GAMBAR pada 1 Januari 2012
menunjukkan beberapa konstabel polis melakukan yoga ketawa di Jalandhar, India.
MUMBAI - Senaman yoga dipercayai dapat mengurangkan tekanan
dan mengekalkan kesihatan badan, tetapi sebuah kelab yoga di sini diarahkan
menghentikan sesi senaman ketawa pada waktu pagi selepas pihak berkuasa
menerima aduan daripada penduduk setempat.
Mahkamah Tinggi Bombay mengarahkan polis supaya menghentikan
sesi berkenaan selepas seorang warga emas berusia 78 tahun mengadu senaman
ketawa itu menyebabkan dia mengalami tekanan mental, selain mengganggu penduduk
di kejiranan berkenaan.
"Adalah tidak wajar untuk kumpulan senaman tersebut
berhimpun di luar rumah seseorang dan ketawa berdekah-dekah," kata panel
hakim selepas mendengar petisyen yang dikemukakan oleh Vinayak Shirsat yang
menetap di Kurla, pinggir bandar raya ini.
Menurut petisyen berkenaan, terdapat 10 hingga 15 ahli
kumpulan tersebut berkumpul pada pukul 7 pagi untuk menyanyi, bertepuk tangan
dan ketawa dengan kuat.
"Mereka ketawa sekuat hati, setiap ahli kumpulan senaman
itu digalakkan ketawa sekuat yang boleh," kata Shirsat dalam aduannya.
Yoga ketawa dipopularkan sebagai rutin senaman oleh seorang
doktor perubatan India, Madan Kataria pada 1995. - AFP
No comments:
Post a Comment