Pages

Friday, 20 July 2012

Makanan berkualiti kembalikan tenaga berpuasa




Ramadan sering dinanti-nanti kerana pada waktu ini sahaja pelbagai jenis juadah yang sukar untuk didapati boleh dibeli. Dengan ratusan gerai yang ada terutamanya di bazar Ramadan, mata menjadi rambang dan tidak ketahuan untuk membuat pilihan. Jawabnya, habis bermacam-macam juadah dibeli sehingga berhabis puluhan ringgit.


Itu belum ditambah lagi dengan juadah yang dimasak sendiri di rumah. Setiap hari ada sahaja lauk-pauk istimewa yang ingin dihidangkan. Lebih menggerunkan, meja makan penuh dengan pelbagai jenis makanan yang semuanya dibeli dan disediakan mengikut nafsu. Ia belum tentu habis sebaliknya menyebabkan pembaziran. Bukan itu sahaja, yang paling penting ialah kesan pengambilan makanan yang tidak terkawal sepanjang bulan itu akan memberi implikasi negatif terhadap kesihatan tubuh.


Tiada salahnya untuk menikmati juadah yang sedap namun buatlah pilihan yang bijak. Sememangnya tubuh memerlukan makanan sebagai tenaga untuk terus berpuasa untuk keesokkan harinya. Bagaimana pun ada beberapa langkah yang boleh dipraktikkan agar semuanya berjalan dengan betul.




Contohnya ketika berbuka puasa, jangan habiskan kesemua juadah yang terhidang dalam satu masa sahaja. Ia mungkin boleh dibahagikan secara berperingkat dan sebagai permulaan, buka puasa dengan meminum air, kuih-muih dan juga buah-buahan. Biarkan perut berehat seketika sambil menunaikan solat Maghrib. Hanya selepas itu barulah perut dapat menerima makanan yang lebih berat.


Selain kuantiti, kualiti makanan yang diambil juga harus dipertimbangkan. Bagi memastikan tubuh cukup kuat untuk menjalani rutin harian, pastikan semua sumber karbohidrat (kanji), protein, lemak, vitamin, mineral dan air diambil dalam jumlah yang bersesuaian. Dengan adanya kesemua sumber ini, badan tidak akan berasa lemah bahkan bertenaga seperti hari-hari biasa.


Dalam bulan Ramadan ini, ada beberapa dikurang dan dilebihkan. Pertamanya ialah mengurangkan pengambilan lemak terutamanya lemak tepu yang boleh didapati daripada sumber haiwan seperti mentega dan keju.  Ini kerana lemak ini mempunyai kandungan kalesterol yang tinggi. Selain itu, kurangkan kuantiti penggunaan minyak terutamanya ketika menumis agar makanan yang dihasilkan lebih menyihatkan.


Seperti diketahui, makanan masin tidak bagus untuk kesihatan tubuh. Ketika berpuasa, elakkannya terutamanya ketika bersahur. Pengurangan pengambilan makanan masin bukan sahaja akan dapat mengelakkan penyakit bahkan kita tidak akan rasa terlalu dahaga ketika sedang berpuasa di pagi hari.





 
Satu lagi yang perlu dihindari ialah pengambilan makanan mahu pun minuman manis. Jika ini boleh dilakukan, ia amat bagus untuk kesihatan tubuh kerana dapat mengelakkan pelbagai jenis penyakit terutamanya kencing manis dan obesiti. Tidak menghairankan jika ini diamalkan, berat badan akan turun sepanjang Ramadan ini.


Dalam pada itu, ada juga makanan yang perlu dipertingkatkan pengambilannya iaitu buah-buahan dan sayur-sayuran. Mungkin ramai yang tidak tahu, kebanyakan buah-buahan tempatan seperti ciku, betik, pisang dan belimbing besi mengandungi lebih banyak khasiat berbanding buah-buahan import seperti epal, pir mahu pun lai. Selain vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran turut menyumbangkan kandungan serat kepada tubuh.


Di bazar Ramadan, mata pasti tertarik dengan air pelbagai perisa dan warna. Bagaimana pun harus disedari semua itu tidak bagus sebaliknya kita disarankan untuk melebihkan meminum air putih. Begitu juga dengan minuman berkafein, ia sama sekali tidak digalakkan. Selain air putih, jus buah-buahan tanpa gula juga boleh dicuba sepanjang bulan puasa ini. Khasiatnya akan menyerap ke dalam tubuh dan menjadikan tubuh kembali bertenaga untuk melakukan kerja harian.

No comments:

Post a Comment