Pages

Monday, 16 July 2012

Liga Super: Kemenangan amat bermakna buat Kelantan

Bojan Hodak



KOTA BHARU – Menutup tirai saingan Liga Super musim ini dengan nota kemenangan ke atas Sarawak memberikan signifikan tersendiri buat penyokong setia The Red Warriors yang membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.


Pengendali pasukan, Bojan Hodak berkata, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selain ‘aura’ menjulang trofi kejuaraan Liga Super lebih awal menjadi faktor barisan pemainnya menamatkan kempen saingan liga musim ini dengan kemenangan bergaya.


“Malam ini, kita menggunakan sepenuhnya tenaga pemain tempatan. Ada sembilan pemain ‘asal’ Kelantan di atas padang, ia begitu yang membanggakan apabila kita dapat menewaskan Sarawak 3-1 malam ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir malam kelmarin.


“Sesuatu yang istimewa, perlu anda ketahui ialah mereka (pemain) mempunyai semangat juang luar biasa setiap kali beraksi di gelanggang sendiri. Saya fikir ini memberi keyakinan tinggi kepada mereka menjaringkan tiga gol meski pun Sarawak dibarisi dua pemain import dalam perlawanan ini.


Dalam perlawanan tersebut, Kelantan bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-60 untuk membuka tirai jaringan pertama menerusi jaringan Kapten, Mohd Badhri Radzi sebelum Mohd Norfarhan Muhammad menambahkan derita skuad Bujang Senang dengan dua gol pada minit ke-65 dan 67 perlawanan.


Sarawak bagaimana pun berjaya memperoleh gol tunggal mereka menerusi tandukan pemain pertahanan, Mohd Hairol Mokhtar hasil sepakan bebas Guy Bwele dua minit kemudian.


Dalam pada itu, Hodak menolak tanggapan kegagalan Kelantan memecahkan kebuntuan dalam babak pertama berpunca daripada persembahan di bawah keupayaan sebenar barisan pemainnya pada perlawanan tersebut.


“Kita beraksi cemerlang dalam babak pertama namun barisan pemain Sarawak lebih pantas turun ke bawah untuk bertahan setiap kali kita menyerang. Ini menyukarkan kita untuk membolosi pintu gol mereka.


“Namun pemain saya menampilkan karakter berbeza pada babak kedua dan menunjukkan permainan lebih berkualiti. Kita menguasai perlawanan sehingga berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh tujuh minit,” katanya.


Mengulas mengenai peluang Kelantan dalam kempen Piala Malaysia selepas ini, Hodak yang memberikan cuti rehat panjang kepada pemainnya berkata, beliau akan cuba sedaya upaya untuk memastikan Kelantan merampas kembali piala yang pernah dimenangi dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment