Pages

Sunday, 22 July 2012

Virus punca sakit tekak




SAKIT tekak adalah simptom yang membabitkan kawasan sekitar tonsil dan farinks. Sakit tekak dikenali sebagai pharyngitis jika ia membabitkan bahagian farinks dan tonsillitis jika membabitkan kedua-dua bahagian tonsil. Apabila membabitkan kedua-dua bahagian farinks dan tonsil, ia dikenali sebagai pharyngotonsillitis.


Pharynx adalah sebahagian tekak yang terletak di antara mulut dan peti larinks atau suara. Ia selalunya dikaitkan dengan selesema biasa atau influenza. Biasanya, ia sembuh tanpa komplikasi tetapi di dalam sesetengah kes, ia berkembang menjadi penyakit serius. 


Sakit tekak berlaku apabila radang terjadi membabitkan membran mukus yang melapisi farinks atau tonsil. Ia mengakibatkan rasa tidak selesa, sakit atau gatal pada bahagian tekak. Kesakitan sewaktu menelan adalah simptom lain yang biasanya berlaku ketika sakit tekak. 




Penyakit ini sangat mudah berlaku, terutama di kalangan kanak-kanak. 


Biasanya, sakit lebih teruk pada waktu pagi dan kesakitan berkurang keesokannya. 


Sakit tekak yang tidak rumit biasanya berlanjutan sehingga tiga hari manakala yang teruk berlaku lebih lama, mungkin membabitkan gejala lebih serius seperti tonsilitis atau laryngitis (radang di bahagian larinks atau peti suara). 




 Penyebab sakit tekak

 
Biasanya disebabkan jangkitan virus atau bakteria. Bakteria memberi tindak balas baik kepada rawatan antibiotik, manakala virus biasanya sembuh dengan sendiri dalam jangka masa tertentu. Sakit tekak biasanya disebarkan melalui perkongsian minuman, bercium, batuk, menghembus hidung dan bersin.

 


 
Punca sakit tekak

 
  •   Jangkitan bakteria - disebabkan oleh bakteria streptococcal. Ia membawa komplikasi demam reumatik yang boleh mencetuskan masalah injap jantung atau radang buah pinggang. Bakteria lain yang boleh menyebabkan sakit tekak adalah gonorea, iaitu sejenis jangkitan kelamin. 
  •   Jangkitan virus - kebanyakan sakit tekak disebabkan jangkitan virus dan ada pelbagai jenis yang menyebabkan ia sembuh dengan sendiri dalam masa beberapa hari, bergantung pada jenis virus terbabit. Virus terkenal adalah Epstein-Barr, yang menyebabkan demam dan bengkak di kelenjar pada leher. 
  •   Tonsilitis - ia adalah keradangan tonsil. Tonsilitis kronik berlaku apabila berlaku banyak kerosakan kepada tonsil. Dalam keadaan ini, tekak berasa sakit pada kebanyakan masa selain sering disertai nafas berbau. Demam di bahagian kelenjar pada leher juga boleh menyebabkan masalah sakit tekak. 






Kemungkinan punca lain

 
Penyakit campak (measles) juga boleh menyebabkan sakit tekak pada sesetengah keadaan. Bernafas melalui mulut boleh menyebabkan tekak kering dan menyakitkan. Dalam beberapa kes, sakit tekak mungkin tanda kanser kerongkong (biasanya di kalangan perokok) atau Aids alahan. 


Alahan selalunya tidak menyebabkan sakit tekak secara tiba-tiba. Bagaimanapun, boleh menyebabkan kerengsaan tekak kronik yang ringan. 


Pembedahan seperti pembuangan tonsil (tonsillectomy) boleh membawa kepada sakit tekak dan penggunaan tiub ketika anastesia untuk pembedahan juga boleh menyebabkan sakit tekak selepas pembedahan.

 



Tanda lain bagi sakit tekak

 
  •   Sakit di tekak dan adakala merebak ke telinga. 
 
  •   Kelenjar limfa membengkak di bawah rahang dan leher. Jika sakit tekak disebabkan virus Coxsackie, lepuh kecil boleh kelihatan pada tonsil dan lelangit lembut (soft palate). 
 
  •   Jika sakit tekak disebabkan jangkitan streptococcal, tonsil sering membengkak dan bersalut putih. Demam, sakit kepala dan muntah serta kesukaran membuka mulut selain suara menjadi serak.

 





Rawatan


Antara rawatan yang boleh dicuba di rumah sebelum berjumpa doktor ialah banyak minum air suam, berkumur dengan air garam dan menghisap ubatan lozenges, di samping pengambilan ubat demam atau tahan sakit (painkiller). Bagaimanapun, jika sakit tekak berterusan, segera berjumpa doktor untuk rawatan. 



Doktor akan memeriksa sama ada antibiotik diperlukan untuk rawatan atau tidak dan ubatan sampingan juga akan dibekalkan. 



Begitu pun, sakit tekak yang berkait dengan demam kuat dan kesukaran menelan mungkin memerlukan kemasukan ke wad untuk antibiotik intravena.

No comments:

Post a Comment