Ucapan
Syahadah seorang Muslim mengandungi ikrar dan pengakuan terhadap ketunggalan
ALLAH SWT sebagai ILAH yakni yang berhak disembah dan ditaati dengan sepenuh
kecintaan, pengharapan, ketakutan, ketundukan, dan kepatuhan.
Demikian
pula Syahadah bahawa Muhammad adalah Rasul ALLAH membawa maksud segala
hukum-hakam dan syariat daripada ALLAH SWT adalah apa yang disampaikan dan
diajarkan Baginda SAW sebagai Rasul (Utusan) ALLAH SWT.
Tiada yang
berhak diikuti dan ditaati secara mutlak dalam kalangan makhluk kecuali
Rasulullah SAW kerana Baginda tidak bercakap melainkan dengan wahyu daripada
ALLAH.
Firman ALLAH
SWT dalam Surah Ali Imran ayat ke-32: Maksudnya: “Katakanlah (wahai Rasul):
Taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka sesiapa yang berpaling (enggan
mentaati ALLAH dan Rasul-Nya) maka sesungguhnya ALLAH tidak mencintai orang
yang kafir”.
Kata Imam
Abdul Rahman bin Nasir al- Sa’di RH (w.1376 H) dalam Tafsir beliau:
“Ini adalah perintah ALLAH kepada hamba-Nya dengan perintah yang paling umum iaitulah supaya mentaati (mematuhi)-Nya dan Rasul- Nya yang mana termasuk dalamnya Iman dan Tauhid dan apa yang menjadi cabangnya daripada amalan dan perkataan yang zahir dan batin, bahkan termasuk (dalam erti kata) mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya adalah menjauhi apa yang dilarang kerana menjauhi perkara yang dilarang sebagai satu kepatuhan kepada perintah ALLAH adalah ketaatan kepada-Nya. Maka sesiapa yang mentaati ALLAH dan Rasul-Nya maka mereka itulah orang yang berjaya. (Maka sesiapa yang berpaling) yakni: berpaling daripada mentaati ALLAH dan Rasul-Nya maka tiada lagi di sana untuk dirujuk keadaannya melainkan sebagai suatu kekufuran dan mentaati Syaitan yang derhaka.” (Taisir al-Karim al-Mannan, m.s128).
Firman ALLAH
SWT dalam Surah al- Ahzab ayat ke-36, yang bermaksud:
“Dan
tidaklah patut bagi seorang mukmin dan tidak pula bagi seorang Mukminat jika
ALLAH dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu keputusan lalu mereka mempunyai
pilihan (selain daripada hukum ALLAH dan Rasul) dalam urusan mereka, sesiapa
yang menderhaka kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka dia telah sesat dengan
kesesatan yang nyata”.
Kata
al-Hafiz Ibn Katsir r.h (w.774 H) dalam Tafsir beliau: “Maka ayat ini adalah
umum dalam semua urusan, iaitu apabila ALLAH dan Rasul-Nya telah memutuskan
suatu hukum maka tiada lagi hak bagi sesiapa pun menyelisihkannya dan tiada
lagi pilihan lain, tiada lagi pendapat dan perkataan (selainnya)”. (Tafsir
al-Quran al-Azim, 6/423)
Mempertuhankan
orang agama
Demikian juga terdapat ayat yang mencela perbuatan mengambil hukum dan menjadikan hukum makhluk mendahului hukum ALLAH dan Rasul-Nya. ALLAH menamakan mereka yang melakukan perkara ini sebagai syirik:
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Mereka mengambil ulama mereka dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan selain ALLAH demikian juga mereka menjadikan al-Masih anak Maryam (sebagai Tuhan selain ALLAH) sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan hanya untuk beribadat kepada Ilah (sembahan) yang satu, Tiada sembahan yang berhak disembah selain Dia Maha Suci Dia daripada apa yang mereka sekutukan”. (Surah At-Taubah : 31)
Perbuatan kaum Yahudi dan Nasrani menyembah ulama mereka dan ahli ibadat ditafsirkan Rasulullah SAW dalam hadis berikut: Daripada ‘Adi bin Hatim RA kata beliau: “Aku datang kepada Rasulullah SAW (untuk memeluk Islam) sedangkan di leher ku ada Salib daripada emas seraya Baginda bersabda: “Wahai ‘Adi, buanglah berhala ini daripada leher mu”. Kata Adi: Maka aku membuangnya. Aku mendekat kepada baginda sedangkan Baginda membaca Surah al-Baraah/At-Taubah lalu Baginda membaca ayat ini (ayat 31). Kata ‘Adi: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidaklah menyembah mereka”.
Lantas kata
Baginda: “Bukankah mereka mengharamkan apa yang ALLAH halalkan lalu kamu turut
mengharamkannya, mereka menghalalkan apa yang ALLAH haramkan lalu kamu turut
menghalalkannya?” Kata ‘Adi: Jawab ku: Bahkan (demikianlah yang kami lakukan).
Sabda
Baginda SAW: “Itulah bentuk peribadatan terhadap mereka”. (Riwayat At-
Tarmidzi, al-Tabrani) Ayat celaan ini menunjukkan bahawa perbuatan menjadikan
selain ALLAH dan Rasulullah SAW sebagai pembuat hukum dan mengikut hukum selain
daripada apa yang ALLAH dan Rasul-Nya sudah tetapkan adalah maksiat dan boleh
membawa pelakunya kepada syirik jika diyakini makhluk itu mempunyai kedudukan
yang setara dengan ALLAH dalam menghalalkan dan mengharamkan sesuatu perkara.
Namun,
keadaan Umat Islam hari ini menzahirkan bahawa mereka semakin jauh daripada
hukum ALLAH dan Rasul-Nya, mereka menjadikan makhluk sebagai sumber hukum dan
meninggalkan wahyu ALLAH di belakang.
Hal ini
dapat kita lihat dalam beberapa fenomena seperti sikap Taklid Buta dan Fanatik
Mazhab yang dicela dalam Syariat Islam sebagaimana kata Imam al-Syafii RA:
“Kaum Muslimin telah bersepakat bahawa wajib atas sesiapa yang jelas baginya
Sunnah Rasulullah SAW maka tidak boleh baginya untuk meninggalkannya kerana
perkataan sesiapa pun daripada manusia lain”. (I’lam al- Muwaqqi’ien, Ibn
al-Qayyim, 1/6).
Bahkan yang
wajib atas orang yang beriman adalah mengikut dalil yang sahih dan jelas
daripada al-Quran dan Sunnah atas kefahaman Salafus Soleh walaupun ia
berlawanan dengan mazhab dan pendapat tokoh yang mereka ikuti.
Hukum makhluk
Demikian juga aliran pemikiran yang menyeru kepada kepercayaan bahawa hak mengharamkan sesuatu dan menghalalkannya berada secara mutlak di tangan makhluk dan kuasa membuat undang-undang secara mutlak berada di tangan makhluk, tidak terikat dengan hokum-hakam syariat Islam seperti aliran demokrasi, liberal, kapitalisme dan sosialisme.
Kepercayaan
yang terkandung dalam aliran tersebut boleh menjadikan orang yang
mempercayainya kufur dan terkeluar daripada Islam kerana percaya bahawa ada
kuasa lain yang setanding dengan ALLAH SWT dalam menetapkan perundangan dan
syariat.
Segala
kemunduran dan kelemahan yang menimpa umat Islam pada masa kini adalah kerana
mereka jauh daripada petunjuk wahyu dan panduan Rabbani maka tidak dapat tidak
ubat bagi segala penyakit umat ini hendaklah mereka kembali kepada agama mereka
secara sempurna baik rakyat mahupun pemerintah, tua mahupun muda, lelaki
mahupun wanita.
Ingatlah
nasihat emas Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab RA kepada kita: “Adalah kita
suatu ketika dahulu kaum yang paling hina kemudian ALLAH muliakan kita dengan
Islam maka jika kita hendak mencari kemuliaan dengan selain yang ALLAH telah
muliakan kita dengannya (Islam) maka kita akan dihinakan oleh ALLAH”. (Riwayat
al- Hakim dalam al-Mustadrak).
Firman ALLAH
SWT yang bermaksud: "Mereka mengangkat pendeta dan alim ulamanya menjadi
tuhan, selain daripada ALLAH, begitu juga Al Masih anak Maryam, sedang mereka
tiada disuruh, melainkan supaya menyembah Tuhan yang Esa, tiada Tuhan kecuali
Dia. Maha Suci Tuhan daripada apa yang mereka persekutukan." (Surah At-
Taubah : 31)
No comments:
Post a Comment