RAMADAN adalah bulan al-Quran, kerana ia
diturunkan pada bulan tersebut. Firman ALLAH SWT bermaksud: “(Beberapa hari
yang ditentukan itu adalah) Ramadan, bulan yang diturunkan (permulaan) al-Quran
sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza
(antara yang hak dan yang batil). Kerana itu sesiapa antara kamu hadir (di
negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, hendaklah ia berpuasa.” (Surah
al-Baqarah : 185)
Dalam Ramadan juga, syaitan dibelenggu, pintu neraka ditutup, dan pintu syurga dibuka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika datang Ramadan dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Istimewanya
Ramadan kerana terdapat malam yang dinamakan Lailatulqadar, iaitu satu malam
yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman ALLAH yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan
tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik
daripada seribu bulan. Pada malam itu turunnya malaikat-malaikat dan malaikat
Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh)
kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadar : 1-5)
Dengan itu,
Muslim bersemangat menyambut Ramadan dengan meningkat prestasi amal ibadah
untuk meraih keberkatan dan keutamaannya. Antara persiapan kini yang seharusnya
dilakukan adalah menghitung Syaaban, kerana satu bulan dalam hitungan Islam
adalah 29 hari atau 30 hari. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Satu
bulan itu 29 malam. Maka jangan kamu berpuasa sampai kamu melihatnya. Jika kamu
terhalang (daripada melihatnya), maka genapkanlah 30 hari.” (Riwayat Bukhari)
Dengan demikian tidaklah kita berpuasa sehingga kita melihat hilal (tanda masuknya bulan). Untuk menentukan waktu masuk Ramadan, ia memerlukan pengetahuan hitungan atau kiraan hisab bulan Syaaban.
Melihat hilal Ramadan (Rukyah) : Untuk menentukan Ramadan diperintahkan bagi melihat hilal, dan itulah satu-satunya cara yang disyariatkan dalam Islam sebagaimana diterangkan an-Nawawi dalam Al-Majmuk dan Ibnu Qudamah dalam Al-Mughniy. Ini adalah pendapat Ibnu Taimiyah yang berkata, “Kita sudah mengetahui dengan pasti bahawa termasuk dalam agama Islam beramal dengan melihat hilal puasa, haji, atau iddah (masa menunggu) atau yang lainnya daripada hukum yang berhubungan dengan hilal. Adapun pengambilannya dengan cara mengambil berita orang yang menghitungnya dengan hisab baik ia melihatnya atau tidak, maka tidak boleh.” (Majmuk al-Fatawa).
Perkataan Ibnu Taimiyah adalah kesepakatan Muslimin. Sedangkan munculnya masalah bersandar dengan hisab dalam hal ini baru terjadi pada sebahagian ulama setelah tahun 300an. Mereka mengatakan bahawa jikalau terjadi mendung (sehingga hilal tertutup) boleh untuk orang yang mampu menghitung hisab untuk beramal dengan hisab itu hanya untuk dirinya sendiri. Jika hisab itu menunjukkan rukyah, maka dia berpuasa, dan jika tidak, maka tidak boleh (berpuasa). (Majmuk al-Fatawa)
Hadis daripada Abu Hurairah. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Berpuasalah kamu kerana melihatnya dan berbukalah kamu (untuk Aidilfitri) kerana melihatnya. Jika (hilal) tertutup oleh mendung, maka sempurnakanlah Syaaban 30 hari.” (Riwayat Bukhari)
Penentuan Ramadan dengan cara melihat hilal dapat ditetapkan dengan penyaksian Muslim yang adil sebagaimana dikatakan Ibnu Umar, “Manusia sedang mencari hilal, lalu aku khabarkan kepada Nabi SAW bahawa aku telah melihatnya, maka Baginda berpuasa dan memerintahkan manusia untuk berpuasa.” (Riwayat Abu Daud, ad-Darimi, Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi)
Manakala larangan berpuasa pada hari yang diragukan sama ada masuk Ramadan atau belum. Hadis Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah mendahului puasa Ramadan dengan puasa satu hari atau dua hari (sebelumnya), kecuali orang yang (sudah biasa) berpuasa satu puasa (yang tertentu), maka hendaklah dia berpuasa.” (Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment