Pages

Sunday, 20 January 2013

Misteri orang kenit


















SESETENGAH pengkaji mistik percaya orang kenit berasal daripada keluarga jin yang berkahwin dengan manusia. 


ORANG KENIT dikatakan makhluk yang bentuknya mirip manusia tetapi tubuhnya hanya sebesar tikus atau tupai. 


Menurut cerita orang dulu-dulu, orang kenit sentiasa menyembunyikan diri kerana takut dicederakan manusia.


Pada tahun 2002, saintis Chile kebingungan berikutan penemuan makhluk setinggi 7.2 sentimeter di Hutan Simpan Valdivian di negara itu. 


Ia dijumpai oleh seorang remaja, Julio Carreno, 15. Carreno berkata, orang kenit itu memiliki fizikal haiwan yang seakan-akan manusia. Ia mempunyai sepasang kaki dan tangan serta berkepala besar. 


Carreno membawanya berjumpa doktor kerana menyangka makhluk itu sakit.


“Doktor yang memeriksanya terkejut kerana dia tidak pernah melihat spesies haiwan seperti itu,” tutur Carreno.


Malangnya, makhluk itu mati lapan hari kemudian.


Cerita itu tidak berakhir begitu sahaja. Selepas mati, bangkai makhluk kenit itu mengering seperti mumia.


“Pada mulanya badannya berwarna merah jambu sebelum bertukar menjadi lebih gelap dan hitam,” kata remaja itu.


Meskipun begitu, penyelidik Chile berpendapat ia mungkin janin hidupan liar seperti kucing hutan atau tupai kecil.


Pengkaji dari Universiti Sonto Tomas, Filipina pula mengatakan ia sejenis hidupan seakan-akan tupai iaitu monito de monte.


Tupai


Tupai itu merupakan spesies mamalia kecil yang tinggal di hutan Valdivian, Chile. Ia kerap menyembunyikan diri pada waktu siang untuk mengelak daripada dikesan musuh.


Bagaimanapun, cerita orang kenit di negara jiran, Indonesia lebih menggemparkan. 


Lebih 100 tahun lalu, beberapa penyelidik yang membuat kajian di Taman Negara Kerinci, Sumatera, menemui makhluk berkaki pendek dan berlari seperti manusia di hadapan mereka.























MAKHLUK pelik yang ditemui oleh seorang remaja, Julio Carreno di Hutan Simpan Valdivian, Chile pada tahun 2002.


Kulit makhluk itu setinggi 70 sentimeter itu coklat kemerah-merahan manakala tubuhnya berbulu gelap panjang. Lengannya pula lebih panjang daripada kaki.


Haiwan kriptid itu dilihat pertama kali pada tahun 1910. Ia digelar dengan pelbagai nama seperti orang pendek atau orang kenit.


Pada 21 Ogos 1915, seorang saintis haiwan, Edward Jacobson menemui jejak misteri di hutan simpan itu.


Penemuan tapak kaki sebesar tapak tangan kanak-kanak sepanjang tujuh sentimeter memperkukuhkan dakwaan kewujudan spesies orang kenit yang mendiami kawasan hutan itu.


Namun, Edward gagal menemui kelibat makhluk berkenaan mahupun kediamannya.


Dua tahun selepas itu, pada tahun 1917, seorang pengurus ladang Belanda bernama Oostingh mendakwa terserempak dengan orang kenit di sebuah hutan berdekatan Bukit Kaba, selatan Jambi.


Beberapa tahun kemudian, Muzium Nasional Bogor menerima bangkai dipercayai milik orang kenit.


Sebelum itu, pihak muzium itu ada menawarkan hadiah bagi setiap penemuan bangkai makhluk kriptid tersebut.


Makhluk asing


Cerita tentang bangkai haiwan yang disangka orang kenit itu menjadi tajuk utama akhbar di Indonesia selama beberapa hari sebelum bangkai itu disahkan milik seekor kera. 


Setelah lama menyepi, pada tahun 1989, pencarian orang kenit kembali hangat selepas seorang penulis Britain, Deborah Martyr mendakwa berjaya menemui jejaknya di barat daya Sumatera. 


Jejak tersebut sepadan dengan tapak kaki anak Deborah yang berusia tujuh tahun.


Selepas mengkaji selama lima tahun, Deborah akhirnya berpeluang melihat sendiri orang kenit di Gunung Kerinci pada 30 September 1994. 


Makhluk itu dilihat sedang berjalan dengan kedua-dua belah kakinya. 


Setelah berjalan sejauh beberapa meter, makhluk itu berhenti sejenak, menoleh ke arah Deborah dan terus menghilang ke dalam hutan.


Malangnya, tiada bukti foto atau video yang dapat mengesahkan cerita itu.


Setahun selepas itu, semasa gempa bumi melanda Liwa di Lampung, Indonesia, beberapa penduduk tempatan sempat menyaksikan orang kenit lari bertempiaran dari hutan berdekatan kerana takutkan gempa.
















SAIZ tapak kaki orang kenit yang berjaya dirakam sekumpulan penyelidik di Hutan Simpan Kerinci, Sumatera. 


Pencarian orang kenit masih diteruskan sehingga hari ini. Terbaharu, sekumpulan pengkaji Pusat Zoologi Fortean di Universiti Cambridge, Britain melaksanakan misi menjejak orang kenit tahun lepas diketuai Adam Davies.


Beberapa foto telah hantar ke Universiti Cambridge dan ada khabar angin yang mengatakan gambar itu sahih.


Menurut seorang pengkaji paranormal, Rahim Hanipah, 53, beliau pernah mendengar kewujudan makhluk itu di negara ini berdasarkan cerita rakan-rakannya. 


“Mereka menemuinya di beberapa kawasan di Johor. Ia setinggi 4 atau 5 sentimeter dan mirip manusia.


“Pakaiannya juga seperti manusia tetapi cepat melarikan diri apabila terserempak dengan orang.


“Sekali lagi, tiada foto atau video yang mengesahkan perkara ini,” ujarnya.


Rahim berpendapat orang kenit mungkin berasal daripada keluarga jin dan berkahwin dengan manusia.


“Mereka mempunyai tamadun tetapi tidak secanggih manusia. Mereka menetap di hutan, paya atau kawasan gunung-ganang yang sukar dijejaki manusia.


“Makhluk ini hidup berpasangan, perlu makan dan minum selain membiak seperti manusia,” katanya.


Seorang pakar objek terbang tidak dikenali (UFO), Ahmad Jamaludin, 56, berpendapat, peristiwa kemunculan UFO mempunyai hubung kait dengan orang kenit.


Katanya, bukti yang beliau kumpul sejak tahun 1979 mengesahkan kehadiran entiti orang kenit di negara ini.


“Saiznya kecil iaitu sekitar 3 hingga 6 sentimeter tetapi mereka sukar diperhatikan kerana hidup di alam ghaib lain sama seperti orang bunian.


“Mereka mempunyai senjata laser untuk menyerang musuh.


“Selain itu, mereka mengkaji corak kehidupan manusia sebelum pulang ke angkasa lepas,” katanya.

2 comments: