GAMBAR menunjukkan pentas konsert
rock sebelum dan selepas ia runtuh di Downsview Park, Toronto kelmarin.
TORONTO, Kanada - Seorang maut dan tiga yang lain cedera
apabila sebuah pentas gergasi runtuh tiga jam sebelum persembahan konsert band
rock dari Britain, Radiohead di sini, kata beberapa pegawai kelmarin.
Timbalan Komander Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, David
Viljakainen berkata, seorang lelaki berusia pertengahan 30-an yang terperangkap
di bawah runtuhan pentas tersebut disahkan mati.
Menurut Viljakainen, seorang lelaki berusia 45 tahun yang
mengalami kecederaan di kepala dimasukkan ke sebuah hospital dan dua mangsa
lain dirawat di tempat kejadian di Downsview Park.
Sementara itu, jurucakap polis, Tony Vella berkata, ketika
kejadian, beberapa kru sedang bekerja di atas pentas tersebut.
Punca kejadian masih disiasat dan polis menolak spekulasi
bahawa ia disebabkan angin kencang.
Kumpulan Radiohead mengumumkan di laman Twitter bahawa
konsert tersebut dibatalkan ekoran kejadian tersebut.
Laman web rasmi kumpulan tersebut turut menyatakan sebanyak
40,000 tiket konsert itu habis dijual.
Band itu dianggotai lima orang iaitu Thom Yorke, Jonny
Greenwood, Colin Greenwood, Phil Selway dan Ed O'Brien. - Agensi
No comments:
Post a Comment