Pages

Saturday, 9 June 2012

Wajah mukmin berseri-seri























al-Quran diturunkan kepada semua umat manusia sebagai panduan agar berjaya di dunia dan di akhirat. - Gambar hiasan 


SETELAH Allah menceritakan berkenaan dengan hal ehwal manusia dan keadaan mereka, maka Allah datang pula dengan ayat yang memberi arahan kepada Rasul-Nya SAW mengenai al-Quran yang diwahyukan kepadanya dan bagaimana peraturan menerimanya.


Firman Allah SWT: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) al-Quran kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. (al-Qiyamah: 16-17)


Al-Maraghi berkata: Dia menerangkan jaminan yang pertama menerusi firman-Nya: Wahai rasul yang mulia! Jangan engkau menggerakkan lisan dan kedua bibirmu untuk membacanya kerana engkau ingin mengambilnya dengan tergesa-gesa lantaran takut ia akan meninggalkanmu kerana Kami yang akan menghimpunkan untukmu, Kami juga yang akan menetapkannya dalam hatimu. 


Keadaan Nabi SAW apabila wahyu diturunkan kepadanya, Baginda sentiasa menggerakkan lidah dan kedua-dua bibirnya untuk mengikutnya sehingga sulit baginya. Perkara itu diketahui melalui gerakan kedua-dua bibirnya.


Ibnu Kathir berkata: Iaitu menguasai al-Quran.


Sayid Qutub berkata: Ayat-ayat ini menjelaskan bagaimana gelisah, resah dan tidak sabarnya Nabi SAW untuk mengingati wahyu-wahyu yang disampaikan kepada baginda. 


Baginda memberi sepenuh perhatiannya kepada wahyu itu dan terlalu bimbang jika sekiranya terlupa mana-mana ayat atau kalimah daripada wahyu tersebut. 


Inilah yang mendorong Nabi SAW mengikuti bacaan Malaikat Jibril as, ayat demi ayat dan kalimah demi kalimah, agar Baginda benar-benar pasti tiada satupun yang hilang dan benar-benar pasti bahawa baginda SAW telah mengingati semuanya. 


Firman Allah SWT: Apabila kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. (al-Qiyamah: 18)


Al-Maraghi berkata: Apabila malaikat membacakan wahyu Allah SWT kepadamu, amalkanlah syariat dan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Kemungkinan yang dimaksudkan, apabila malaikat membacakan al-Quran itu kepadamu, maka dengarkanlah, kemudian bacalah sebagaimana malaikat membacakan kepadamu.


Ibnu Kathir berkata: Iaitu Jika malaikat telah selesai membacakan wahyu daripada Allah SWT, dengarkanlah dan kemudian bacakan kepadanya sebagaimana malaikat telah membacakannya kepadamu.


Firman Allah SWT: Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan kamilah penjelasannya. (al-Qiyamah: 19)


Al-Maraghi berkata: Selepas Kami menjadikan engkau boleh menghafal dan membacakannya, Kami akan memperjelaskan dan memberi ilham maknanya kepada kamu sesuai dengan yang dikehendaki. Kemudian Dia mengulangi perbincangan yang mencela orang musyrik, dan keingkaran mereka terhadap hari kebangkitan.


Ibnu Kathir berkata: Iaitu setelah dia menghafaz dan membacanya, maka Kami (Allah) yang akan menjelaskan, menerangkan dan mengilhamkan maknanya untukmu sesuai dengan apa yang Kami kehendaki dan syariatkan.


Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, dia bercerita, Rasulullah SAW berusaha menghilangkan rasa gementar baginda disebabkan turunnya wahyu, dengan menggerakkan kedua bibirnya. Dia mengkhabarkan bahawa Ibnu Abbas berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku seperti mana Rasulullah SAW menggerakkan kedua bibir baginda." Sedangkan Said juga pernah berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku seperti mana aku melihat Ibnu Abbas menggerakkan kedua bibirnya."


Berkenaan dengan ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat:


  • Kami menyatakannya dengan lisanmu sehingga kamu mampu membaca sebagaimana Jibril membaca kepadamu, inilah pendapat Ibnu Abbas.
 
  • Kami membalas dengannya pada hari kiamat mengikut janji baik dan buruk, inilah pendapat al-Hasan.
 
  • Kami menjelaskan segala hukum-hakam halal dan haram, inilah pendapat Qatadah.
 
  • Kami menurunkannya menggunakan bahasa arab untuk menerangkan kepada manusia, inilah pendapat al-Zajjaj.

 
Firman Allah SWT: Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia. Dan meninggalkan (kehidupan) akhirat. (al-Qiyamah: 20-21)


Ata' berkata: Abu Jahal tidak beriman dengan al-Quran dan segala keterangannya. Sebaliknya Ibnu Jarir pula berpendapat: Hal urusan akhirat tidak seperti sangkaanmu di mana tidak dibangkitkan.


Qatadah berkata: Sebahagian besar manusia suka memilih yang dekat kecuali orang yang dikasihi dan dilindungi Allah SWT.


Ibnu Kathir berkata: Maksudnya yang menyebabkan mereka mendustakan hari kiamat dan penolakan mereka terhadap wahyu yang hak dan al-Quran yang diturunkan Oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW kerana sesungguhnya yang menjadi keinginan mereka adalah kehidupan dunia sedang mereka lengah dan lalai terhadap kehidupan akhirat.


Sayid Qutub berkata: Yang mula-mula menarik perhatian dari segi keselarasan penerangan ayat ialah kehidupan dunia di sini dinamakan dengan 'Ajilah (kehidupan yang cepat). Selain daripada kata-kata ini menyarankan betapa pendek dan cepatnya berakhir kehidupan dunia ini, di sana juga terdapat keselarasan di antara bayangan kata-kata kehidupan yang cepat itu.


Firman Allah SWT: Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. (al-Qiyamah: 22)


Ulama menafsirkan perkataan berseri-seri dengan pelbagai tafsiran, antaranya:


  • Berseri-seri dengan kenikmatan seperti pendapat al-Farra'.
 
  • Dengan kebaikan seperti pendapat Ibnu Abbas.
 
  • Dengan mendapat kenikmatan seperti pendapat Ibnu Zaid.
 
  • Dengan kegembiraan seperti pendapat Mujahid.
 
  • Dengan putih dan bercahaya mukanya seperti pendapat Muqatil.
 
  • Dengan dibersihkan mukanya seperti pendapat al-Suddi.
 
  • Al-Maraghi berkata: Wajah orang mukmin yang ikhlas bersinar dan cerah ketika berlaku kiamat.
 
  • Ibnu Kathir berkata: Berasal dari kata an-Nadhaarah yang bermaksud rupawan, menawan, cemerlang lagi penuh kebahagiaan.
 
Sayid Qutub berkata: Jika beginilah kenikmatan melihat keindahan ciptaan Allah di dunia maka bagaimana pula kenikmatan melihat keindahan zat Allah sendiri di akhirat.

2 comments: