Pages

Saturday, 21 July 2012

Sambut Ramadan berkonsep wasatiyyah





SELAMAT datang wahai Ramadhan, kami merindui kamu, Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan. Itulah ucapan yang sering berkumandang tatkala menjelangnya bulan yang amat berkat ini dan ditunggu-tunggu sekalian makhluk di langit mahupun di bumi.


Rasulullah SAW dan Sahabat amat menanti kedatangan Ramadan al-Mubarak dengan lafaz doa Baginda SAW: “Ya ALLAH, Berkatilah kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami kepada Ramadan”. Kedatangannya menyebabkan mereka amat bergembira dan pemergiannya akan ditangisi kerana bimbang tidak akan bersua lagi Ramadan.


Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ketika datang Ramadan, sememangnya datang kepada mu bulan yang penuh berkat, diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka sesiapa diharamkan kebaikannya (tidak beramal baik di dalamnya), sesungguhnya telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan bulan lain seperti bulan ini)” (Riwayat Imam Ahmad)


Sesungguhnya lafaz Ramadan bererti panas terik, kering lagi membakar. Bahkan bulan ini menggambarkan bahawa suasana yang panas akan menjelma dan menimpa semua masyarakat tidak kira di mana mereka berada.


Mereka diuji dengan berpuasa daripada makan dan minum, mengawal segala nafsu sejaki terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari pada siangnya. Manakala waktu malam pula diuji dengan melakukan pelbagai ibadat wajib dan sunat seperti solat sunat Tarawih, Tahajud, qiamullail dan tadarus al- Quran. Tambahan pula, perkara yang paling dinantikan ketika Ramadan adalah ganjaran pahala yang besar ALLAH SWT iaitu malam lailatulqadar.


Kesemua ganjaran tersebut disediakan khas untuk umat Islam yang benar-benar inginkan transformasi diri pada setiap masa dan saat. Namun, adakah kita bersedia untuk menyambut kehadiran Ramadan? Adakah sambutan kita menyamai atau melebihi kita menyambut hari raya Aidilfitri?




 Berjimat cermat


Sepatutnya umat Islam menyambut Ramadan lebih hebat lagi daripada sambutan hari raya. Ini kerana definisi sebenar tempoh masa Hari Raya Aidilfitri hanyalah bermula apabila terbenamnya matahari hari terakhir Ramadan sehinggalah selesai solat Aidilfitri keesokan harinya. Itu sahaja!


Selepas itu, umat Islam tidak lagi disunatkan untuk melafazkan takbir hari raya. Jika dilihat secara amalan umat keseluruhannya, sambutan hari raya memang marvellous sehinggakan sebulan Syawal diraikan. Walaupun, perkara sebegini yang bertujuan kebaikan namun jangan alpa mengenai Tarbiah Ramadan. Sambutlah perayaan dengan penuh nilai wasatiyyah (kesederhanaan) tanpa sebarang pelanggaran hukum Syarak.


Tarbiah Ramadan berjaya membentuk diri seseorang daripada aspek rohani dan jasmani kepada arah keunggulan dan kecemerlangan. Aspek rohani atau spiritual semakin bertambah rekod amalannya dengan berduyun-duyun mengunjungi masjid untuk menunaikan solat Isyak berjemaah berserta solat sunat Tarawih dan tadarus al-Quran.


Manakala aspek fizikal pula, kita semakin sihat dengan bentuk tubuh badan yang kembali fitrah iaitu berpuasa dari pagi sehingga malam yang menyebabkan kesemua anggota badan dipulihkan semula ke bentuk asalnya. Selain itu, aspek ekonomi dalam perbelanjaan seharian pun, kita dapat mengawalnya dengan lebih berjimat cermat.


Namun jika direnung amalan masyarakat sekarang ini, apabila menjelangnya Ramadan, maka terpampanglah pelbagai iklan tawaran berbuka puasa di merata tempat. Harga tidak menjadi masalah asalkan berbuka puasa dengan makanan yang lazat, sehingga terlupa untuk Solat Maghrib. Sebagai umat Islam perlu berhati-hati ketika memilih lokasi dan juadah berbuka puasa. Elakkan sikap membazir kerana pembaziran adalah amalan syaitan.


Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israk : 27)


Di samping itu, janganlah pula kita mengambil peluang Ramadan untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda dengan menjual produk yang tidak berkualiti. Sering kita dengar mengenai makanan semalam, basi dan kurang enak ataupun minuman yang tidak dimasak airnya sehingga menyebabkan pengguna alami sakit perut, cirit-birit dan demam.


Ingatlah bahawa rezeki yang halal akan menjadi darah daging kita dan kelak diperhitungkan ALLAH SWT pada hari akhirat. Jika rezeki itu haram atau syubhah (ada kekaburan), pasti nerakalah tempat balasannya, Wa ‘iya zubillah min zalik (Mohon dijauhkan oleh ALLAH SWT).




Nilai keinsanan


Ikuti Sunnah Rasulullah SAW dengan menganjurkan amalan kebajikan dengan bersedekah. Jika anda daripada golongan yang kaya dan berada, berilah sumbangan kepada golongan yang memerlukan.


Jika golongan miskin dan tidak berdaya, janganlah pula meminta-minta sebagai satu pekerjaan wajib dalam kehidupan seharian sepanjang Ramadan ini. Carilah jalan untuk transformasi diri setiap hari dan jadilah orang yang baik daripada semalam, atau terbaik daripada yang baik.


Sifat dermawan dan murah hati dapat menaikkan imej dan persepsi bangsa lain terhadap umat Islam seluruhnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan pada saat Baginda bertemu Jibrail.


Jibrail menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus”. (Riwayat Al-Bukhari)


Dalam menyambut Ramadan ini, tanamkan niat yang suci untuk terus bermujahadah (berjuang) bersungguh-sungguh dengan jiwa istiqamah, ihsan dan penuh ketakwaan demi mencapai keampunan ALLAH SWT. Tatkala ALLAH SWT menerima segala hajat dan doa kita pada Ramadan ini, kita kembali menjadi fitrah (semula jadi) umpama seorang bayi yang baharu dilahirkan, bersih daripada dosa.


Oleh itu, sambutlah hari fitrah (Hari Raya Aidilfitri) dengan hanya melafazkan takbir semata-mata demi mengagungkan ALLAH SWT yang Maha Pencipta bagi sekalian makhluk di alam semesta. Bentuklah ibadat puasa ini sebagai satu latihan untuk mendidik diri lahiriah dan batiniah menjadi seorang manusia yang mempunyai nilai keinsanan dan ketakwaan yang hakiki.


Dalam era globalisasi kini, jika wujud seseorang individu yang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi seiring dengan tuntutan al-Quran dan Sunnah Nabawi, maka akan terbentuk suatu tamadun insan yang terhebat.


Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah : 183)





No comments:

Post a Comment