Pages

Monday, 16 July 2012

Apex: Harimau tak gentar

KHAIRUL FAHMI CHE MAT



MESKIPUN laluan skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala Suzuki AFF 2012 November ini tampak sukar, namun ia tidak menjejaskan semangat pasukan kendalian Datuk K Rajagobal dalam mempertahankan piala tersebut tahun ini.


Penjaga gol utama kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apex) menyifatkan undian kali ini merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhi pemain untuk memastikan gelaran juara buat kali kedua berturut-turut dapat direalisasikan.


“Ini kumpulan yang sukar dan pastinya perlawanan akan berlangsung sengit dan menarik. Namun kami tidak gentar, sebaliknya bersedia memberi cabaran pada kempen kali ini.


“Jadi, saya berharap semua pemain akan fokus dan berjuang habis-habisan nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


Pada undian yang berlangsung di Bangkok, Thailand kelmarin, Malaysia diundi dalam kumpulan' maut' bersama naib juara edisi 2010, Indonesia dan juara tiga kali, Singapura.


Mengulas lanjut undian skuad kebangsaan itu, Fahmi berkata, kemampuan kedua-dua pasukanlawan itu tidak boleh dipandang enteng oleh barisan pemain.


”Kami harus bekerja lebih keras sebagai usaha untuk mempertahankan status juara Piala Suzuki AFF yang mana skuad negara perlu konsisten untuk mengekalkan persembahan mantap.


“Lagipun Indonesia pastinya turun dengan misi untuk membalas dendam berikutan kekalahanpasukan itu dua tahun lalu.


"Jadi kita harus bersiap sedia dan sebagai tuan rumah kali ini, kita harus melakukan persiapan yang rapi menjelang pertemuan itu nanti,‘’ katanya yang berjanji akan memberikan aksi terbaik pada kejohanan itu nanti.


Dalam pada itu, saingan peringkat kelayakan berlangsung di Yangon, Myanmar dari 5 hingga 13 Oktober, melibatkan Myanmar, Kemboja, Timor- Leste, Brunei dan Laos yang menyaksikan juara dan naib juara akan melengkapkan Kumpulan A dan B sebelum memulakan aksi Piala AFF Suzuki dari 24 November hingga 22 Disember.


Mengikut jadual awal yang telah dikeluarkan, Malaysia akan memulakan aksi Kumpulan B pada 25 November menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil diikuti perlawanan kedua pada 28 November bertemu pasukandari peringkat kelayakan dan akhir sekali menentang Indonesia pada 1 Disember.


Juara dan naib juara Kumpulan A dan B akan beraksi pada saingan separuh akhir pertama pada 8 dan 9 Disember.


Manakala separuh akhir kedua pula berlangsung pada 12 dan 13 Disember. Saingan akhir secara timbal balik dijadualkan pada 19 dan 22 Disember.

No comments:

Post a Comment