Sabarlah dalam setiapn ujian yang
dihadapi ketika bekerja.-gambar hiasan
Kebanyakan
daripada pekerja berpendapat bahawa kerja yang dilakukan itu hanyalah amalan
rutin harian untuk mendapat upah atau hasil. Manakala majikan pula adalah
syarikat atau pihak pengurusan yang menggaji kita.
Penulis Karya Bestari, Mohd Yaakub Mohd Yunus berkata, tanggapan seperti ini sebenarnya kurang tepat. Ibadat dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan ibadat ritual semata-mata seperti solat, puasa dan haji. Malah ibadat merangkumi segala kerja berbentuk kemasyarakatan, urusan mencari rezeki, sehinggalah kepada mentadbir sesebuah negara.
Menurutnya, segala perkara yang dilakukan dalam kehidupan
mestilah diniatkan ikhlas untuk mencapai keredaan ALLAH SWT, sebagaimana ayat
yang selalu dibacakan dalam doa Iftitah ketika mendirikan solat: “Katakanlah,
sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH, Tuhan
semesta alam.” (Surah al-An’am : 162).
“Justeru itu apabila individu itu bersetuju bahawa kerja itu
adalah sebahagian daripada ibadat, maka seharusnya menerima hakikat bahawa
majikan lebih besar dan Maha Berkuasa ialah ALLAH.
“Sehubungan dengan itu dia bukan sekadar perlu mematuhi undang-undang atau polisi yang ditetapkan pihak syarikat, bahkan turut memastikan segala aspek dalam pekerjaan itu menepati piawaian syarak,” katanya kepada penulis.
Oleh itu, katanya, dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan
hendaklah ditanamkan niat ikhlas hanya untuk ALLAH. Jika dalam aspek pekerjaan
pula hendaklah melakukan tugasan yang dipertanggungjawabkan dengan penuh
komitmen tinggi, amanah dan ia dilakukan demi untuk mencapai keredaan ALLAH.
“Apa yang
perlu ditanamkan dalam jiwa adalah ganjaran daripada sesuatu pekerjaan itu
bukan hanya berbentuk material seperti gaji, bonus atau elaun.
“Tetapi aspek spiritual seperti dosa dan pahala serta keberkatan anugerah ALLAH demi mencapai kebahagiaan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak,” katanya.
Cabaran kerja
Berhadapan dengan cabaran kerja, kata Mohd Yaakub, haruslah
tempuhi dengan penuh kesabaran agar ia dapat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT
dan menerima segala limpah rahmat-Nya.
“Apakah itu sabar? Sabar adalah teguh dan tetap berada atas
landasan agama apabila berhadapan dengan sesuatu cabaran. Janganlah pula untuk
mengatasi sesuatu cabaran itu apabila memilih untuk melakukan sesuatu yang
tidak beretika.
“Contohnya, untuk memenangi sesuatu kontrak yang turut ingin
direbut pihak lain, jangan pula mengamalkan rasuah. Bagi pekerja yang beriman,
untuk memenangi sesuatu kontrak hendaklah menerusi perancangan yang teliti,
kertas cadangan yang lengkap, sebut harga yang kompetitif dan pembentangan yang
mantap,” katanya.
Menurut Mohd Yaakub, untuk mencapai keredaan ALLAH perlu
disertakan dengan niat ikhlas kerana-Nya dan ciri-ciri pekerjaan itu tidak
bertentangan dengan syarak.
“Pekerjaan yang terdapat unsur maksiat, perjudian, hiburan
melampau atau apa jua aspek bercanggah dengan Islam tidak akan mencapai
keredaan ALLAH. Oleh itu, setiap umat Islam perlu menerapkan nilai
profesionalisme dalam kerjaya mereka.
“Aspek kualiti dalam pekerjaan perlu dijaga dengan menerapkan
sifat mulia yang dituntut syarak dalam urusan di pejabat seperti rajin, cekap,
amanah, proaktif, adil dan bertanggungjawab.”
Pada dasarnya Islam mengajar umatnya agar sentiasa berusaha
mengamalkan budaya kerja cemerlang dengan berpaksikan iman serta akhlak.
Beliau yang juga penulis buku bertajuk Manisnya Iman berkata, bagi mereka yang memahami bahawa ALLAH juga majikan dan kerja itu adalah ibadat. Ini tentu sekali akan meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja masing-masing kerana Islam mengajar umatnya dengan pelbagai sifat positif yang dapat membentuk tenaga kerja profesional.
Setiap umat Islam akan berhati-hati dalam setiap perbuatan mereka sekiranya ia diniatkan ikhlas kerana ALLAH SWT dan pengharapan serta kebergantungan mereka kepada hanya untuk keredaan ALLAH.
Apabila terdapat kelemahan dalam melaksanakan tugasan, seorang pekerja Muslim boleh menerima teguran membina dengan hati terbuka. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa hanya ALLAH memiliki sifat sempurna.
“Manusia
pula walau sehebat mana pun dia tetap memiliki kelemahan. Namun begitu mereka
tetap berusaha untuk mencapai kualiti yang tinggi dalam kerjaya dan wujud
ketenangan di sebalik setiap usaha mereka,” katanya.
Tukar kerja
Menghadapi tekanan atau bebanan kerja itu adalah perkara yang
tidak dapat lari dalam dunia pekerjaan. Namun itu adalah bentuk ujian ALLAH
yang perlu dihadapi umat Islam dengan tahap kesabaran tinggi.
“Namun begitu bukanlah menjadi suatu kesalahan bagi seseorang
untuk mengubah haluan sekiranya merasakan pekerjaan yang dilakukannya kini
kurang sesuai baginya. Sedangkan pasangan suami isteri dibenarkan untuk
bercerai, inikan pula hubungan antara pekerja dengan majikan,” kata Mohd
Yaakub.
Berkaitan bekerja dengan majikan bukan Muslim, beliau
berkata, sekiranya ciri-ciri pekerjaan adalah harus dan halal dari sudut syarak
maka bukanlah menjadi suatu kesalahan bagi Muslim untuk bekerja dengan majikan
tersebut.
“Di samping itu, majikan bukan Islam juga perlu memerhatikan
hak pekerja Islam di bawah tanggungannya untuk menunaikan perintah agamanya
seperti mendirikan solat dan menutup aurat.
“Sekiranya hak umat Islam ini tidak dipatuhi majikan bukan Islam, maka hendaklah pekerja beragama Islam berusaha untuk mencari peluang kerja lain,” katanya.
Ingat amaran Rasulullah SAW yang bersabda dengan maksud:
“Tidak boleh sama sekali taat kepada mana-mana makhluk dalam urusan menderhakai
ALLAH ‘Azza Wa Jalla” (Riwayat Imam Ahmad)
No comments:
Post a Comment