BERAT badan berlebihan menjadi punca
utama masalah diabetes di Malaysia.
KEMATIAN mengejut wartawan penyiaran NBC News, Tim Russert,
58, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada tahun 2008 memeranjatkan
ramai orang.
Tidak terkecuali Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan
Shaharom, 50, dan penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40,
pada tahun 2009.
Kesemua mereka meninggal dunia selepas mengalami serangan
jantung.
Biarpun begitu, petanda awal kepada serangan jantung itu
sudah diduga kerana masing-masing merupakan penghidap diabetes.
Perkara tersebut diakui oleh Ketua Endikronologi, Pusat
Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Nor Azmi Kamaruddin.
Jelas Nor Azmi, selain daripada kesan fizikal seperti gangren
iaitu anggota tubuh mati atau membusuk akibat diabetes, penyakit itu juga
menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit kronik yang lain.
“Ramai orang yang hanya mengaitkan diabetes dengan kesan
buruk yang berakhir dengan kaki pesakit terpaksa dipotong. Namun, hakikatnya ia
boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi buah
pinggang, katarak mata, sakit jantung dan serangan angin ahmar,” kata Nor Azmi.
Menurut kajian di Amerika Syarikat, sakit jantung yang
berpunca daripada diabetes merupakan sebab utama kematian di negara itu iaitu
sebanyak 55 peratus. Sebanyak 10 peratus pula kematian disebabkan angin ahmar
yang berpunca daripada diabetes.
AMALAN pengambilan makanan seimbang
boleh mencegah penyakit diabetes.
Obesiti
“Statistik itu hampir sama jika dibandingkan dengan pesakit
di Malaysia.
“Justeru anda seharusnya mengambil langkah yang penting bagi
mengelakkan kedua-dua penyakit yang boleh meragut nyawa itu,” katanya ketika
membentangkan hasil kaji selidik pesakit diabetes PPUKM di Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Dalam kaji selidik tersebut, pihaknya mendapati majoriti
penghidap penyakit itu terdiri daripada mereka yang mengalami obesiti.
Perkara itu dibuktikan apabila 62 peratus responden dalam
kajian tersebut adalah terdiri mereka yang mengalami obesiti ketika pertama
kali didiagnosis dengan diabetes.
“Pesakit yang mengalami obesiti dan berat badan berlebihan
mempunyai risiko yang besar dalam menyebabkan komplikasi penyakit diabetes.
“Justeru perkara utama yang perlu dilakukan bagi mengelakkan
penyakit jantung dan angin ahmar serta penyakit bahaya lain yang disebabkan
oleh penyakit diabetes adalah dengan mengawal berat badan,” katanya lagi.
Kebimbangan terhadap penularan penyakit tersebut perlu
diambil kira kerana kira-kira seorang daripada tujuh rakyat Malaysia merupakan
penghidap diabetes.
GANGREN atau kematian sel sering
dikaitkan dengan kesan penyakit diabetes.
Tambah Nor Amin, kaedah utama untuk menjauhkan diri daripada
masalah diabetes adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Bukan sahaja dengan mengawal makanan yang diambil bahkan
bersenam sebagai kaedah pencegahan.
“Jika kita mengubah gaya hidup dengan mengamalkan gaya hidup
yang lebih sihat sekarang, ini bermakna statistik obesiti dan penyakit diabetes
di negara ini akan menurun dalam tempoh 20 tahun lagi.
“Memang payah untuk mengurangkan berat badan dan mengawal
diabetes. Tetapi dengan kaunseling yang betul dan intervensi gaya hidup, hal
ini boleh diatasi,” katanya.
Jelas Nor Azman lagi, ibu bapa seharusnya peka terhadap
masalah obesiti dalam kalangan anak-anak kerana masalah obesiti di peringkat
umur tersebut sukar dikawal kerana faktor perkembangan sel.
Berbeza pula seseorang yang mengalami kegemukan pada usia
dewasa kerana ia kurang melibatkan penghasilan sel lemak baharu.
“Kegemukan pada usia kanak-kanak melibatkan penghasilan sel.
Justeru adalah begitu sukar untuk mengurangkan berat badan mereka.
“Berbeza pula bagi golongan dewasa kerana kegemukan berlaku
akibat pembesaran saiz sel tersebut dan lebih mudah untuk menurunkan berat
badan,” tutur Nor Azmi.
No comments:
Post a Comment