SELEPAS membincangkan tiga sebab utama yang menyebabkan
pasangan bercerai, kali ini saya ingin menyentuh faktor ekonomi atau kewangan.
Isu kewangan keluarga kadang-kala menjadi punca utama perceraian kerana ia
adalah sebab utama pasangan bergaduh.
Dalam Islam pernikahan itu adalah satu ibadah. Jika ingin
berkahwin, seseorang itu mestilah seorang yang mampu fizikal, mental (termasuk
kerohanian) dan kewangan. Hanya dengan kemampuan dalam tiga perkara utama ini,
perkahwinan dapat mencapai kebahagiaan jitu.
Ini bukanlah bermakna seseorang itu perlu kaya raya baharu
dia boleh menjadikan rumah tangganya bahagia. Tetapi keupayaan menanggung makan
minum, pakaian dan perubatan tanggungan mengikut kemampuan adalah sesuatu yang
wajib dipenuhi oleh seseorang yang berkahwin.
Tanggungjawab ini diletakkan oleh Islam ke bahu suami atau
seorang lelaki. Sebab itu, Islam mewujudkan peruntukkan sekufu di mana
perkahwinan harus melihat keserasian pasangan bukan hanya kepada kelayakan
akademik, jawatan atau kerjaya tetapi juga latar belakang keluarganya.
Wali mempunyai hak membatalkan suatu pernikahan jika anak
perempuannya berkahwin tanpa kebenaran dan persetujuannya dan pasangan yang
dipilih oleh anak tidak sekufu dengan anaknya. Jika dulu, isu sekufu dilihat
sebagai isu 'antara dua darjat' dan dipandang remeh oleh pasangan yang dilamun
cinta.
Isu ekonomi yang boleh menyebabkan pasangan bercerai-berai
ialah isu pendapatan keluarga dan siapakah yang bertanggungjawab menyara ahli
keluarga?
Sudah tentu kewajipan itu diletakkan di bahu suami. Tetapi
hari ramai suami mempunyai pendapatan yang lebih kecil daripada isteri.
Semasa hendak berkahwin, ada di antara mereka yang mendapat
tentangan keluarga, terutama keluarga pihak perempuan kerana merasakan anak
perempuan mereka akan menyara keluarga dan bukan suami.
Ada juga keluarga yang risau jika anak perempuan mereka
berkahwin, suami akan mengawal wang gaji anaknya sehingga tidak dapat berbakti
kepada ibu bapa.
Jelas, faktor ekonomi memainkan peranan penting dalam rumah
tangga. Hari ini ibu bapa atau wali dilanda dilema kerana anak perempuan yang
berijazah dipinang lelaki yang tidak berkelulusan tinggi.
Ibu bapa juga tertekan dengan masalah anak perempuan
berjawatan tinggi tetapi tidak dipinang orang. Kerana takut menjadi anak dara
tua, akhirnya dinikahkan juga dengan seseorang yang tidak sekufu dengannya dari
sudut akademik dan kerjaya.
Bagi saya, seorang lelaki yang berpendapatan kecil masih
boleh menikahi wanita yang berpendapatan tinggi dengan syarat lelaki itu tahu
tanggungjawabnya.
Dengan gaji yang kecil, ia perlu merancang kewangan rumah
tangga supaya dialah yang menanggung makan minum anak dan isterinya serta
menyediakan rumah untuk mereka mengikut kemampuannya.
Jika isteri kemudian mahu sesuatu di luar kemampuan suami,
maka dia boleh menggunakan wang sendiri. Jika isteri reda berkongsi
pendapatannya dengan suami dan anak-anak, itu adalah sedekah dan jariahnya.
Namun, isteri perlu ingat bahawa dia tidak boleh mengungkit
pemberiannya, kerana ia tidak akan dapat pahala. Jika diungkit maka isteri akan
menjadi orang paling malang kerana dia letih bekerja menanggung keluarga kerana
suami tidak mampu.
Suami pula merasa rendah diri dan tersisih kerana isteri
seperti tidak memerlukannya. Akhirnya suami mencari tempat bermanja yang lain
yang boleh menerimanya seadanya dan isteri menjadi sakit hati dan mengungkit
segala perkara dan dia tidak mendapat pahala.
Ingatlah wahai isteri, jika berkahwin dengan pilihan hati
yang anda tahu tidak mampu menanggung anda, bersedialah untuk berkorban. Jika
tidak, rumah tangga akan terkorban.
Bagi kaum lelaki pula, ingatlah tanggungjawab menanggung
isteri dan anak-anak serta ibu bapa adalah tanggungjawab anda. Jika tidak
mampu, didiklah isteri dan anak supaya bersyukur dan bila mencari isteri
'ukurlah baju di badan sendiri'.
Hari ini ramai lelaki yang mengambil kesempatan daripada
perkahwinannya, di mana akhirnya isterilah yang menanggung dia dan anak-anak
sepenuhnya.
Ada suami yang berhenti kerja dan duduk di rumah seperti raja
sehinggakan apabila perceraian berlaku, enggan meninggalkan rumah perkahwinan
kerana dia tidak ada tempat hendak dituju kerana dia tidak bekerja.
Ibu bapa perlu mendidik anak lelaki supaya tahu tanggungjawab
mereka dan apabila berkahwin dapat menjadi suami dan bapa yang dihormati.
PERKAHWINAN ADALAH IKATAN DUA HATI,, PERLU BERTOLAK ANSUR DLM SEMUA SEGI.. SUAMI PERLU MENGEMUDI KELUARGA DGN SEBAIKNYA,, TANGGUNGJWAB YANG DIGALAS AMAT BERAT.. ISTERI HARUS MNJADI TEMAN SETIA YG MEMAHAMI... BARULAH KELUARGA BAHAGIA DAN RUMAHKU SYURGA KU TERBINA.....TERIMAKASIH PD TUAN BLOG.. SATU PERKONSIAN YG MEMBINA
ReplyDelete