Pages

Sunday, 15 July 2012

Kelantan juara Liga Super, ATM kuasai Liga Perdana


















Barisan pasukan Kelantan


JUARA Liga Super, Kelantan menamatkan saingan terakhir liga dengan kemenangan 3-1 ke atas Sarawak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Kelantan malam tadi.


Skuad The Red Warriors berjaya mempertahankan Piala Liga Super untuk musim kedua berturut-turut setelah mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Perak pada Sabtu lepas.


Piala tersebut merupakan trofi kedua yang dimenangi skuad bimbingan Bojan Hodak musim ini selepas merangkul Piala FA buat kali pertama apabila mengalahkan Sime Darby 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Mei lepas.


Dalam saingan malam tadi, tiga gol skuad The Red Warriors dijaringkan ketua pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-61, Nor Farhan  Muhammad (ke-65 dan 67) manakala gol tunggal pelawat menerusi Mohd Hairol Mokhtar pada minit ke-69.


Bernama melaporkan, sejurus tamat perlawanan tersebut, kerabat diraja Kelantan Tengku Panglima Raja Datuk Tengku Mohd Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan menyampaikan Piala Liga Super dan wang tunai RM750,000 kepada Mohd Badhri.


Pasukan tangga ketiga liga, Perak turut mencatat kemenangan apabila membelasah pasukan tercorot, Kuala Lumpur 5-2 di Stadium Perak, Ipoh.


Terengganu yang menduduki tangga kelima liga turut mencatat kemenangan 3-0 ke atas Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menerusi jaringan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe pada minit kesembilan dan 41 serta Ahmad Nordin Alias, tujuh minit kemudian.


Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mengalahkan Negeri Sembilan 3-1.


Pemain import tuan rumah dari Jerman, Hendrik Helmke menjaringkan gol pada minit ke-27 sebelum Jean-Emmanuel Effa Owona berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42.


Shahrudin Yakup dan Bobby Gonzales berjaya menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke 76 dan 92 untuk memberikan tiga mata penuh kepada pasukan negeri di bawah bayu itu.


PKNS Selangor pula mengalahkan wakil kelab dari Terengganu, T-Team 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.


Dua gol wakil kelab Lembah Klang itu dijaringkan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul pada minit kedua dan Mohd Fazli Baharuddin pada minit ke-19 sebelum Mohd Fadzli Saari mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-58.


Sebuah lagi wakil kelab Lembah Klang, Felda United turut mencatat kemenangan tipis dengan jaringan sama ke atas Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.


Felda United berada selesa di depan dengan dua gol menerusi jaringan Mickaƫl Antoine-Curier pada minit ke-29 dan Yong Kuong Yong pada minit ke-36 sebelum Mohd Khyril Muhymeen Zamri mengurangkan defisit jaringan untuk skuad Kenari pada minit ke-62.


Sementara itu naib juara Liga Super, Lions XII tewas mengejut 0-1 kepada Johor FC di Stadium Jalan Besar, Singapura menerusi jaringan tunggal Shahrizal Saad pada minit ke-27.


Bermula 2013 sehingga 2016, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menggunakan format Liga Malaysia yang baru dengan menyaksikan 11 pasukan akan beraksi dalam Liga Super dan lapan pasukan dalam Liga Perdana berbanding 14 dan 12 pasukan dalam liga masing-masing sebelum ini.


Pasukan tangga ke-10, 11 dan 12 Liga Super, akan bersaing dengan Pahang menerusi perlawanan secara kalah mati dari Selasa hingga Khamis ini, di Stadium Hang Jebat dan Hang Tuah, Melaka untuk merebut slot tunggal ke Liga Super musim depan.


Pasukan di tangga ketujuh, kelapan dan kesembilan Liga Perdana akan bersaing dengan pasukan tangga kedua Liga FAM iaitu Kuantan Port dari Pahang menerusi perlawanan secara kalah mati di venue yang sama bagi merebut dua slot ke Liga Perdana musim depan.


Lions XII dari Singapura yang muncul naib juara Liga Super bersama Harimau Muda B yang menduduki tangga kelapan Liga Perdana akan kekal bersaing dalam liga masing-masing musim depan.


Penyertaan pasukan dari Singapura itu adalah menerusi kontrak perjanjian selama empat tahun yang ditandatangani antara FAM dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) pada 12 Julai tahun lepas.


Kelmarin, juara Liga Perdana musim ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatatkan kemenangan selesa 2-0 ke atas Pos Malaysia dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.


Skuad bimbingan B. Sathianathan itu mengesahkan kejuaraan liga buat kali pertama dalam sejarah kelab tersebut, 6 Julai lalu selepas membelasah wakil kelab dari Johor, MP Muar dengan keputusan 8-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada perlawanan ke-21 liga.


Sejurus selepas perlawanan itu, ATM menerima Piala Liga Perdana berserta wang tunai RM300,000 yang disampaikan sendiri oleh Panglima ATM merangkap Presiden Persatuan Bolasepak ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain kepada Hairuddin Omar.


Pasukan tangga ketiga liga, Sime Darby pula meneruskan rentak cemerlang mereka selepas mengalahkan wakil kelab Negeri Sembilan, Betaria FC dengan keputusan 4-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.


Sementara itu, Pahang yang muncul naib juara liga. 

No comments:

Post a Comment