Pages

Saturday, 23 June 2012

Makan hilangkan stress




MACAM-macam cara di lakukan orang untuk mengurangkan tekanan atau stres. Setiap cara itu saya pasti akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kerana pengurusan inilah yang akan menyumbang kepada tahap kesihatan kita. 


Tapi saranan saya, apa saja yang dilakukan untuk mengurangkan tekanan janganlah sampai ia memudaratkan diri sendiri. 


Saya pernah bertukar-tukar pendapat dengan seorang teman mengenai apa yang dilakukannya jika berada dalam keadaan tertekan.


Dengan jujurnya dia memberitahu bahawa makan apabila berhadapan dengan stres. 




 
Saya agak hairan apa yang membuatkan dia ingin makan apabila tertekan.Jawapannya ringkas. Dia seronok dan terhibur apabila dapat menggigit dan mengunyah makanan dalam masa yang sama boleh melupakan tekanan. 


Amalan makan tanpa kawalan ketika stres adalah tidak sihat kerana akan menyumbang kepada beberapa penyakit yang serius seperti kegemukan, penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya. 


Jadi pada minggu ini saya akan berkongsi dengan anda apakah makanan yang sesuai untuk orang yang stres. 


Sebenarnya terdapat makanan yang boleh membantu mengurangkan tekanan dalam beberapa cara. 


Makanan seperti semangkuk oat panas, sebenarnya meningkatkan tahap serotonin iaitu sejenis kimia dalam otak yang boleh memberikan suatu perasaan tenang dan menghilangkan kesan tekanan. 




 
Sayur-sayuran mentah rangup juga dapat membantu mengawal tekanan dalam satu cara yang mekanikal. Mengunyah saderi atau lobak merah dapat membebaskan ketegangan ketika mengunyahnya. 

 
Cara ini dapat membebaskan rahang daripada terketap dengan aktiviti mengunyah sayuran mentah yang berkhasiat dan tidak menggemukkan. 


Selain coklat dan oat, karbohidrat kompleks mampu mendesak otak untuk menghasilkan lebih serotonin.


Untuk mendapatkan bekalan bahan kimia yang memberi nikmat kelegaan dalam otak kita, saya mencadangkan agar anda mengambil makanan berkarbohidrat penuh yang lebih lambat dihadam jadi anda tidak akan cepat berasa lapar. 




 
Pilihan-pilihan yang baik untuk makanan yang mengandungi karbohidrat penuh adalah termasuk bijirin sarapan gandum penuh, roti gandum penuh dan pasta. 


Karbohidrat-karbohidrat kompleks dapat membantu menstabilkan gula dalam darah dan keadaan ini juga akan dapat menyeimbangkan anda ketika tertekan.




 
Menikmati buah-buahan yang kaya vitamin C juga dapat mengurangkan stres. Kajian mencadangkan vitamin C boleh mengurangkan hormon-hormon tekanan dan memperkukuhkan sistem imun. 


Dalam satu kajian yang telah dijalankan kepada orang yang ada tekanan darah tinggi mendapati sebelum mereka berhadapan dengan stres, tekanan darah dan tahap-tahap kortisol (satu hormon stres) mereka kembali normal dengan lebih cepat selepas mereka mengambil vitamin C.


Jadi banyak buah-buah dan sayuran yang kaya vitamin C boleh anda ambil jika anda berhadapan dengan stres. 


Pasti anda tahu makanan apa yang paling disukai oleh Popeye? Sudah semestinya bayam. Sayur bayam mempunyai kandungan magnesium yang tinggi.


Jumlah magnesium yang terlalu kecil dalam badan boleh mencetuskan sakit kepala, keletihan dan akan mengakibatkan tekanan. 




 
Mengambil satu cawan bayam akan menambah jumlah magnesium. Jika anda tidak menggemari bayam cubalah ambil hidangan kacang soya atau ikan salmon yang juga mempunyai kandungan magnesium yang tinggi. 


Sayur-sayuran berdaun hijau merupakan satu sumber makanan yang kaya magnesium. 




 
Kacang pistasio serta kacang-kacang lain juga mengandungi lemak sihat. Makan segenggam kacang pistasio, walnut atau badam setiap hari boleh membantu mengurangkan kolesterol anda, mengurangkan keradangan dalam arteri jantung, mengurangkan risiko kencing manis dan melindungi anda menentang tekanan. 


Baiklah jangan jadikan alasan stres untuk anda mengambil makanan dengan tidak terkawal. Cubalah kawal stres anda dan jika anda berasa stres cuba sediakan hidangan saya ini untuk melegakan tekanan itu.

No comments:

Post a Comment