Pages

Friday, 10 August 2012

Falsafah haji




PANGGILAN haji tiba lagi, gamitan talbiah dengan begitu mekar dalam ingatan bakal haji, dhuyufurrahman amat kuat menusuk kalbu. Sebermula dengan panggilan surat terima, sudah membawa seribu satu macam kesukaan telah terukir pada raut wajah jemaah haji. Habis keluarga, rakan taulan diuar-uarkan, bukan sekali tetapi itulah yang dikhabarkan setiap kali bertemu.


Semuanya ini sebagai terjemahan gembira yang berbaur syahdu dalam melaksanakan ibadah haji.


Pada ruangan kali ini, penulis ingin mengemukakan sejumlah falsafah ibadat haji, serta hikmahnya, berdasarkan pengamatan dan sedikit pengalaman yang dikongsi bersama oleh tetamu Allah yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah. Antaranya;




Bermulanya kehambaan


Hal ini jelas dirasakan oleh bakal jemaah haji, inilah puncak penyerahan kepada Yang Maha Esa. Segala tugas hakiki dan wajib dalam semua lapangan seperti pegawai kerajaan, guru, pekerja swasta hatta nelayan terpaksa dengan rela hati meninggalkan tugas tersebut kerana menyahut panggilan Ilahi.


Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang melambangkan penyerahan sebagai seorang hamba kepada Khaliqnya. Hal ini sentiasa dirasakan bermula daripada langkahan pertama keluar dari rumah hingga pulang bertemu sanak saudara dan masuk ke dalam rumah. 


Mengikut cara Islam keluarnya seseorang hamba Allah menuju kepada Allah dalam melaksanakan ibadah haji bermula dengan solat musafir di rumah dan apabila kembali juga dengan bersolat mengikut sunah Rasulullah SAW.




Menzahirkan Kecintaan


Hal ini dipamerkan oleh ramai dan hampir kesemua jemaah haji. Ia merupakan perasaan rindu dan cinta kepada Mekah dan Madinah sekalipun berlaku kerap kali dalam melaksanakan ibadah haji oleh seseorang. Benarlah kenyataan yang dibuat oleh Syeikh Waliyullah al-Dehlawi dalam kitabnya yang masyhur, Hujjatullah al-Baligah.


Seorang ulama Syafie yang terkenal pada zaman dahulu iaitu Imam al-Nawawi menukilkan dalam karyanya, Al-Idhah Fil Manasik al-Haji Wal Umrah antara lain menyebut seorang wanita apabila sampai ke Kota Mekah mulutnya selalu menyebut mana rumah tuhanku, kemudian ditunjukkan ke Kaabah lantas ia berlari dan bergantung pada sitar (kelambu) Kaabah dan selepas itu beliau jatuh menggelonggsor mati di kaki Kaabah.




 
Memaknakan erti kehidupan


Ketika berkelana, mereka dapat menyaksikan manfaat-manfaat haji, sama ada bersifat duniawi atau ukhrawi. Ini sudah pasti akan memberi satu pengalaman yang amat berguna dan bernilai dalam kehidupan seseorang. Pada masa itulah seseorang itu akan menghargai kehidupan yang dialaminya di kampung halamannya dan tanah watannya. Segala aspek yang baik dan positif dapat diterjemahkan dalam kehidupan hariannya yang sudah pasti beliau meraih pahala dan keredaan Allah.




Mengimbau nostalgia hamba Allah


Seolah-olah sebahagian ibadat haji mengajak umat Islam mengimbau sejarah lama, khususnya Nabi Ibrahim dan keluarganya. Justeru semangat keIbrahiman dan KeHajaran sepatutnya dibawa pulang oleh jemaah haji. Bukan hanya menceritakan kepada anak buah betapa letihnya saie antara Safa dan Marwah kerana jauh jaraknya. Sebaliknya mengambil semangat tawakal dan bergantung harap Siti Hajar kepada Allah dalam menempuh sisa-sisa keperitan hidup yang mencabar antara dahaga dan kasih-sayang kepada anaknya, Ismail.




 
Memahami watak manusiawi


Imam Nawawi pada mukadimah kitabnya Al-Idhah menyebut sejumlah pesanan dan wasiat kepada bakal jemaah haji agar berinteraksi dengan sebaik mungkin termasuk hal berkaitan harta benda, makan minum, tawar menawar, pinjaman dan sewaan supaya ibadah haji yang dilakukan dapat disempurnakan dengan baik. 


Ini kerana apabila bermusafir segala watak sebenar manusia akan terdedah kerana itulah salah satu daripada makna safar ialah mengubah watak seseorang kepada hakikat dan realitinya yang sebenar. Pujangga pernah berkata: "Pilihlah jiran sebelum dirikan rumah dan pilihlah rakan sebelum melakukan pelayaran."


Dalam haji, jemaah haji didedahkan dengan pelbagai watak yang terkadang mengguris dan menyinggung perasaan di samping ada yang benar-benar mempamerkan akhlak yang unggul serta prihatin yang teramat sangat kepada rakan taulan, tetapi golongan seperti ini amat nadir dan sedikit dan sudah pasti akan diminati serta dikasihi oleh jemaah haji yang lain.




 
Muzakarah ilmiah


Oleh kerana aspek ibadah haji atau disebut manasik haji, merupakan sebuah rehlah rabbani sudah pastinya ilmu merupakan asas yang terpenting supaya benar-benar menepati sunah nabi. Hal ini selaras dengan perintah Rasulullah SAW: Ambillah manasik haji kamu daripadaku. (riwayat Bukhari). 


Justeru tidak hairanlah Tabung Haji dan lain-lainya mengadakan kursus yang mempunyai banyak siri supaya ilmu dan kefahaman benar-benar dihayati oleh bakal jemaah haji. Tetapi hal yang lebih menarik daripada itu, apabila sampai di Kota Mekah, bahkan seawal perjalanannya lagi sentiasa kedengaran pelbagai pendapat dilontarkan sehingga terlalu ramai "pakar", "mufti", "tokoh ulama", yang mengemukakan pendapat dan hujahan terkadang-kadang hanyalah berkiblatkan kepada logik akal semata-mata. Inilah yang sepatutnya dijauhi.




 
Cuba memperibadikan sahabat yang unggul


Ghalibnya jemaah haji akan berkunjung ke Kota Suci Madinah al-Munawwarah dan beberapa tempat di sekitar Madinah yang penuh keberkatan seperti Uhud, Perkuburan Baqie, Khandak dan lain-lain. Ini sudah pasti mengingatkan kita kepada hayah as-Sahabah dalam mempertahankan agama Allah dan meninggikan syiarnya. 


Bayangkan bagaimana Hamzah Singa Allah rebah dalam Perang Uhud kerana tusukan tombak yang membawa kepada syahidnya. Begitu juga dengan para sahabat yang lain. Kalaulah dapat diperibadikan dalam jiwa jemaah haji seperti mereka itu, sudah pasti sinar gemilang Islam akan muncul kembali.




 
Cinta Rasul


Ini sudah semestinya dapat dipamerkan ketika kunjungan para jemaah ke Makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi. Perasaan syahdu, sayu, sedih dan rasa kebersalahan seseorang itu ternyata zahir ketika lafaz, Assalamualaikum Ya Rasulullah diucapkan berhadapan dengan makamnya. Ketika itu kaki seolah-olah menjadi kaku, kepala ditundukkan, mata dikenangi dengan air mata, dan pemikiran terpusat kepada sahsiah yang paling unggul dimuka bumi itulah Rasulullah SAW.


Ketika itulah sebuah tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjadi umat Rasulullah dan pengikutnya yang setia berasaskan sunah dan sirahnya. Perkataan Ya habibi, wahai kekasihku Ya Rasulullah diulang kembali sehingga lupa orang di sebelahnya meskipun suami atau isterinya. Itulah cinta Rasulullah.




 
Kembali dengan sahsiah Islamiah


Dengan selesainya ibadah haji, apabila batu lontaran terakhir di jamrah selamat masuk ke tempatnya maka jemaah haji berpaling mengadap kiblat, berdoa dengan penuh harapan agar dimabrurkan hajinya. Justeru harapan seolah-olah jemaah haji menjadi bayi yang baru dilahirkan tanpa dosa dan dalam keadaan bersih perlu dipertahankan. 


Sementelahan pula pada tawaf Wada' seseorang itu membuat perjanjian kepada Allah untuk menjadi hamba Allah yang hakiki. Hal yang sama juga berlaku ketika ucapan selamat perpisahan dalam ziarah Wada' kepada Rasulullah SAW. 


Inilah yang sebenarnya patut dibawa pulang selepas memasuki madrasah haji dan telah bergraduan dengan kemabruran haji. Pulang dengan membawa misi mabrur yang disabdakan oleh Rasulullah SAW iaitu pemakaian sifat yang mahmudah seperti memberi salam dan sentiasa menjamu orang, terutamanya fakir miskin dengan makanan.


Itulah sedikit sebanyak coretan falsafah dan hikmah di sebalik pensyariatan haji yang semestinya difahami oleh dhuyufurrahman. Semoga matlamat menuju kepada kemabruran haji tercapai. Amin.


l DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim)

No comments:

Post a Comment