Seorang
lelaki Afghanistan berjalan di lokasi serangan di wilayah Samangan, semalam.
Ahli
parlimen bersama 24 lagi maut serangan bunuh diri
Mazar-i-Sharif: Seorang ahli parlimen terkenal di wilayah ini dan sekurang-kurangnya 24 lagi terkorban dalam satu serangan bunuh diri ketika majlis perkahwinan anak perempuan beliau semalam, manakala lebih 100 lagi cedera kata pihak berkuasa. “Penyerang dikatakan memeluk ahli parlimen berkenaan, Ahmad Khan, seorang bekas komander militia di hadapan tetamu majlis sebelum meletupkan bom yang diikat pada pinggangnya,” kata jurucakap pasukan keselamatan.
Ketua perisikan tempatan juga maut dalam serangan di Aybak, ibu kota wilayah Samangan yang biasanya aman, yang dihadiri pegawai tinggi kerajaan lain.
Khan seorang etnik Uzbekistan, pernah berkhidmat sebagai komander ketika berdekad konflik di Afghanistan.
Setakat ini tiada siapa mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, manakala jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid berkata, beliau tidak mengetahui mengenai serangan oleh kumpulan militan di utara Afghanistan.
Seorang
lelaki melihat pakaian mangsa serangan bunuh diri, semalam.
Mayat
dibawa ke hospital
Ketua pengarah hospital tempatan, Dr Mansor Faye, berkata lebih 13 mayat dibawa ke hospital di Samangan, selain 60 tetamu yang cedera.
“Mangsa yang terkorban termasuk Ahmad Khan dan ketua perisikan Samangan,” katanya.
Jurucakap pasukan keselamatan, Lal Mohammad Ahmadzai berkata angka kematian mungkin lebih tinggi.
“Setakat ini kami merekodkan 25 orang termasuk Ahmad Khan yang terkorban dan lebih 100 cedera,” katanya.
Serangan di Samangan menyamai ciri pemberontakan Taliban yang merebak dari utara ke selatan dan timur, di mana mereka secara tradisinya melakukan serangan.
Afghanistan Utara secara biasanya aman namun keganasan berlaku sekali-sekala. April lalu, satu serangan bunuh diri di wilayah Faryab mengorbankan 12 orang, kebanyakannya orang awam.
Pada 2011, satu serangan bunuh diri dilakukan Taliban mengorbankan Jeneral Daud Daud, seorang komander polis wilayah dan pernah menjadi ketua anti-dadah di Taloqan, ibu kota wilayah utara Takhar.
Serangan terbaru
Serangan majlis perkahwinan itu adalah terbaru ke atas ahli politik.
Seorang pegawai hal ehwal wanita tempatan dibunuh Jumaat lalu, apabila sebutir bom yang diletakkan pada kenderaannya meletup, dalam serangan yang turut menyebabkan suami dan anak perempuannya parah, kata polis.
Pengarah hal ehwal wanita wilayah Laghman, Hanifa Safi, terbunuh apabila sebutir bom magnetik diletakkan pada kenderaannya.
Jurucakap kerajaan wilayah Laghman, Sarhadi Zwak menyalahkan pemberontak Taliban atas serangan terbabit. - AFP
No comments:
Post a Comment