Pages

Saturday 14 July 2012

Red Warriors mahu akhiri Liga Super dengan kemenangan




KOTA BHARU – Turun sebagai juara bertahan Liga Super bertemu Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini,The Red Warriors bagaimanapun enggan mendabik dada, sebaliknya tetap mahu menang pada perlawanan itu.


Pengurus Pasukannya, Azman Ibrahim berkata, anak-anak buahnya perlu mengekalkan momentum persembahan yang baik supaya tidak menghampakan ribuan penyokong yang bakal hadir menyaksikan perlawanan terakhir itu nanti.


“Sekiranya kita menang, sambutan sebagai juara Liga Super malam ini akan lebih manis dan menjadi tanggungjawab pemain memastikan kemenangan itu milik Kelantan.


 “Kemenangan ini juga penting bagi mengekalkan rekod tanpa kalah Kelantan beraksi di tempat sendiri sebelum menjulang piala,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Azman berkata, selain menjanjikan hadiah kemenangan ke atas Sarawak, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) juga berbesar hati mengagihkan pelbagai cenderamata kepada para penyokong malam ini.


“Paling menarik, 500 kemeja-T akan ‘dilempar’ kepada penonton sejurus selesai majlis penyampaian piala dan medal sebagai tanda penghargaan kepada peminat setiaThe Red Warriors.


“Pun begitu, kami mohon maaf kerana jumlahnya agak kecil berbanding puluhan ribu penyokong di stadium selain menasihatkan mereka supaya tidak berasak-asak sehingga menggugat keselamatan ketika berebut cenderamata itu nanti,” katanya.


Dalam pada itu, Azman berkata, biarpun Kelantan beraksi tanpa penyerang sensasi, Mohammad Ghaddar akibat digantung dua perlawanan, pasukan itu masih mempunyai harapan yang disandarkan pada penyerang berbisa mereka, Norshahrul Idlan Talaha.


“Mat Yo (Norshahrul) perlu berbuat sesuatu pada malam ini bagi menamatkan kemarau jaringan selepas hanya mampu meledakkan enam gol sepanjang kempen musim ini. Bukan beliau sahaja, pemain lain juga mengalas tanggungjawab sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment