Pages

Friday, 10 August 2012

Tomato pelembap semula jadi




TOMATO sering digunakan dalam penyediaan makanan, baik oleh masyarakat di negara Timur atau Barat, kerana warnanya yang menarik dengan rasa yang sedap, mampu membangkitkan selera.


Namun, selain sebagai bahan makanan, tomato mempunyai faedah yang baik untuk kulit. Sesiapa saja boleh melakukan rejim kecantikan yang murah di rumah, tanpa perlu membeli produk kecantikan atau berkunjung ke spa. 


Lebih menjimatkan sekiranya tomato ditanam sendiri di halaman rumah kerana ia tidak sukar dijaga, tetapi pada masa sama memberi banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan diri. 


Tomato yang datang dalam pelbagai saiz dan versi warna oren, mempunyai keupayaan menyejukkan dan bersifat astringen yang mengurangkan saiz liang roma, melindungi kulit serta mengurangkan masalah kulit berminyak. 



 
Ia kaya dengan vitamin C serta A membantu mengatasi masalah kulit berjerawat, mencerahkan kulit wajah dan menjadikan kulit lebih sihat. 


Sifat asid semula jadi yang ada pada tomato juga membantu mengimbangi kulit wajah, sekali gus mengurangkan masalah pengeluaran lebihan minyak atau sebum yang sering mengakibatkan kulit berjerawat dan bernoda. 


Antioksida yang ada padanya mampu melawan radikal bebas kerana ia juga kaya dengan vitamin E, B6, B1, B3 dan B2, selain mempunyai kandungan zat besi dan potasium, yang semuanya diperlukan dalam membina kulit sihat. 




 
Selain itu, tomato mampu bertindak sebagai pelembap semula jadi yang membuatkan kulit menjadi lembut dan berseri. 


Kajian daripada Universiti Manchester menunjukkan wanita yang makan kira-kira 55 gram pes tomato setiap hari mempunyai risiko rendah berhadapan dengan masalah kulit rosak akibat selaran matahari. 


Ini kerana sejenis kompaun antioksida yang berkuasa tinggi, lycopene, ada di dalam tomato dan melindungi kulit daripada kerosakan apabila terdedah kepada cahaya matahari. 


Pendedahan terlampau pada sinar ultraungu cahaya matahari menyebabkan berlakunya penuaan kulit pramatang, malah boleh mengakibatkan kanser kulit. 


Namun, pengambilan sekurang-kurangnya 16 miligram lycopene dalam diet setiap hari mampu mengurangkan risiko masalah itu dan meningkatkan kesihatan kulit. 


Kulit ‘terbakar’ akibat panahan cahaya matahari terik menyebabkan ia kemerahan, tetapi ia boleh dipulihkan dengan meletakkan campuran jus tomato dan timun pada wajah. 


Ramai orang terutama remaja berhadapan dengan masalah jerawat hingga hilang keyakinan diri serta tertekan kerana kulit wajah tidak juga pulih walaupun sudah pelbagai produk atau cara dicuba. 


Tomato antara pilihan untuk mereka kerana selain murah dan mudah didapati, meletakkan tomato yang sudah dilecek pada kulit serta dibiarkan selama satu jam sekali seminggu membantu untuk merawat masalah jerawat. 




 
Bagi mengurangkan masalah kulit berminyak pula, ambil hirisan tomato dan gosokkan pada wajah dengan memberi tumpuan pada bahagian kulit paling bermasalah selama beberapa minit sebelum dicuci dengan air sejuk. 


Cara lain yang boleh digunakan untuk mencantikkan kulit wajah adalah dengan mencampurkan jus tomato dan timun, kemudian sapukan pada wajah menggunakan bebola kapas. 


Rawatan muka bagi memastikan kulit sentiasa cantik, kurang berminyak dan mengecilkan saiz pori-pori, boleh dilakukan dengan memotong tomato kepada dua bahagian dan kemudian menggosoknya ke kulit sebelum dibiarkan beberapa minit. 




 
Fokus perlu ditumpukan kepada bahagian wajah paling berjerawat dan mempunyai bintik hitam, kemudian bilas dengan air. Cara itu boleh digunakan mereka yang mahukan bahan semula jadi untuk penjagaan wajah. 


Jika mahu melakukan rawatan lebih intensif, mereka boleh membuat pupur sendiri dengan mencampurkan isi tomato dengan sesudu madu organik dan yogurt. Kemudian ia disapu ke seluruh wajah serta leher dan dibiarkan selama 30 minit sebelum dibilas dengan air suam. 


Selain memberi nutrien dan menyegarkan kulit, campuran itu juga dapat membantu memudarkan noda dan bintik hitam pada wajah. Kulit juga akan tampak lebih berseri. 


Bagi mengurangkan liang roma terbuka luas terutama bagi mereka yang mempunyai kulit berminyak, campuran jus tomato dan limau boleh disapu di muka dan dibiarkan selama 15 minit. 


Bagi mereka yang gemarkan pencuci wajah daripada bahan semula jadi, campurkan susu bersama jus tomato dan dimasukkan ke dalam botol. Simpan di dalam peti sejuk dan gunakan setiap hari. 


Ketika mencuci dengan campuran itu, sapukan pada wajah dan biar selama 10 minit sebelum dicuci dengan air sejuk. 


Walaupun tomato adalah bahan semula jadi dan mempunyai pelbagai nutrien, ada sesetengah individu yang mengalami masalah jerawat kronik mungkin tidak sesuai mengamalkannya dan perlu bertemu dengan pakar dermatologi bagi mendapatkan rawatan bersesuaian.

No comments:

Post a Comment