Pages

Monday, 21 January 2013

Memberi itu saham ke syurga





KEJAYAAN dalam hidup ini tidak mampu dan tidak boleh diraih seorang diri. Orang paling berjaya di dunia ini ialah mereka yang membawa orang lain berkongsi kejayaan bersamanya.


Ramai di antara kita hanya memikirkan untuk memuaskan diri sendiri padahal tindakan itu tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Maka, mula dan tingkatkan usaha kita menjadi golongan pemberi yang mampu menggembirakan hati orang lain.

 
Keluarkan diri daripada menjadi golongan ‘penadah’ atau hanya menerima pemberian orang. Hakikatnya, sifat memberi dan menerima itu bukan saja diukur dari sudut harta benda semata-mata tetapi termasuk juga ilmu, iman dan takwa.


Sifat pemurah memberikan ketenangan kepada diri selain turut disayangi orang lain. Kita perlu sentiasa ingat, apa yang kita miliki terdapat hak orang lain yang wajib ditunaikan.


Ramai menganggap kejayaan yang dinikmati membuatkan mereka lebih berbahagia. 


Namun, kehidupan yang bahagia sebenarnya bertitik tolak dengan apa yang sedang dan akan terus kita berikan.






















CUBA BANTU....umat Islam disaran mendidik diri supaya sentiasa menjadi penyumbang untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.







Sifat memberi tidak akan mengurangkan sedikit pun. Saidina Ali berkata: “Rezeki kamu adalah apa yang kamu gunakan dan apa yang kamu belanjakan ke jalan Allah.”


Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad s.a.w menerangkan: “Setiap awal pagi, ada dua malaikat turun ke bumi. Malaikat pertama berdoa: “Ya Allah, gantilah harta yang sudah dibelanjakan oleh orang ini.” Malaikat kedua berdoa: “Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang kedekut ini.” (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim).


Pemberian kita itu pastinya menjadi ‘saham’ besar buat kita di akhirat kelak.
Apabila timbul keinginan untuk memberi menjadikan seorang itu lebih kuat berusaha untuk mencari rezeki.


Penolong Pengarah Biro Tatanegara Negeri Pahang, Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Ahmad Shah Jamlus berkata, setiap kurniaan yang Allah limpahkan kepada hamba-Nya adalah amanah untuk dilunaskan dengan sebaik mungkin.


“Wang ringgit, kemewahan, kesihatan, pangkat, keuntungan perniagaan, kecantikan, anak, kecerdikan dan kemahiran kekuatan adalah rezeki daripada Allah S.W.T.


“Hakikatnya, ada rezeki yang dikurniakan terus tanpa usaha. Ada juga rezeki yang dikurniakan dengan ikhtiar manusia itu sendiri,” katanya.


Beliau berkata, nikmat hidup di atas muka bumi ini adalah anugerah yang ditakdirkan secara terus daripada Allah untuk tempoh tertentu.




















BEKERJA KERAS...meyakini kekuasaan Allah dan reda dengan kehidupan yang dilalui menguatkan lagi semangat memperbaiki kehidupan.


“Bagaimana rezeki itu diperoleh dan ke mana pula ia dibelanjakan perlu dititikberatkan. Berdasarkan prinsip Islam, usaha, ikhtiar, berdoa dan bertawakal begitu penting dalam mendapatkan rezeki yang halal lagi baik.


“Syariat menjadi panduan bagi menjamin ia terarah kepada kebaikan serta menjauhi sifat tamak, gelojoh, iri hati dan hasad dengki. Perolehan rezeki itu pula perlu daripada sumber yang halal.


“Sedekah terbahagi kepada dua. Pertama, sedekah wajib iaitu zakat dan nazar.
Kedua, sedekah sunat iaitu pemberian sukarela, derma dan sumbangan yang mencakupi material, fizikal, minda dan rohani,” katanya.


Ahmad Shah berkata, berdasarkan prinsip kesederhanaan Islam, kaedah membelanjakan rezeki itu perlu ada keseimbangan iaitu tidak kedekut dan tidak pula membazir.


“Dalam Surah Yunus, ayat 31 menjelaskan: “Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? 


Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik)


tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?”


“Begitu juga halnya dengan mereka yang membelanjakan harta ke jalan Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.


Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah Al-Baqarah, 261).


“Semoga kita tidak lokek untuk bersedekah dan tidak pula membazir dengan nikmat kurniaan Allah,” katanya.






















REZEKI HALAL...walaupun hidup serba kekurangan tidak mudah beralah untuk memastikan kehidupan diri dan keluarga sentiasa terbela tanpa banyak mengharapkan bantuan orang lain.


Menurutnya, kekayaan yang kita miliki perlu dibelanjakan kerana ia tetap akan ditinggalkan.


“Yang kita bawa hanyalah amalan sepanjang hayat di dunia. Maka, manfaatkanlah apa yang kita sayangi itu mengikut syariat Islam demi manfaat di akhirat kelak.


“Rasulullah berpesan, hanya tiga perkara yang kekal untuk seseorang manusia itu sehingga akhirat iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat serta anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya,” katanya.


Allah menjelaskan dalam Surah Al-Qasas, Ayat 77, maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”


Beliau menyarankan umat Islam didik diri supaya sentiasa berperanan sebagai penyumbang dan pemberi.


“Hal itu mendapat galakan daripada Rasulullah menerusi hadis sahih riwayat Imam Muslim menjelaskan: “Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah. Dan tangan yang di atas itu adalah tangan yang bersedekah (memberi), tangan yang di bawah itu adalah tangan yang meminta (menerima).”


“Oleh itu, berusaha dan berikhtiar menjadi seorang yang berilmu, berharta dan berkeupayaan untuk menyumbang. Melalui sumbangan kita itu akan meningkatkan lagi kemuliaan diri dan Islam itu sendiri,” katanya.


Ahmad Shah berkata, meyakini kekuasaan Allah membawa diri lebih reda dengan kehidupan yang kita lalui.


“Jika kita benar-benar yakin terhadap Allah, ia akan memberi motivasi besar dalam kehidupan. Kita hanya pemegang amanah kepada setiap rezeki kurniaan Allah.


“Allah berhak mengambilnya dengan sekelip mata dan Dia juga berhak memberikannya kepada sesiapa yang Dia Kehendaki tanpa had. Maka, beringat ketika ada dan beringat juga sebelum kena,” katanya.

1 comment: