Pages

Sunday, 24 June 2012

Kelantan terus beri tekanan kepada Lions XII

















PEMAIN Kelantan, S Chanturu (dua dari kiri) diasak dua pemain Sabah, Dendy Lowa (kanan) dan K Thanaraj dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV di Kota Bharu, malam tadi.


JUARA bertahan Liga Super, Kelantan terus memberi tekanan kepada Lions XII di puncak liga selepas berjaya menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi. 


Hasil kemenangan itu, The Red Warriors kini hanya dibezakan tiga mata dengan pencabarnya itu yang tidak beraksi bagi memberi ruang kepada pemain negara Kota Singa itu menumpukan perhatian pada Kelayakan Piala Asia Bawah-22 di Indonesia. 


Anak buah Bojan Hodak yang sedang mengejar pungutan mata Lions XII di puncak Liga Super hanya perlu menunggu sehingga minit keenam permainan untuk mendahului Sabah menerusi pemain pertahanan, Rizal Fahmi Rosid yang menyambut baik sepakan percuma kapten pasukan, Mohd Badhri Radhzi. 


Selepas rehat, Mohd Badhri sekali lagi menjadi pencetus kepada jaringan kedua tuan rumah dan kali ini bola hantarannya ditanduk masuk Indra Putra Mahyuddin pada masa kecederaan. 


Di Stadium Negeri Sarawak, Perak mencapai kemenangan 2-1 ke atas Sarawak yang membolehkan skuad Seladang memintas kedudukan Selangor di tempat ketiga carta liga. 


Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila hanya sekadar seri 1-1 dengan Negeri Sembilan. 


Di Stadium MBPJ Kelana Jaya, kehadiran semula penyerang import, Francis Forkey Doe dalam skuad Terengganu masih gagal membantu pasukan itu mencatat kemenangan apabila sekadar seri 2-2 dengan pasukan kelab, PKNS. 


Di Stadium Darulaman, skuad ibu kota, Kuala Lumpur terus dipalit kekalahan dan kali ini tewas 2-1 kepada Kedah.

No comments:

Post a Comment