Pages

Friday, 1 February 2013

Pesona alam


Beauty Pool




SEKALI pandang, ia kelihatan seperti paparan filem cereka sains terbaru memaparkan dunia makhluk asing angkasa lepas.


Bagaimanapun, imej luar biasa itu sebenarnya dirakam di bumi yang terhasil akibat tindak balas semula jadi berterusan dan kekal menarik perhatian. Daripada gabungan warna terang di kolam air panas hingga pembentukan batu rencam yang kelihatan seperti gajah, landskap luar biasa itu terhasil melalui peralihan masa berjuta-juta tahun. Sebagai contoh, Beauty Pool yang menjadi tumpuan utama di Taman Negara Yellowstone di Wyoming.


Air panas membolehkan alga dan bakteria membiak sehingga menghasilkan susunan warna mempesona di situ.




Death Valley




Satu lagi kejadian alam semula jadi yang menawan ialah Death Valley di California apabila fenomena peralihan batu di tanah gersang itu turut membingungkan pakar.







Setakat ini tiada penjelasan dapat dibuat untuk menjawab tanda tanya mengapa bongkah batu besar - sesetengahnya seberat lebih 300 kilogram - boleh beralih tempat di daratan yang rata itu.




The Wave



Keanehan batu pasir - dikenali sebagai The Wave - di Utah, Amerika Syarikat juga tidak kurang hebatnya.


Ia terbentuk akibat hakisan angin dan hujan sejak 190 juta tahun lalu dan kini membentuk pemandangan yang menakjubkan. 




Tasik Hiller




Tasik Hiller di Australia Barat pula mengagumkan kerana kewujudan warna merah jambu terang yang memenuhi tasik berkenaan.


Saintis masih bingung untuk memberi penjelasan terhadap fenomena itu kerana ujian menunjukkan, ia bukan berpunca daripada kehadiran alga seperti yang ada di tasik masin lain di negara itu.


Ketika teknologi kini pun tidak mampu meleraikan tanda tanya, kita hanya dapat membayangkan bagaimana generasi terdahulu mencari jawapan kepada keajaiban alam yang ada.





Bongkah Moeraki




Turut menarik perhatian ialah Bongkah Moeraki berbentuk seperti telur gergasi dari dunia lain di pesisir pantai New Zealand yang kekal misteri.




Great Blue Hole



Jika ia belum cukup membingungkan, lihat pula ke Belize.


Kewujudan lubang besar - dinamakan Great Blue Hole - selebar 300 meter dan sedalam 124 meter - terbentuk akibat beberapa kejadian pencairan glasier ketika paras laut jauh lebih rendah berbanding zaman sekarang.



Peculiar pinnacles



Di Taman negara Nambung di Australia Barat pula, struktur batu kapur di situ memang menakjubkan dengan sesetengah daripadanya setinggi kira-kira lima meter.


Pakar berpendapat, ia terhasil sejak 25,000 hingga 30,000 tahun lalu apabila paras laut menurun dan menyebabkan pelbagai jenis cengkerang terdedah kepada matahari.


Dari semasa ke semasa, angin membawa pasir yang ada di sekeliling batu itu ke tempat lain dan meninggalkan struktur berkenaan menjadi lambakan tiang.


2 comments:

  1. Cantik kan ciptaan allah swt...

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang cantik dan mengagumkan ciptaan allah s.w.t nie..;-)

      Delete