BIARPUN tidak mempunyai rasa, ampo
yang rangup menjadi makanan warga Tuban, Indonesia.
JIKA tidak diberitahu terlebih dahulu, pasti ramai yang
menyangka bahawa hidangan di dalam pinggan itu merupakan kepingan coklat gelap
yang digulung.
Sebenarnya, makanan yang hanya popular di sebuah desa di
Tuban, Jawa Timur, Indonesia itu diperbuat daripada tanah liat.
"Orang Tuban sahaja yang memakan tanah yang disebut ampo
ini," kata seorang penjual ampo yang dikenali sebagai Rasima.
Jelas Rasima, ampo dipercayai mampu menghilangkan rasa sakit
malah menjadi ubat untuk pelbagai jenis penyakit. Ia merupakan makanan
turun-temurun warga kampung tersebut.
Cara membuat snek itu tidak terlalu sukar kerana tiada resipi
khas mengenainya. Untuk membuatnya hanya memerlukan tanah liat yang diambil
dari kawasan yang tidak tercemar.
"Cuma perlu cari tanah yang bersih yang tidak bercampur
pasir. Kemudian ditumbuk dan dipadatkan sehingga membentuk seperti bongkah segi
empat.
"Seterusnya kikis bongkah itu dan bentuk menjadi
gulungan. Gulungan itu kemudian dibakar dan diasapkan selama sejam. Selepas itu
ia sedia dimakan sebagai snek," kata Rasima.
Biasanya, Rasima menjual makanan tersebut di pasar sekitar
rumahnya dan mampu memperoleh pendapatan sebanyak 20,000 rupiah (RM6.80)
sehari, cukup untuk menyara keluarganya.
Biarpun tidak popular, ampo terus menjadi pilihan ramai
penduduk kampung tersebut sebagai salah satu cara untuk menjaga kesihatan.
Seorang peminat makanan itu yang enggan dikenali menjelaskan,
dia telah memakan tanah bakar tersebut sejak kecil lagi kerana ia memberi
keselesaan kepada perut dan menguatkan sistem pencernaan.
"Saya memakan ampo dari dahulu lagi kerana ia boleh
menyejukkan perut saya. Saya tidak pernah berdepan masalah sepanjang makan hidangan
itu," katanya yang berusia 40-an.
No comments:
Post a Comment