Pages

Wednesday, 25 July 2012

Pengeluar tauhu dan tempe Indonesia ancam henti pengeluaran


















Penjual tauhu kuning di sebuah pasar di Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Produk itu berkemungkinan tidak dapat disajikan di beberapa kawasan.


JAKARTA - Tauhu dan tempe iaitu hidangan wajib bagi sebahagian besar penduduk Indonesia, berkemungkinan tidak dapat disajikan dalam beberapa waktu lagi minggu ini di beberapa kawasan.


Harga kacang soya iaitu bahan utama membuat tauhu dan tempe yang melambung sejak kebelakangan ini, menyebabkan ribuan pengeluar produk makanan itu di kawasan Jakarta dan beberapa daerah di sekitarnya mengancam untuk menghentikan pengeluaran mereka pada minggu ini. 


Para pengeluar tauhu dan tempe di beberapa negeri di Indonesia kini mengeluh kenaikan harga kacang soya yang berpunca daripada musim kering di Amerika Syarikat itu menyebabkan bekalannya dalam negara berkurangan dengan banyak. 


Ketua Forum Komunikasi Masyarakat Pengeluar Tauhu, Tempe Sukabumi, Dadang Jamaludin berkata harga kacang soya pada masa ini sudah mencecah Rp8,200 sekilogram sedangkan harga yang sesuai bagi para pengeluar produk itu ialah Rp5.500 sekilogram.


Kenaikan harga kacang soya menyebabkan harga jualan tauhu dan tempe juga terpaksa dinaikkan dan mereka bimbang akibat kenaikan harga itu, produk mereka tidak lagi dibeli oleh masyarakat kumpulan menengah dan ke bawah, yang merupakan kumpulan utama bagi pasaran produk itu.

  
Dalam keadaan normal, harga kacang soya berkisar antara Rp6,000 dan Rp6,500 sekilogram. 


Seorang pengusaha tauhu dan tempe dari Purwokerto, Banyumas, Nunung, 42, misalnya, mengurangkan pengeluarannya daripada 75kg kacang soya sehari menjadi 50kg sehari kerana permintaan masyarakat juga berkurangan sejak akhir-akhir ini. 


Ada pengusaha tauhu dan tempe di Kota Depok (Jawa Barat) sudah pun berhenti mengeluarkan produk itu mulai hari ini. 


Keperluan kacang soya peringkat nasional pada masa ini ialah kira-kira 2.4 juta tan setahun, atau kira-kira 200,000 tan sebulan, kata anggota Suruhanjaya XI Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia Arif Budimanta.


Daripada jumlah itu pengeluaran kacang soya dalam negeri hanya 40 peratus dan selebihnya diimport. 


Arif berkata peningkatan dalam penggunaan kacang soya dari semasa ke semasa adalah sejajar dengan meningkatnya jumlah penduduk. 


Pada masa yang sama, bahan ini bukan sahaja digunakan sebagai makanan manusia tetapi juga campuran makanan ternakan dan satu daripada sumber tenaga bio. - Bernama

No comments:

Post a Comment