SAYID Qutub berkata: "Jika kekuatan pemandangan kiamat
dan kesannya di dalam hati di ambil daripada kekuatan hakikat yang tersembunyi
di dalam pemandangan itu sendiri, di samping di ambil daripada kekuatan
penyampaian al-Quran yang membuat pemandangan itu seolah-olah hidup. Maka surah
ini (selepas menayangkan pemandangan itu), menayangkan pula satu pemandangan
yang lain daripada jarak yang amat dekat seolah-olah terjelma di hadapan mata,
iaitu pemandangan yang sentiasa wujud dan berlaku berulang-ulang kali."
Pemandangan ini dihadapi oleh manusia pada setiap detik yang
dilalui mereka di bumi ini, pemandangan ini menerjah mereka dengan kuat, jelas
dan berat.
Firman Allah SWT: Sekali-kali jangan. Apabila nafas
(seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkongan. (al-Qiyamah: 26)
Ibnu Kathir berkata: "Dengan kata lain jika nyawamu
telah terlepas dari badanmu dan sampai ke halkummu."
Al-Maraghi berkata: "Digunakan untuk mencela dan
melarang. Ingat dan perhatikan kematian yang berada di depanmu. Jangan utamakan
dunia melebihi daripada kecintaan akhirat, ini kerana hubunganmu dengan dunia
ini akan terputus, kemudian kamu pula akan berpindah ke perkampungan akhirat
yang bersifat kekal abadi."
Firman Allah SWT: Dan dikatakan (kepadanya): Siapakah yang
dapat menyembuhkan? (al-Qiyamah: 27)
Ibnu al-Jauzi menyebut dua pendapat:
* Ia merupakan ucapan malaikat sebahagian mereka terhadap
yang lain iaitu siapa yang mengangkat rohnya, sama ada Malaikat Rahmat atau
Malaikat Azab? Ini yang diriwayatkan oleh Abu al-Jauza' daripada Ibnu Abbas dan
ini juga pendapat Abu al-'Aliah dan Muqatil.
* Ucapan keluarganya iaitu siapakah yang dapat menjampi dan
menyembuhkannya? Ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan ia adalah
pendapat Ikrimah, ad-Dahak,Abu Qilabah, Qatadah, Ibnu Zaid, Abu Ubaidah, Ibnu
Qutaibah dan al-Zajjaj.
Al-Maraghi berkata: "Siapakah yang dapat mengubatnya
agar dia sembuh daripada bala yang menimpanya? Qatadah berkata: Carilah berapa
ramai perawat untuknya tetapi mereka sedikitpun tidak mampu memberi manfaat dan
penyembuhan kepadanya untuk menghalang ketentuan Allah."
Firman Allah SWT: Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah
waktu perpisahan (dengan dunia) (al-Qiyamah: 28)
Al-Maraghi berkata: "Orang yang hendak mati itu berkeyakinan
bahawa apa yang berlaku baginya adalah sebagai peringatan saat perpisahannya
dengan dunia, harta, keluarga dan anak-anak."
Keyakinan seperti ini dinamakan zan iaitu prasangka, sebab
selama roh masih melekat di badan, orang tetap menginginkan kehidupan kerana
cintanya yang amat mendalam terhadap dunia ini.
Firman Allah SWT: Dan bertaut betis (kiri) dan betis
(kanan), (al-Qiyamah: 29)
Ibnu Jauzi menyebut lima pendapat:
* Urusan dunia dengan urusan akhirat seperti pendapat Ibnu
Abbas dan juga Muqatil.
* Berhimpun padanya kehidupan dan kematian seperti pendapat
al-Hasan.
* Bertaut dua betisnya ketika dikafankan seperti pendapat
Said bin Musayyib.
* Bertaut dua betisnya ketika kematian seperti pendapat
al-Sya'bi.
* Bencana dengan bencana seperti pendapat Qatadah.
Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu
dihalau. (al-Qiyamah: 30)
Sayid Qutub berkata: "Gambaran maut itu begitu hidup
seolah-olah bergerak dan bercakap. Setiap ayat melukiskan gerak-geri dan
pemandangan yang membuat keadaan hampir mati itu terlukis begitu jelas dengan
suasana-suasana cemas, bingung, terharu menghadapi hakikat yang kejam dan pahit
yang tidak dapat ditolak dan dielakkan itu. Kemudian berlakulah penghabisan
yang tidak dapat dihindari."
Firman Allah SWT: Dan ia tidak mahu membenarkan (rasul dan
al-Quran) dan tidak mahu mengerjakan solat. Tetapi ia mendustakan (rasul) dan
berpaling (dari kebenaran). Kemudian ia pergi kepada ahlinya dengan berlagak
(sombong). (al-Qiyamah: 31-33)
Ibnu Kathir berkata: "Ini adalah pemberitahuan tentang
orang kafir, di mana ketika di dunia, mereka mendustakan kebenaran dengan hati
mereka dan enggan untuk beramal dengan anggota tubuhnya sehingga tidak ada
kebaikan di dalam dirinya, sama ada lahir mahupun batin."
Semoga daripada surah ini kita benar-benar menjadi hamba
Allah yang taat dan patuh kepada-Nya.
Perbincangan ini ditutup dengan menyebut sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan lain-lain daripada Abi Hurairah r.a
katanya, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Barang siapa antara kamu
membaca surah at-Tin hingga akhir hayatnya hendaklah dia mengucapkan doa yang
bermaksud "memang benar dan aku termasuk dari kalangan orang yang menjadi
saksi yang demikian itu."
Seterusnya siapa yang membaca akhir surah al-Qiyamah
hendaklah dia mengucapkan dengan mafhumnya: Memang benar.
No comments:
Post a Comment