TINGGAL seminggu sahaja lagi umat
Islam di negara ini akan mula melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa
pada bulan Ramadan.
Sungguhpun begitu, terdapat golongan
yang diberikan kelonggaran daripada melaksanakan ibadat tersebut berikutan
keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Pesakit yang berdepan dengan isu
kesihatan seperti kesakitan fizikal, kegagalan buah pinggang dan tekanan darah
tinggi yang tidak terkawal tidak boleh berpuasa dengan cara selamat.
Salah satu golongan yang diberikan
kelonggaran ialah penghidap diabetes. Bergantung kepada peringkat keadaan
tertentu, sesetengah penghidap penyakit itu dikhuatiri akan mendatangkan
mudarat terhadap kesihatan jika berpuasa.
Namun, ada segelintir daripada mereka
yang tekad mahu melaksanakan kewajipan tersebut tanpa menghiraukan risikonya.
Masalah yang sering dihadapi oleh
pesakit diabetes ketika Ramadan adalah serangan hipoglisemia.
Menurut Pakar Perunding Kanan
Endokrinologi Pusat Perubatan Sime Darby, Profesor Chan Siew Pheng hipoglisemia
merujuk kepada keadaan apabila kandungan glukos berkurangan dalam darah dan
berada di bawah paras normal.
“Ramai pesakit diabetes tetap mahu
berpuasa walaupun keadaan mereka sebenarnya tidak mengizinkan. Semuanya kerana
mahu memenuhi tuntutan agama.
“Selaku doktor, kami akan bertanya
kepada pesakit sama ada mereka larat untuk berpuasa atau tidak. Ada antara
mereka yang meminta pendapat bagi memastikan sama ada keadaan mereka
membolehkan mereka berpuasa dengan selamat atau sebaliknya,” katanya.
Tambahnya, doktor akan cuba membantu
supaya pesakit diabetes tersebut dapat berpuasa dengan memberikan panduan dan
mengajar mereka cara untuk berpuasa dengan selamat.
BIARPUN, pengambilan buah kurma disunatkan ketika berbuka puasa namun,
bagi pesakit diabetes mereka disaran mengambil dua hingga tiga biji kurma
sahaja. - Gambar hiasan
Siew Pheng menambah, menempuh bulan
puasa sebenarnya merupakan satu masalah kepada pesakit diabetes kerana mereka
tidak boleh makan dan minum pada siang hari.
Ia merupakan perubahan besar dalam
corak pengambilan makanan, kalori, ketika berbuka puasa sehingga mereka bangun
sahur untuk hidangan seterusnya.
“Jika mereka tidak bangun sahur,
tempoh berpuasa mereka lebih lama berbanding orang lain yang berpuasa normal
iaitu melebihi 14 jam.
“Keadaan ini merunsingkan kami kerana
tindakan tersebut akan menyebabkan hipoglisemia yang mengundang keadaan
kemerosotan glukos dalam darah selain terdedah kepada risiko dehidrasi kerana
cuaca di negara ini yang panas,” ujarnya.
Ujarnya, apa yang menjadi kebimbangan
adalah apabila paras glukos dalam darah pesakit diabetes akan jadi terlalu
tinggi atau terlalu rendah.
Paras glukos yang tinggi mungkin
disebabkan salah makan kerana berbuka dengan mengambil banyak minuman dan
makanan manis serta lupa mengambil ubat.
Walaupun seharian berpuasa, pesakit
diabetes tidak boleh mengambil gula dalam kuantiti yang banyak.
Statistik berganda
Dalam satu Kajian Diabetes Ramadan
Epidemiologi 2001 yang melibatkan 12,243 pesakit diabetes di 13 buah negara, 95
peratus pesakit diabetes di Malaysia berpuasa lebih daripada 15 hari. Malah,
kebanyakan daripada mereka berpuasa lebih 27 hari walaupun sudah mendapat
nasihat doktor tetapi mereka tetap cuba berpuasa.
“Apabila mereka mengabaikan nasihat
yang disarankan doktor, mereka akan mengalami simptom hipoglisemia yang teruk
hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Sebelum Ramadan, purata kekerapan
episod hipoglisemia yang berlaku ialah 0.4, manakala ketika Ramadan ia
meningkat kepada tiga episod hipoglisemia iaitu 7.5 kali ganda daripada hari
mereka tidak berpuasa,” jelasnya.
AMALKAN pemakanan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kehidupan seharian
anda.
Salah satu punca hipoglisemia berlaku
adalah ia ada kaitan dengan jenis ubat yang diambil oleh pesakit untuk mengawal
paras glukos dalam darah.
Dua jenis ubat yang selalu digunakan
di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea.
Metformin yang berfungsi memperbaiki
paras glukos dalam darah tanpa merangsang pengeluaran insulin mampu meminimumkan
atau tidak mendatangkan risiko hipoglisemia.
Sulfonylurea pula boleh menyebabkan
risiko ketara hingga tercetusnya hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran
insulin selagi berada dalam badan.
Tukar waktu
“Jika seseorang pesakit mahu
berpuasa, dos ubat yang diambil perlu dikurangkan dan diterbalikkan dosnya.
“Jika dos pagi, ia perlu diambil
ketika berbuka manakala dos malam diambil ketika sahur. Dalam masa yang sama,
kita ajar mereka untuk berpuasa dengan selamat.
“Sejak lima hingga enam tahun lalu,
terdapat kelas baharu ubat-ubatan untuk kawalan glukos tanpa episod
hipoglisemia iaitu Oral DPP 4 inhibitors untuk pesakit diabetes Jenis 2,”
katanya.
Pesannya, pesakit diabetes yang
berpuasa perlu bersedia untuk berbuka jika mengalami simptom-simptom
hipoglisemia.
Antara simptom-simptomnya ialah
berpeluh, pening, gelisah, lemah badan, sakit kepala, kabur penglihatan,
sentiasa lapar, menggigil, pengsan atau tidak sedarkan diri.
PESAKIT diabetes perlu mengawal pemakanan mereka ketika bulan Ramadan bagi
memastikan kandungan gula dalam badan tidak meningkat mendadak. - Gambar hiasan
“Kalau mereka teruskan berpuasa juga,
mereka akan menghadapi masalah besar. Pesakit yang mengalami hipoglisemia yang
teruk akan memberikan tekanan pada jantung.
“Pesakit yang menghidap sakit jantung
dan diabetes, hipoglisemia akan membebankan jantung hingga menyebabkan sakit
jantung yang lebih teruk,” jelasnya.
Jika keadaan hipoglisemia berlarutan,
ia mungkin mengakibatkan masalah jantung dan otak yang boleh menyebabkan kehilangan
fungsi kognitif otak dan keadaan sawan hingga koma.
“Periksa paras glukos dalam darah
anda beberapa jam selepas berpuasa. Jika bacaannya 3.9 milimol/liter (mmol/l),
tolonglah buka puasa.
“Walaupun anda tidak mengalami
sebarang simptom tetapi bacaan paras glukos dalam darah kurang daripada 3.3
mmol/l, segeralah berbuka bagi mengelakkan hipoglisemia yang teruk,”
nasihatnya.
Apa yang penting, pesakit diabetes
perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa sama ada mereka selamat untuk
berpuasa atau tidak. Setiap pesakit mempunyai keperluan yang berbeza.
No comments:
Post a Comment