Pages

Friday, 10 August 2012

Kawal nafsu di bazar Ramadan




SEBAHAGIAN besar anak golongan perantau di Kuala Lumpur akan pulang ke kampung berbuka puasa bersama keluarga terutamanya pada awal bulan Ramadan. 


Suasana berbuka seisi keluarga sangat meriah apatah lagi dengan pelbagai ragam persiapan dan selera iftar masing-masing.


Saat mahu menyediakan juadah berbuka atau bersahur, macam-macam jenis hidangan yang dicadangkan untuk mengisi meja makan di rumah.


Ada yang mahu makan lemak pucuk ubi, pajeri nanas, kuih-muih, gulai ayam, pucuk paku goreng, ayam percik, ikan bakar dan air tebu. 


Oleh kerana mahu berbuka beramai-ramai, perasaan untuk membeli-belah juadah berbuka di bazar Ramadan jadi membuak-buak. Pendek kata, apa sahaja yang dijual di bazar terasa mahu dibeli walaupun pada akhirnya tidak habis dimakan.


Perkara itu secara jujurnya berlaku dalam keluarga penulis sendiri. Akibat tertarik dengan deretan kuih-muih yang kemas tersusun dan begitu menyelerakan di sebuah pasar Ramadan di Perak, hampir RM20 dibelanjakan di tapak gerai pertama.


Bayangkan, dengan plastik berisi pelbagai juadah penuh berisi di tangan, berapa jumlah duit yang penulis habiskan saat selesai menjelajah seluruh tapak bazar Ramadan itu. 


Setibanya di rumah dan dihidangkan di meja makan, ibu dan ayah terkejut dengan lambakan kuih dan lauk-pauk itu. Siapa yang akan menghabiskannya? Tambahan pula, ibu turut memasak dua tiga jenis lauk lain.


Akhirnya, juadah itu bukan sahaja tidak habis dimakan, bahkan sebahagian bakinya hampir dibuang. Mujur ada yang boleh disimpan untuk dibawa ke sesi bersahur. 


Di sebalik sikap tamak itu, akhirnya membuatkan saya terfikir seketika nasib golongan miskin yang tidak mampu berbelanja dan mengharapkan bantuan orang ramai untuk bersahur dan berbuka puasa.


Sejak hari itu, sebelum berkunjung ke mana-mana bazar Ramadan tahun ini, saya akan membuat perancangan terlebih dahulu mengenai juadah yang mahu dimakan ketika berbuka puasa bagi mengelakkan pembaziran. Lagipun, tabiat berlebih-lebih membeli juadah berbuka puasa sehingga membazir hanya akan merugikan diri sendiri.


Oleh itu, bagi semua umat Islam di negara ini turut disarankan supaya mengelakkan sikap membazir sebaliknya dalam bulan yang mulia ini, lebihkan bersedekah supaya dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang mampu.


Mereka lebih memerlukannya berbanding kita yang seringkali duduk tersandar dan senak perut akibat iftar yang berlebih-lebihan!

No comments:

Post a Comment