makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya. (Hud: 6 )




 
Ukuran


Dalam al-Quran dinyatakan bahawa Allah SWT yang memberikan rezeki kepada makhluk di muka bumi, kerana Dia adalah satu-satunya sumber rezeki(rujuk al-Hijr: 20). Dengan kata lain, semua makhluk memiliki hak rezeki daripada Allah SWT, namun rezeki bagi semua makhluk itu mempunyai ukuran. (rujuk al-Hijr: 20)


Manusia tidak boleh menggunakan sumber kehidupan (rezeki) untuk kepentingan diri sendiri yang akan menyebabkan terganggunya keseimbangan alam. 


Keseimbangan alam yang terganggu itu akhirnya akan merugikan manusia sendiri, misalnya penebangan kayu secara berlebihan (tidak terkawal) yang menyebabkan banjir dan perilaku lain seumpamanya.



No comments:

Post a Comment