Pages

Monday, 17 September 2012

Misteri kesan tapak kaki melekat pada batu



















Omar (kanan) menunjukkan kesan tapak kaki yang masih jelas kelihatan.


KUALA TERENGGANU – Bukan sesuatu asing bagi masyarakat di sini, apabila ditanya mengenai kesan tapak kaki manusia pada batu besar yang terletak di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Maras, di sini, kerana ia sememangnya terselit sejarah dan cerita yang tersendiri.


Malah, kesan tapak kaki berukuran kira-kira 12 inci (0.3 meter) itu turut menjadi tumpuan ramai setiap kali berlangsungnya majlis atau upacara di kawasan tanah perkuburan berkenaan, bagi melihat sendiri sekali gus mensahihkan lagi cerita-cerita yang sampaikan ke pendengaran mereka sebelum ini.


Justeru itu, ada segelintir pihak berharap agar pihak terlibat dalam penilaian sejarah menilai kesahihan tersebut dengan harapan untuk menjadikan ia sebagai salah satu monumen yang harus dipelihara.


Sinar Harian difahamkan, kesan tapak kaki itu merupakan milik Allahyarham Bilal Awang Mohd Amin, yang dikatakan menghentak kakinya pada batu berkenaan setelah kecewa tidak memperoleh ilmu persilatan daripada salah seorang gurunya.


















Batu besar yang terlatk di belakang Omar itulah sering menjadi tempat Bilal Awang bertapa ketika hayatnya.


Allahyarham Bilal Awang yang meninggalkan dunia ketika usianya 66 tahun, sememangnya dikenali masyarakat setempat kerana kehebatannya dalam ilmu persilatan serta sering bertapa di dalam hutan untuk memperoleh ilmu yang diingininya.


Sehubungan itu, bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, Sinar Harian menemui waris terdekat yang juga cucunya, Omar Abdullah, 66, untuk mendapatkan cerita di sebalik kisah tapak kaki yang membuatkan tanah perkuburan berkenaan mempunyai tarikan tersendiri.


“Boleh dikatakan hampir kesemua penduduk di kampung ini terutamanya generasi lama mengetahui cerita ini, di mana kesan tapak kaki yang berusia lebih 60 tahun itu masih jelas kelihatan sehingga kini, meskipun kejadian itu telah lama berlaku,” katanya.


Katanya lagi, kehebatan datuknya dalam ilmu persilatan sememangnya diakui ketika zaman dahulu dan kesan tapak kaki itu turut menjadi lambang kekuatan ilmu yang dipelajari, dalam usaha untuk menguasai sebanyak mungkin ilmu tentang persilatan.


Jelasnya lagi, ada antara orang ramai datang berjumpa dengannya semata-mata ingin mengetahui cerita di sebalik misteri tapak kaki manusia yang masih jelas di atas batu yang terletak di kawasan tanah perkuburan kampung berkenaan.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Maras Tengah, Ismail Awang, nilai sejarah yang terdapat di tanah perkuburan berkenaan secara tidak langsung menjadi tarikan hingga ada yang datang semata-mata untuk melihat kesan tapak kaki tersebut.


“Sambutan hari raya enam baru-baru ini menyaksikan ramai antara saudara dan waris yang jenazahnya disemadikan tanah perkuburan itu, berpusu-pusu menuju ke batu besar yang terletak di kawasan tanah perkuburan, semata-mata untuk melihat dengan mata sendiri kesan tapak kaki manusia berkenaan,” katanya.


Katanya lagi, sejarah yang terpahat di batu berkenaan wajar dipelihara sebagai nilai yang memiliki tarikan tersendiri, di samping memberi pengajaran dan teladan berguna kepada generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment