Pages

Wednesday, 27 June 2012

Kopi panjang umur?




SALAH satu kemanisan dalam hidup, kini semakin ‘manis’. Selepas bertahun-tahun penyelidik menjalankan kajian ke atas kesan kopi pada kesihatan, sehingga ada yang bimbang minuman kegemaran dunia ini mungkin boleh meningkatkan risiko sakit jantung, tetapi kajian besar-besaran menunjukkan keputusan sebaliknya. 


Peminum kopi didapati mempunyai jangka hayat yang lebih panjang tidak kira sama ada kopi tanpa kafein atau mengandungi kafein. 


Kajian ke atas 400,000 orang adalah antara kajian terbesar yang pernah dijalankan setakat ini mengenai isu kopi dan kesihatan. Keputusan ini pasti menggembirakan peminum kopi yang selama ini mengenepikan rasa bersalah kerana mahu menikmati minuman kegemaran mereka. 


“Hasil penyelidikan kami mendapati kopi tidak memberi kesan buruk kepada badan bahkan ia memberi manfaat kepada peminum kopi,” kata Ketua Penyelidik Institut Kanser Nasional (NCI), Neal Freedman. 


Bagaimana dan mengapa, tiada siapa yang tahu. Kopi mengandungi beribu-ribu benda yang boleh memberi kesan kepada kesihatan, daripada bahan antioksidan bermanfaat hinggalah kepada bahan yang dikaitkan dengan kanser. Kafein, bahan dalam kopi yang paling banyak dikaji - tidak memainkan peranan penting dalam keputusan kajian terbaru ini. 


Namun, bukanlah bermakna kajian terdahulu semuanya salah. Memang ada bukti bahawa kopi boleh meningkatkan tahap kolesterol buruk atau kolesterol berketumpatan rendah (LDL) dan tekanan darah dalam jangka masa pendek yang seterusnya menaikkan risiko untuk mendapat penyakit jantung. 


Malah dalam kajian terbaru ini, pada mulanya didapati peminum kopi lebih cenderung untuk meninggal dunia pada bila-bila masa. Ini kerana ramai peminum kopi juga merokok, minum banyak alkohol, makan banyak daging merah dan kurang bersenam berbanding bukan peminum kopi. 


Namun, sebaik penyelidik mengambil kira semua perkara ini, satu pola yang jelas muncul: Satu cawan kopi sehari meningkatkan peluang hidup lebih lama. 


Kajian ini dijalankan oleh Institut Kesihatan Nasional dan AARP, organisasi yang memberi sokongan kepada warga emas berumur 50 tahun dan ke atas. Keputusan kajian disiarkan dalam Jurnal Perubatan New England, baru-baru ini. 


Pun begitu jangan ada yang salah sangka, keputusan kajian ini bukanlah bukti bahawa kopi boleh memanjangkan hayat seseorang, tetapi ia kelihatan seperti ada kaitan. Seperti kebanyakan kajian lain mengenai pemakanan dan kesihatan, kajian ini hanya berdasarkan pemerhatian ke atas tabiat orang dan kesannya ke atas kesihatan. Jadi ia tidak boleh dijadikan bukti sebab dan akibat (kepada tahap kesihatan peminum kopi). 


Namun, jumlah responden (peserta kajian) yang sangat ramai itu dengan susulan lebih 10 tahun dan mempunyai cukup jumlah kematian untuk dijadikan perbandingan, kajian ini mungkin ‘bukti terbaik’ setakat ini mengenai manfaat meminum kopi, kata Dr Frank Hu daripada Unit Pengajian Kesihatan Awam Harvard. Walaupun dia tidak mempunyai tugas khas dalam kajian ini, Dr Hu banyak membantu dalam kajian terdahulu yang menemui khasiat kopi. 


Kajian terbaru ini bermula pada 1995 dan membabitkan ahli AARP berumur antara 50 hingga 71 tahun di California, Florida, Louisiana, New Jersey, Carolina Utara, Pennsylvania, Atlanta dan Detroit. 




 
Ahli yang menghidap penyakit jantung, pernah mendapat serangan strok atau kanser dikeluarkan daripada kajian ini. Begitu juga dengan orang tua yang mengamalkan pemakanan ekstrem seperti mengambil terlalu banyak atau terlalu sedikit kalori dalam sehari. 


Pada peringkat awal kajian, peserta turut memberi maklumat minum kopi. Tabiat minum kopi kebanyakan orang agak konsisten sepanjang hayat, jadi tiada masalah besar dalam mendapatkan data bagi kajian ini. 


Daripada 402,260 peserta kajian, 42,000 orang tidak minum kopi. Kira-kira 15,000 orang minum enam cawan kopi sehari atau lebih. Kebanyakannya minum dua atau tiga cawan kopi sehari. 


Pada 2008, seramai 52,000 peserta meninggal dunia. Berbanding peserta yang tidak minum kopi, lelaki yang minum dua atau tiga cawan kopi sehari mempunyai kebarangkalian 10 peratus lebih rendah meninggal dunia dan 13 peratus di kalangan wanita. 


Malah, secawan kopi sehari dikatakan sudah cukup untuk merendahkan risiko: enam peratus bagi lelaki dan lima peratus bagi wanita. Namun, kesan paling besar dilihat pada wanita yang minum empat atau lima cawan kopi sehari - yang menunjukkan pengurangan risiko kematian sebanyak 16 peratus. 


Pun begitu, penyelidik tidak tahu berapa lama jangka hayat yang boleh dipanjangkan dengan meminum kopi. 


“Saya tidak boleh mengira tempoh ini,” kata Freedman. 


Ini kerana peminum kopi juga ramai yang merokok dan tabiat ini menjadi faktor utama yang boleh menjejaskan jangka hayat seseorang pada semua peringkat umur. 


Pun begitu, kajian ini mendapati peminum kopi kurang cenderung untuk mati akibat penyakit jantung atau saluran pernafasan, strok, kencing manis, kecederaan, kemalangan atau jangkitan. Tiada kesan dilihat pada risiko kematian akibat kanser. 


Kajian lain mengaitkan minum kopi dengan paras penanda untuk keradangan dan rintangan terhadap insulin yang lebih rendah. Malah, penyelidik juga mempertimbangkan orang yang ada masalah kesihatan mungkin mengelak daripada minum kopi dan sama ada tindakan itu boleh menyebabkan keputusan kurang tepat. Untuk mengelakkan masalah ini, mereka yang ada masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan kanser (penyakit yang paling lazim) tidak diambil untuk menyertai kajian berkenaan. 


Kira-kira dua pertiga peserta kajian minum kopi biasa dan satu pertiga mengambil kopi tanpa kafein. Didapati jenis kopi tidak memberikan sebarang perbezaan pada keputusan. Manfaat minum kopi dilihat sangat tinggi pada individu yang sihat ketika kajian dimulakan. 


Walaupun kopi ada manfaatnya, Dr Hu tetap memberikan beberapa peringatan kepada peminum kopi iaitu: 




 
* Jaga jumlah gula yang dan krim yang dimasukkan ke dalam minuman kegemaran anda ini. Kalori dan lemak boleh menenggelamkan manfaat kopi. 


* Minum kopi bertapis kerana komponen yang boleh meninggikan paras LDL sudah dikeluarkan. 


Buat masa ini, kajian hanya dilakukan ke atas kopi, tetapi penyelidik bercadang untuk menjalankan pemerhatian yang sama ke atas peminum teh, soda dan minuman lain pada masa akan datang. - AP

2 comments:

  1. Kopi memang berkhasiat, tapi kalau TERLEBIH DOS macam iha ni, memang hilang dah khasiatnya, huhu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama la..seribupilihan pon dah terlebih dos..huhu

      Delete