TERJUNAN yang dibuat
Baumgartner.
WASHINGTON - Pelagak ngeri Austria, Felix Baumgartner menjadi
manusia pertama bergerak lebih pantas daripada kelajuan bunyi di luar sebuah
kapsul kelmarin.
Dia terjun dari kapsul tersebut yang berada setinggi 39
kilometer (km) dari Bumi.
Kapsul tersebut bergerak ke udara dengan menggunakan belon
helium.
Ia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba pada ketinggian
39km dari Bumi.
Kelajuannya mencecah 1,342 kilometer sejam (km/j).
Lelaki itu 265km/j lebih pantas daripada bunyi.
Baumgartner, 43, kemudian mendarat dengan menggunakan payung
terjun di sebuah kawasan di sebuah gurun di Roswell, New Mexico, Amerika
Syarikat (AS).
Laman web syarikat minuman tenaga Red Bull menyiarkan aksi
pelagak ngeri itu yang memakai pakaian seperti angkasawan semasa dia berada di
dalam kapsul tersebut.
Baumgartner menanggalkan topi dan menggenggam kedua-dua
tangannya selepas dia mendarat dengan selamat.
"Apabila saya berdiri di atas dunia, anda berasa rendah
diri. Anda tidak berfikir tentang memecahkan rekod lagi. Anda juga tidak
memikirkan untuk memperoleh data saintifik.
"Satu-satunya perkara yang anda fikirkan ialah pulang
dengan selamat," katanya selepas dia selamat mendarat kepada wartawan stesen
televisyen CBS.
Dia turut memecahkan rekod sebagai manusia pertama membuat
terjunan dari altitud tinggi.
Sebelum ini seorang bekas pegawai tentera udara AS, Kolonel
Joe Kittinger memegang rekod itu dengan terjun dari sebuah gondola pada
ketinggian 31 kilometer dari Bumi dengan kelajuan 988km/j pada tahun 1960.
Baumgartner menyatakan pengalamannya terjun dengan lebih laju
daripada bunyi itu sukar untuk digambarkan.
"Anda tidak mengetahui kepantasan anda," katanya.
Rekod itu kemudian disahkan oleh jurucakap Persekutuan
Aeronautik Antarabangsa (FAI) pada sidang akhbar di Roswell, New Mexico.
Presiden Austria, Heinz Fischer mengucapkan tahniah ekoran
kejayaannya dalam projek terjunan anjuran Red Bull Stratos.
Baumgartner pernah terjun dengan menggunakan payung terjun
dari Bangunan Petronas di Kuala Lumpur pada 1999. - Agensi
No comments:
Post a Comment