Pages

Wednesday, 25 July 2012

Arsenal menang tipis, atasi Harimau Malaya 2-1




ARSENAL menewaskan pasukan Harimau Malaya 2-1 dengan kedua-dua golnya dijaringkan pada minit-minit terakhir perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang berakhir sebentar tadi.


Skuad negara yang menjaringkan gol tunggal pada minit ke-45 mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga minit ke-87.


Arsenal menjaringkan dua golnya minit-minit terakhir perlawanan, sekali gus mengekalkan kemenangan tahun lalu.Tahun lalu, The Gunners menjaringkan empat gol tanpa dibalas.


Bernama melaporkan, Arsenal FC bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Malaysia 2-1 pada perlawanan persahabatan sengit.


Pasukan negara yang diberi jolokan 'Harimau Malaya' terlebih dahulu mencemaskan The Gunners menerusi tendangan voli Mohd Safee Sali seawal minit kelima, namun percubaannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Arsenal, Vitor Mannone.


Marouane Chamakh hampir membuka jaringan buat kelab Inggeris itu pada minit kelapan tetapi percubaannya berjaya ditolak keluar penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias.


Anak buah Datuk K. Rajagobal berjaya memecah kebuntuan pada masa kecederaan di separuh masa pertama apabila pemain pertahanan Mohd Azmi Muslim merembat kencang dari jarak 25 meter untuk menewaskan Mannone.


Buntu untuk mencari gol penyamaan, jurulatih Arsenal, Arsene Wenger membuat rombakan kepada pasukannya pada separuh masa kedua namun benteng pertahanan negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan S. Subramaniam berjaya mengekang asakan pasukan lawan.


Pemain yang baharu menandatangani kontrak dengan The Gunners dari Jerman, Thomas Eisfeld berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 akibat kelalaian benteng pertahanan negara.


Pemain muda, Chuks Aneke muncul wira dengan gol kemenangan Arsenal selepas rembatannya terkena pemain pertahanan Malaysia untuk Farizal tewas buat kali kedua pada minit-minit terakhir permainan.


Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menyampaikan piala dan pingat kepada kedua-dua pasukan berkenaan.


Arsenal akan mengakhiri Jelajah Asia mereka menentang pasukan Kitchee FC dari Hong Kong di Stadium Hong Kong pada Ahad ini.


    Penjaring:

 
    Mohamad Azmi Muslim (min-45), Thomas Eisfeld (min-87), Chuks Aneke (min-90)

  
    MALAYSIA:


    Mohd Farizal Marlias, S.Subramaniam (Mohamad Muslim Ahmad), Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak (Amiridzwan Taj Tajudin), Mohamad Azmi Muslim (Md Rozaimi Abd Rahman), Mohd Bunyamin Umar (Mahalii Jasuli), Safiq Rahim (Amar Rohidan), S.Kunalan (Mohamad Ashaari Samsudin), Mohd Shakir Shaari (Gary Steven Robbat), Azamuddin Mohd Akil (Shahurain Abu Samah)(Baddrol Bakhtiar), Mohd Safee Mohd Sali (Ahmad Shakir Shaari Mohd Ali), Norsharul Idlan Talaha (Mohd Khyril Muhymeen Zambri) (Mohamad Fadhli Mohd Shas).

      
    ARSENAL FC:

  
    Separuh masa pertama:


    Vito Mannone, Thomas Vermaelen, Johan Djourou, Carl Jenkinson, Kieran Gibbs, Andre Santos, Abou Diaby, Mikel Arteta, Francis Coquelin, Gervinho, Maraoune Chamakh.

    Separuh masa kedua:


    Vito Mannone, Theo Walcott, Alex Oxlade Chamberlain, Alex Song, Ryo Miyachi, Nico Yennaris, Graig Eastmond, Ignasi Miquel, Kyle Bartley, Chuks Aneke, Benik Afobe.

  
    Pengadil: Suhaizi Shukri   

No comments:

Post a Comment